Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Masak Lemak Daging Salai Belimbing Buloh



Saya banyak hari juga terfikir fikir tentang ujian kehidupan selepas membaca kisah viral seorang penyanyi tersohor dengan keluarganya. Sesungguhnya kehidupan ini pelbagai ragam dan cubaan. Ujian antara seorang dengan seorang yang lain, tidak sama. Biasa kita fikir hubungan kekeluargaan lah yang paling rapat. Sebenarnya tidak juga, ramai yang menghadapi masalah dengan keluarga sendiri. 

Banyak kes anak tidak berbudi pada orang tua. Namun ini adalah perkara biasa kerana tanggungjawab ibubapa hanya untuk melahir dan membesarkan anak anak tanpa perlu mengharapkan balasan. Ibubapa tidak perlu mengungkit segala penat lelah menjaga dan membesarkan anak anak kerana itu adalah tugas dan amanah yang diberikan Allah. 

Dan tidak kurang banyak juga kes ibubapa yang menggunakan anak anak untuk kepentingan diri sendiri. Menggunakan nama anak anak untuk membuat pinjaman dan akhirnya anak anak yang menanggung nama yang buruk dan disenaraihitam. Ada yang menggunakan anak anak untuk menyara kehidupan keluarga. 

Apa apa pun, ikhlas lah kepada anak anak. Insya Allah jika kita ikhlas, Allah pasti membukakan hati anak anak untuk mengenang jasa ibubapa tanpa kita perlu mengharapkannya. 

Setiap ibubapa ingin melihat anak anak bahagia dan akan berbuat apa sahaja untuk kebahagiaan anak anak. Jadikan ianya sebagai amanah Allah. Tak perlu mengungkit ungkit. OK setakat ini dulu, sekarang kita masuk pula bab masakan.  


Setelah lama saya mencari belimbing buloh, akhirnya jumpa di rumah jiran. Ada pokok yang ditanam di luar rumah dan berbuah sangat lebat dengan saiz yang besar besar. Gembiranya kerana sekian lama mencari, tak jumpa. Order di shopee, yang sampai buah yang dah masam dan penyet.

Katanya dulu dulu buah belimbing berwarna hijau tapi sekarang berwarna kekuningan. Mungkin sebab pokok tua yang dah berusia belasan tahun. Betul kah macam tu, saya pun tak pasti kerana saya pun baru tahu rupanya belimbing buloh ada 2 jenis. 

Satu warna hijau dan satu kekuningan. Kalau buah belimbing yang jenis kurang masam, boleh ditumbuk manja seketika untuk mengeluarkan airnya. Biasanya yang warna hijau lebih masam. Atau ada juga yang masukkan asam keping. Tapi belimbing hari ini, cukup masamnya. 

Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Jangan lupa video di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba….


Masak Lemak Daging Salai Dengan Belimbing Buloh
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
370 gram daging salai
6-8 biji belimbing buloh - belah 2
1 batang serai - ketuk
1 helai daun kunyit
1 kotak santan kotak
Garam

Bahan kisar:
1-2 genggam cili padi - ikut pedas disukai
4 biji bawang merah
2 inci kunyit hidup

Cara cara:
Basuh daging salai dan tos. Rebus daging salai bersama bahan kisar sehingga daging empuk. Masukkan serai dan daun kunyit. 


Masukkan santan dan air secukupnya. Kacau sehingga hampir mendidih.

Masukkan belimbing buloh dan garam secukup rasa. Setelah mendidih, boleh tutup api.






Catat Ulasan for "Masak Lemak Daging Salai Belimbing Buloh"