Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Sambal Ikan Bilis Kering Yang Tahan Lama



Alhamdulillah hari Jumaat lepas, kami telah selamat tiba di tanahair selepas hampir 2 minggu bercuti ke United Kingdom dan Paris bersama keluarga. Semalam seharian saya tidur dan keletihan kerana jet lag. Nana telah bekerja kerana menghadiri kursus dan Juita pula menpunyai program pejabat di Desaru. Manakala Nelly sebelah malam menghadiri majlis perkahwinan. 

Kali ini percutian kami hampir lengkap kecuali menantu kami Alain sahaja yang tidak dapat ikut serta kerana urusan kerja. Namun saya amat bersyukur kerana peluang bercuti luar negara seperti ini, memang sukar untuk datang lagi kerana anak anak bila dah bekerja, agak sukar untuk bercuti dalam masa yang sama, jika tidak benar benar dirancang terlebih dahulu. Juita juga hanya dapat menyertai kami semasa di Paris. 

Bercuti bersama 4 orang cucu yang masih kecil memang amat mencabar. Bila penat, masing masing akan meragam. Mereka tidak mahu berjalan dan hanya mahu duduk dalam stroller. Ya lah kita yang dewasa pun penat, apalagi mereka. Jadi bila menggunakan 4 stroller, masalah besar ialah bila tempat berkenaan tidak ada kemudahan lift. Kami terpaksa mengangkat stroller mereka ketika menaiki atau menuruni tangga seperti semasa di Tower Bridge atau di underground station. 

Apa apa pun, saya sangat sangat bersyukur kerana diberikan kemudahan. Anak anak yang lain saling membantu. Kami juga masih diberi tenaga dan kesihatan untuk bergerak bersama anak anak. 

Alhamdulillah atas rezeki yang Allah kurniakan. Rezeki adalah apa yang kita makan, apa yang kita pakai dan apa yang kita nikmati. Bukan duit berjuta yang tersimpan di bank. Insya Allah saya akan kongsikan catatan percutian kami ini di dalam blog. 


Seminggu sebelum pergi, Mia menghantar mesej minta dimasakkan sambal ikan bilis kering dan paru sambal kering. Maka saya sediakan sambal hari ini dan dipek dalam bekas kecil. Alhamdulillah kerana ia dapat menjadi lauk kami sepanjang bercuti. 

Kami ni tekak Malaysia jadi sepanjang di sana saya memasak untuk hidangan sarapan dan hidangan makan malam. Tengahari memang makan di luar. Bukan sahaja ianya menjimatkan tetapi juga sangat sedap dan sesuai tekak Melayu. 

Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Selamat mencuba semua.....


Sambal Ikan Bilis Kering
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
300 gram ikan bilis
Sedikit cuka

Bahan kisar:
4 biji bawang besar
6-7 ulas bawang putih
4-5 sudu besar cili kering kisar

Bahan lain:
1-2 keping asam keping
30 gram gula Melaka
Gula secukupnya 
Garam secukupnya
Minyak masak

Cara cara:      
Rendam ikan bilis dalam air dan cuka. Kacau rata dan tos. Nota: ikan bilis dibasuh manja manja sejurus sebelum digoreng. Jangan basuh awal, nanti lambat garing.


Panaskan minyak dan goreng ikan bilis dengan api sederhana sehingga garing. Angkat dan ketepikan.


Menggunakan minyak yang sama, tumis bawang kisar sehingga masak dan berbau wangi.

Masukkan pula cili kisar. Tumis dengan api perlahan sehingga ianya benar benar masak dan garing. Cili masak apabila telah terbit minyak dan kelihatan berbuih.  

Masukkan asam keping, gula melaka, gula dan garam. Kacau rata dan sejukkan seketika. 


Masukkan ikan bilis goreng dan kacau rata. Sendengkan kuali untuk membuang lebihan minyak. Nota: atau ditos atas penapis. 




Catat Ulasan for "Sambal Ikan Bilis Kering Yang Tahan Lama"