Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Masak Lemak Ikan Jenahak Belimbing Buloh



Saya sejak kecil punya cita cita pelik sebagai anak kampung. Maklumlah pada masa tu, bukan ada Televisyen pun. Apa lagi lah handphone semua, lagi lah tak ada kan. Saya memang bercita cita nak berhijrah ke bandaraya Kuala Lumpur. 

Masa kali pertama ikut rombongan sekolah ke Melaka, saya menahan mata tak nak tidur masa bas melalui bandaraya Kuala Lumpur. Hahaha. Teruja betul dengan Kuala Lumpur tempat yang pada masa itu terkenal dengan tempat tinggal penyanyi dan pelakun pujaan ramai. 

Bila dah bekerja dan berhijrah ke Kuala Lumpur, saya menyimpan cita cita untuk tinggal di luar negara, secara spesifiknya United Kingdom. Masa tu sangat berharap anak anak dapat belajar di London supaya saya dapat ikut tinggal di sana bersama mereka. 

Masa Juita menamatkan pengajian di University of Manchester, saya dah merancang untuk tinggal di sana selama beberapa bulan selepas saya bersara. Tapi harapan tinggal harapan bila Covid 19 melanda dunia sebulan sebelum saya bersara. 

Walaupun Aween kemudian ke University of South Wales tapi dia tinggal di apartment universiti yang tidak membolehkan saya tinggal bersama dia. Tapi saya yakin, kalau panjang umur Insya Allah saya pasti berpeluang untuk tinggal di sana satu hari nanti. Insya Allah. Doakan ya. 


Saya sebenarnya kurang menggemari lauk ikan masa kecil kecil dulu. Kalau  pun makan, ikan itu mesti direbus dan dibiarkan semalaman dulu sebelum digoreng atau dibuat lauk gulai. Kalau tidak, saya makan ikan yang digoreng garam kunyit. Ikan yang dilumur garam kunyit akan dibiarkan dulu seketika sebelum digoreng. 

Ikan yang dimasak gulai atau lain lain masakan yang berkuah, memang bukan lauk yang saya sukai.  Lauk lauk berkuah ini pun saya kenal selepas saya bekerja dan menetap di Kuala Lumpur. Itu pun saya masih tak suka. Kalau ikan bakar pun, ikannya mesti dilumur garam kunyit dan diperap dahulu sebelum dibakar. Bukan ikan segar yang dibasuh dan terus dibakar.

Tetapi bila berkahwin dan menpunyai keluarga sendiri, saya pelbagaikan lauk dengan memasak lauk berasaskan ikan sesuai dengan selera suami juga. Saya sendiri cuba untuk menggemari masakan ikan segar walaupun semasa kecil di kampung, semua ikan adalah ikan yang segar segar naik dari laut. 

Jadi saya tidaklah merasa pelik, bila masakan lauk ikan ini tidak digemari oleh anak anak saya. Tapi saya tetap juga memasaknya kerana saya sendiri ingin menanamkan rasa suka pada lauk ikan yang memang kaya dengan khasiat dan tiada lemak.  

Masak lemak ikan jenahak ini telah lama saya ingin memasaknya kerana teringin selepas melihat masakan yang menggunakan belimbing buloh. Merata mencari belimbing buloh tapi tak jumpa. Order melalui shopee tapi bila sampai, buah semua dah lembik dan hancur. 

Akhirnya saya menanyakan jiran jiran dalam group WhatsApp jiran. Haa rupanya ramai jiran yang menpunyai pokok belimbing buloh. Selepas saya pergi memetik belimbing buloh di rumah Dato' Puteh Rukiah, jiran baik kami Dato' Razali juga menelefon memberitahu, pokoknya ada juga buah belimbing. Aduhaii sekian lama mencari, rupanya ada di kawasan kejiranan jer. 

Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Jangan lupa video di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba….


Masak Lemak Ikan Jenahak Dengan Belimbing Buloh
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
3-4 keping ikan jenahak
5-6 biji buah belimbing buloh
Santan segar secukupnya 
1 batang serai - ketuk
1 helai daun kunyit
Asam keping
Garam

Bahan kisar:
4 biji bawang merah
2 inci kunyit hidup
1-2 genggam cili padi - ikut pedas disukai

Cara cara:
Tuang bahan kisar ke dalam periuk dan masak dulu bahan kisar bersama serai, daun kunyit dan sedikit air. Masak hingga mendidih dan hampir kering.


Masukkan santan dan air secukupnya. Masak dulu sehingga mendidih. Masukkan asam keping.

Setelah mendidih, masukkan ikan, belimbing buloh dan garam.




Nota:
Jika menggunakan belimbing buloh yang hijau dan muda, boleh ditumbuk manja sedikit belimbing buloh untuk mengeluarkan rasa masam dari buahnya.  

Boleh letak juga asam keping walaupun dah letak belimbing buloh.




Catat Ulasan for "Masak Lemak Ikan Jenahak Belimbing Buloh"