Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Ayam Masak Kicap Kesukaan Ammar Yahya



Salam takziah buat adinda saya, Datin Seri Noniswara di atas pemergian suami beliau Dato Seri Sheikh Nordin. Baru semalam saya bermesej menanyakan sejak bila DS dimasukkan ke dalam wad. Saya terlepas pandang kerana selalu melihat IG story Nonis yang menunjukkan mereka beriadah berdua. 

Lagi pulak, ketika itu saya sibuk dengan persiapan untuk bercuti ke UK. Sepanjang bercuti memang tak sempat tengok IG pun. Hanya membalas mesej yang diterima dari follower. Bila balik pula, saya masih mengalami jet lag. Selain itu sibuk menunjuk ajar pembantu rumah yang baru. 

Bila seseorang telah meninggal, yang akan dibawa bersama ialah amalan soleh, sedekah jariah dan anak anak yang soleh dan solehah yang mendoakannya. Mati itu pasti berlaku pada setiap makhluk yang bernyawa. Cuma kita tidak mengetahui bila ianya akan berlaku. 

Jadi kita yang masih hidup, perlu mengambil peluang untuk memperbanyakkan bekalan untuk di bawa setelah meninggal. Macam Dato Seri telah mewakafkan rumah agam beliau untuk kegunaan tahfiz. Ianya adalah satu pelaburan jangka panjang yang sangat bijak. Kenapa bijak? Kerana ia akan memberikan pulangan selama lamanya selagi ianya digunakan untuk kebaikan. 


Saya memilih untuk kongsikan resipi ini di blog walaupun ia hanya resipi masak kicap biasa kerana ianya mendapat pujian dari cucu saya, Ammar Yahya. Selepas makan malam, Ammar datang ke bilik saya dan beritahu Tok Mama can cook this soy sauce chicken all the time. Hahaha maksudnya dia nak masak lauk ini setiap hari la tu. 

Bahan sos tu saya masuk agak agak jer. Kalau terlebih terkurang, sesuaikan lah ikut citarasa masing masing. Cuma kalau nak sedap, sos tiram mesti guna sos tiram yang kandungan tiramnya tinggi, barulah terasa sos tiramnya. Boleh tengok kandungannya di botol. 

Ammar memang makan agak memilih. Bila sedap dia akan cakap, hmm so delicious. Who cook this? Rasa saya, kalau budak budak lain sebaya dia, tak kisah nak bertanya siapa masak. Kalau sedap, makan jer. Tapi dia akan bertanya dan bagi komen sedap, kalau dia rasa sedap. 

Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Selamat mencuba….


Ayam Masak Kicap

Oleh: Azie Kitchen


Bahan bahan:

½ ekor ayam

1 biji bawang besar - hiris

2 inci halia - hiris 

5-6 biji bawang merah - tumbuk kasar

5 ulas bawang putih - tumbuk kasar

½ sudu besar cili kering kisar - ikut pedas disukai

Minyak masak


Bahan sos:

2 sudu besar sos tiram

1 sudu besar minyak bijan

2 sudu besar kicap ABC

Kicap manis secukupnya


Cara cara:

Lumur ayam dengan garam dan serbuk kunyit. Goreng ayam sekadar masak. Jangan goreng garing. Angkat dan ketepikan. 

Keluarkan sebahagian minyak menggoreng ayam dan panaskan minyak secukupnya, tumis bawang besar hiris, bawang merah dan bawang putih tumbuk serta halia sehingga garing. 

Masukkan cili kisar dan tumis hingga cili masak. Masukkan bahan sos dan kacau sebati. 

Masukkan daun sup, jika ada. 

Masukkan ayam dan biarkan merenih supaya rasa ayam dan kuah sebati. Jika suka, masukkan cili merah hiris atau cili padi. 


Nota:
Jika suka, boleh masukkan kiub pati ayam sebagai perisa tambahan. 

Boleh juga masukkan ubi kentang yang dipotong wedges dan digoreng.


Catat Ulasan for "Ayam Masak Kicap Kesukaan Ammar Yahya"