Ketupat Sotong
Assalamualaikum semua. Dah masuk ofis atau masih bercuti. Kalau dapat mamam ketupat sotong time cuaca mendung ni, memang win sangat kan. Haa jangan lupa untuk klik iklan yang keluar sebagai tanda sokongan pada blog saya ya.
Kedua dua negeri di Pantai Timur, iaitu Kelantan dan Terengganu ada kuih tradisional yang dipanggil ketupat sotong tapi tak sama. Terdapat ada sedikit perbezaan. Macam juga dengan nasi dagang Terengganu dan Kelantan tak sama walaupun kedua duanya adalah nasi dagang.
Kalau ketupat sotong Terengganu, sotong akan dibuang kulit sehingga menjadi putih melepak. Kuahnya juga berwarna putih tapi kalau ketupat sotong versi Kelantan, sotongnya ada corak corak dan kuahnya berwarna perang gula Melaka.
Secara jujur, saya tak pernah makan ketupat sotong Terengganu tapi sangat sangat suka dengan ketupat sotong Kelantan. Saya memang tak suka sotong yang dibuang kulit. Lain orang lain lah citarasa kan.
Saya ikut apa yang Bonda saya masak. Memang kami tak buang kulit. Kulit sotong yang jadi macam corak itu yang mengasyikkan saya melihatnya dan tambah menyelerakan.
Nak lagi sedap, kena guna sotong yang bertelur. Hahaha memang sedap giler. Kalau ada anak anak yang tak suka telur sotong, saya lah yang menadah pinggan. Kalau ada yang tak kenal telur sotong, boleh tengok macam gambar di bawah. Wallaa sedap tu....
Haa satu lagi yang penting kalau nak buat ketupat sotong ni, mesti guna sotong segar. Baru sedap. Sedap teramat amat. Saya boleh menghabiskan satu kuali untuk saya seorang sahaja tau. Hahaha.
Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Untuk melihat lebih jelas, boleh layan video penyediaannya di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba....
Ketupat Sotong Kelantan
Oleh: Azie Kitchen
Bahan bahan:
1 kg sotong
500 ml santan segar
½ sudu kecil garam
Gula Melaka secukupnya
Gula pasir - jika perlu
2 helai daun pandan - simpul
¾ cawan beras pulut
Cara cara:
Rendam beras pulut selama ½ jam supaya cepat masak dan empuk. Tos.
Bersihkan sotong dengan cabut kepala dan buang bahagian dakwat. Bersihkan dan tos.
Masukkan sedikit santan dan garam ke dalam beras pulut. Masukkan pulut ke dalam sotong agak agak separuh penuh. Masukkan semula kepala sotong. Tekan kepala ke dalam badan sotong dan dicucuk kemas dengan 2 lidi.
Susun sotong di dalam periuk dan masukkan daun pandan, santan cair dan garam. Santan agak agak tenggelam sotong kerana semasa direbus saiz sotong akan jadi kecil.
Masak sehingga pulut masak. Boleh cungkil sedikit pulut dari sotong untuk tengok kalau pulut telah masak.
Setelah pulut masak, masukkan gula Melaka dan gula. Masukkan santan pekat dan masak lagi sehingga kuah terbit minyak. Tutup api.
Nota:
Saya masak dalam anggaran 17 minit, baru masukkan gula Melaka dan masak lagi hingga kuah terbit minyak. Tempoh masa memasak bergantung kepada pulut. Jangan terlalu lama kerana sotong akan liat.
Catat Ulasan for "Ketupat Sotong"
Add your comment