Kuih Wajik Makanan Tradisional Kegemaran Saya
Beberapa hari lepas, saya singgah beli kuih di depan deretan kedai di Subang Perdana. Saya bertanya budak yang menjual di situ, siapa yang buat semua ini. Maksud saya yang dimasak atau dihantar oleh orang lain. Dia kata semua disediakan oleh boss dia sendiri.
Saya pun beli lah kuih wajik dan kuih peria. Aduhaai tak sedap sangat, memang tak sampai lah untuk menjadi kuih wajik. Dah lah kuih wajik tu kuih kegemaran saya. Kuih peria pula, inti kacang hijau. Tapi diguna inti kelapa macam kuih ketayap tu. Kalau sedap intinya, bolehlah tahan juga.
Sekarang zaman susah macam ni, semua orang nak berniaga dan berjualan. Tapi belajar lah supaya ianya menjadi supaya orang yang membelinya rasa berbaloi. Maklum orang yang membeli pun, bukan dapat duit gugur dari pokok. Kuih kuih macam ni, bukan susah pun nak belajar. Orang nak berniaga, awak pun nak berniaga.
Kali ini saya ingin kongsikan bab kuih wajik. Boleh klik entri sebelum ini untuk Kuih Wajik Durian di SINI. Kuih wajik ada 2 jenis iaitu yang pulutnya krup krap dan yang pulutnya lembut. Bezanya pada penyediaan pulut. Rendam beras pulut lama lama sedikit. Dan dikukus sehingga lembut atau ditanak seperti memasak nasi.
Cara lain semua sama. Yang membezakan adalah sukatan bahan seperti gula, gula Melaka dan santan. Tapi itu semua kita boleh rasakan dahulu sebelum dimasukkan pulut. Boleh sesuaikan dengan citarasa kita masing masing.
Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Selamat mencuba….
Kuih Wajik Sedap
Oleh: Azie Kitchen
Bahan bahan:
250 gram beras pulut
250 gram gula melaka
½ cawan gula pasir
1 ¼ cawan santan kelapa - 1 kotak santan + ¼ cawan air
1 daun pandan.
Garam secukup rasa
Cara cara:
Rendam beras pulut selama 1 jam atau lebih. Kukus selama sehingga masak. Nota: boleh juga tanak biasa.
Satukan semua bahan dalam kuali dan masak sehingga pekat dan bertali. Masukkan pulut dan kacau sehingga ianya pekat dan boleh dilipat.
Angkat dan tuang dalam bekas yang dilapik daun pisang dan dilenser dengan sedikit minyak.
Setelah sejuk, bolehlah potong dan dihidangkan.
Nota:
Kacau sehingga rasa sedikit berat dan ianya boleh dilipat semasa dikacau.
Ada 2 jenis kuih wajik. Ada yang lembut dan ada yang jenis keras berbiji.
Catat Ulasan for "Kuih Wajik Makanan Tradisional Kegemaran Saya"
Add your comment