Sambal Ikan Bilis Garing
Saya mendapat mesej WhatsApp dari menantu saya, Mia meminta saya masakkan sambal ikan bilis kering dan sambal paru. Tapi saya tak pasti kalau sambal ikan bilis kering tu yang macam mana.
Saya masak sambal ikan bilis seperti biasa dan dikeringkan minyaknya dengan ditos atas penapis. Kami pek kecil kecil untuk dimakan semasa di London dan Paris.
Saya masih tak puashati kalau sambal itu yang Mia maksudkan. Takut Mia segan nak beritahu kerana tak mahu menyusahkan saya. Jadi saya masak lagi sambal ikan bilis garing hari ini, khas untuk Mia.
Saya sebenarnya dah belajar resipi ini dari Mimie sejak tahun 2019 lagi ketika Mimie menyediakan sambal ikan bilis garing untuk percutian kami ke Europe pada awal tahun 2019.
Kali ini saya ringkaskan sedikit cara penyediaan bawang goreng. Resipi asal saya lebih sedap dan rangup ala ala bawang goreng Azie Kitchen yang saya jual melalui anak saya di Instagram @bake.n.munch.
Bawang goreng itu menggunakan bawang merah rose India. Memang harganya lebih mahal dan lebih sedap untuk bawang goreng. Tapi sekali cuba, pasti tak nak bawang goreng lain. Menyediakannya pun sangat remeh. Semua kena buat manual. Hiris bawang dengan pisau.
Bawang goreng rangup ini akan digaul sekali dengan sambal ikan bilis garing tersebut. Jadi sambal ikan bilis garing kita menjadi lebih sedap dan lebih rangup.
Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Jangan lupa video penyediaannya di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba...
Sambal Ikan Bilis Garing
Oleh: Azie Kitchen
Bahan bahan:
100 gram ikan bilis
2 biji bawang besar - hiris
30 biji ciki kering
1 ulas bawang putih
1 sudu besar gula
½ sudu besar serbuk pati ayam
Minyak masak
Cara cara:
Panaskan minyak dan goreng bawang atas api sederhana sehingga garing. Angkat dan ketepikan.
Goreng pula ikan bilis sehingga garing. Angkat.
Goreng pula bawang putih dan cili kering sehingga garing tapi jangan sampai hangus. Angkat dan tuang dalam blender. Tuang minyak menggoreng tadi untuk kisar. Kisar sekadar hancur sahaja. Jangan halus sangat.
Tapis dalam penapis untuk buang minyak. Masukkan cili kisar ke dalam kuali. Tanpa buka api.
Masukkan gula dan serbuk pati ayam.
Masukkan bawang goreng dan ikan bilis goreng. Kacau rata. Masukkan kicap manis cap kipas udang. Optional. Kacau rata. Setelah sejuk, boleh simpan dalam bekas.
Catat Ulasan for "Sambal Ikan Bilis Garing"
Add your comment