Sup Cendawan
Hari ini kerja kerja pengubahsuaian di rumah saya akan dibuat di bahagian ruang keluarga tempat kami menonton TV. Harapnya dapat disiapkan dengan cepat supaya habuk dapat dikurangkan.
Saya sebenarnya tidak bersedia pun untuk menghadapi habuk sebab ingatkan hanya bahagian shower bilik air saya sahaja yang perlu dipecahkan tilesnya bagi membolehkan kebocoran paip dibaiki. Tapi bila tiles di dinding juga sudah longgar, maka saya terpaksa buat keputusan untuk menukarkannya semua sekali. Jadi tahap ketidakselesaan menjadi semakin tinggi.
Itu sebab bila kita melakukan pembinaan rumah perlu dipastikan pekerja yang melakukan pekerjaan tersebut mahir dan betul betul tahu kerjanya. Saya dulu banyak kali ditipu dengan pekerja dan sub kontraktor yang dilantik.
Tiles di dinding yang longgar ini adalah antara pekerjaan sub kontraktor yang telah menipu saya. Mereka melakukan render di lantai dengan hanya menggaul pasir dan simen tanpa digaul dengan air. Selepas diratakan, baru mereka meletakkan air simen dipermukaan atas. Itu cara mereka hendak memudah dan mempercepatkan kerja.
Saya terpaksa membelanjakan beribu ribu ringgit pula untuk mengupah orang memecahkan semula lantai berkenaan dan membuat render baru. Kos upah dan kos beli bahan menjadi berganda. Mereka lupa setiap pekerjaan di dunia, akan disoal di akhirat kelak terutama melibatkan penganiayaan pada orang lain. OK setakat ini dahulu.
Bila saya memasak sekarang ini, saya perlu memikirkan kalau lauk tersebut boleh dimakan oleh Aliya cucu saya yang baru makan nasi biasa. Aliya boleh makan semua makanan yang tidak pedas. Jadi sup cendawan hari ini, saya sediakan ringkas sahaja. Tidak berapa pedas pun.
Alhamdulillah dia suka terutama fish ball yang dimasukkan sekali dalam sup. Dia boleh makan meratah fishball sahaja tanpa nasi. Kalau dapat dibuat sendiri, lagi sedap menggunakan ikan segar tapi itulah tiada kerajinan untuk menyediakannya.
Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Selamat mencuba....
Sup Cendawan
Oleh: Azie Kitchen
Bahan bahan:
2 pek cendawan tiram
1 pek fish ball
1 sudu ikan bilis
1 kiub pati ikan bilis
Garam
Sedikit serbuk lada sulah
Daun sup
1 biji cili merah
Bahan hiris:
5 biji bawang merah
4 ulas bawang putih
Cara cara:
Panaskan minyak dan tumis bahan hiris dan ikan bilis sehingga sedikit keperangan. Masukkan fish ball dan goreng sehingga masak.
Masukkan air dan biarkan sehingga mendidih. Setelah mendidih, masukkan kiub pati ikan bilis dan garam.
Masukkan cendawan dan akhir sekali tabur daun sup dan cili merah. Sedia untuk dinikmati.
ahein
Catat Ulasan for "Sup Cendawan"
Add your comment