Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Kuih Wajik Yang Lembut


Alhamdulillah, hari ini kami akan ke Ipoh Perak untuk menemani Nana yang menpunyai urusan kerja di sana. Sambil sambil itu, kami ikut untuk bercuti. Sejak bersara, masa saya memang banyak terperap di rumah sahaja. Bila ada masa anak anak keluar daerah atas urusan kerja, saya ikut.

Selepas solat Dhuha pagi tadi, saya sempat melihat gambar gambar dan video sempena perkahwinan DYTM Pengiran Muda Abdul Mateen dan Dayang Anisha Rosnah Adam. Cantik kedua pengantin, memang bagai pinang di belah dua. Semoga jodoh keduanya kekal berpanjangan.

Di majlis perkahwinan seperti ini, kita dapatlah melihat perhiasan berlian yang besar besar sebesar ibujari pun ada. Hmm harga tak tahu lah macam mana kan. Kita beli sebiji berlian yang satu karat pun dah berharga berpuluh ribu. Itu pun berpuluh tahun menyimpan baru boleh beli. 

Hahaha tak pasti ada tak orang macam saya yang bermimpikan di syurga untuk memakai berlian yang besar berkilau kilauan. Sesuatu yang mustahil untuk dimiliki di dunia. Namun saya OK, kerana memilikinya di dunia adalah satu beban yang perlu dijawab di hadapan Allah.

Sekarang kita masuk pula bab masakan. Hari ini saya kongsikan resipi kuih wajik. Boleh tengok entri kuih wajik saya sebelum ini di SINI


Saya memang peminat kuih tradisional seperti kuih wajik. Di Kelantan, ianya lebih dikenali sebagai pulut manis. Ini adalah antara kuih yang kerap disediakan oleh arwah Bonda saya terutama jika ada majlis.

Kuih wajik ini kalau ada perhatikan, ada dua jenis. Satu yang jenis lembut jer. Bila dikunyah lembut lembut gitu. Yang kedua, yang jenis krup krap krup krap dan keras sedikit pulutnya. Ada orang suka yang jenis keras, tak jemu. Saya pulak suka kedua duanya. 

Yang membezakan antara keduanya ialah cara pulut dimasak. Kalau hendak lembut, masakkan lah pulut agak lembut sedikit. Kalau nak cepat, tanak dengan periuk elektrik. Kalau suka yang jenis keras tu, boleh kukus sahaja. Proses yang lain sama sahaja. Dikacau sehingga rasa sedikit sukar untuk mengacaunya. Tandanya dah cukup dan boleh diangkat. Kalau bibik saya sebelum ini, dikacau sehingga pulut boleh dilipat dan dibalik balikkan seperti gambar di bawah.

Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Selamat mencuba…


Kuih Wajik Lembut
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
2 cawan beras pulut - 300 gram
1 cawan gula pasir
250 gram gula Melaka
200 gram santan segar
½ sudu kecil garam

Cara cara:
Rendam beras pulut selama 30 minit. Kukus sehingga masak. Nota: Jika suka pulut yang lembut, renjiskan pulut ketika masih panas dengan sedikit air panas dan kacau rata sehingga pulut menjadi lembut. Ketepikan. 

Masakkan semua bahan lain ke dalam kuali dan kacau sehingga pekat dan berbuih buih.


Masukkan pulut dan kacau sehingga kering dan kuih wajik boleh dibalik balikkan. 



Angkat dan tuang ke dalam loyang yang dilapik daun pisang dan dilenser dengan sedikit minyak.



Biarkan sejuk sebelum dipotong.



Catat Ulasan for "Kuih Wajik Yang Lembut"