Sambal Ikan Bilis Dengan Petai PRN 2023
Sambal ikan bilis ini saya hidangkan dengan nasi lemak yang kami nikmati sebelum keluar mengundi PRN Dewan Negeri Selangor antara 6 PRN yang diadakan pada 12 Ogos 2023. Selain lauk ini, saya sediakan juga sambal ikan bilis tanpa petai kerana Nana tak makan petai. Dihidangkan sekali dengan sayur kangkung dan ayam goreng kunyit. Alhamdulillah lengkap hidangan sarapan kami sebelum keluar mengundi.
Kali ini kami semua berada di tempat mengundi yang sama. Kalau masa PRU15, Nelly masih mengundi di Subang Jaya. Alain akan membuang undi di Kg Kubu Gajah. Manakala Boy dan Mia tidak sempat mengundi kerana berada di Sydney dan Aween masih di Wales.
Kali ini proses mengundi sangat cepat kerana kami keluar selepas sarapan tadi. Tak perlu menunggu. Sampai terus masuk ke dewan. Begitu juga anak anak semua, tak perlu beratur pun.
Insya Allah petang nanti kita akan mula mendapat keputusan. Semoga kerajaan yang dipilih dan pemimpin yang dipilih akan menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan. Hanya hanya pandai berjanji tapi kerja tidak dilaksanakan. Zaman Nabi Muhammad SAW dahulu, orang yang agak lemah dan tiada daya kepimpinan yang cekap tidak diletakkan sebagai calon. Kita boleh mengambil iktibar daripada kisah sahabat Nabi SAW, iaitu Abdu Dzar RA.
Dalam satu riwayat hadis, Abu Dzar meminta jawatan daripada Nabi SAW, namun Baginda tidak memberikan jawatan diminta. Sabda Nabi SAW terhadap Abu Dzar bermaksud: "Engkau adalah insan lemah. Sesungguhnya ia (kepemimpinan) adalah amanah. Sesungguhnya ia pada hari kiamat adalah penyesalan, melainkan jika insan mengambilnya dengan haknya dan menunaikannya dengan sebaiknya".
Riwayat hadis ini tidak bertujuan merendahkan kedudukan Abu Dzar. Riwayat hadis ini menunjukkan kejujuran Nabi SAW dan sikap integriti Baginda sangat tinggi sehingga sanggup tidak melantik insan tidak layak untuk mengisi jawatan, walaupun insan itu adalah sahabat baik Nabi sendiri.
Riwayat hadis ini menunjukkan kepemimpinan perlu kepada dua sifat utama, iaitu kekuatan dan amanah serta berintegriti. Contohnya, kuat dalam sudut intelek, watak dan membuat keputusan. Kuat juga merujuk kepada tidak gopoh membuat keputusan.
Jadi pemimpin zaman sekarang jangan seronok sangat dengan kuasa sehingga sewenang menyalah gunakan kuasa dan mengumpulkan harta dunia untuk kepentingan diri dan keluarga sendiri. Kita orang biasa, shopping berpuluh ribu pun, perlu kumpul berpuluh tahun perkhidmatan.
Ini shopping berjuta juta sekali jalan. Waah hebat, tapi saya sedikit pun tak ada rasa iri hati. Kerana bukan itu, keutamaan hidup kita di dunia di mana ianya penuh dengan perhiasan yang menipu. Setiap satu sen duit yang diperolehi dan setiap satu sen yang dibelanjakan akan diperhitungkan Allah.
Apalagi pemimpin yang pandai bercakap tapi kerja tidak dijalankan. Sakau sana sakau sini tanpa ada rasa malu pada Allah kalau pun tidak malu pada manusia. Pembohongan juga jangan sesekali kerana sekali berbohong, anda akan berbohong pada 30 juta orang. Bila masa nak minta maaf dengan pembohongan pada setiap orang tu. Setakat ini sahaja, sekadar mengulangi peringatan yang pernah dibuat oleh Rasulullah.
Sambal ikan bilis ini adalah sambal kegemaran saya. Saya suka sambal yang ikan bilisnya tidak digoreng. Namun begitu saya juga ada menggoreng ikan bilis garing dan ada ketika saya hanya menggoreng sekadar layu. Pendek kata ada banyak versi demi kepelbagaian rasa.
Tapi dalam banyak banyak itu, saya suka versi yang ini. Saya juga menyediakan sambal ikan bilis kosong. Alhamdulillah nasi lemak kami kali ini lengkap hidangannya.
Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Selamat mencuba.....
Sambal Ikan Bilis Dengan Petai
Oleh: Azie Kitchen
Bahan bahan:
2 genggam ikan bilis
1 genggam isi petai
Garam secukupnya
1-2 keping asam keping
1 ½ sudu besar gula
Sedikit serbuk perasa
Minyak masak
Bahan kisar:
2 biji bawang besar
4 ulas bawang putih
3-4 sudu besar cili kering kisar
Cara cara:
Panaskan minyak dan tumis bahan kisar sehingga terbit minyak.
Setelah terbit minyak, masukkan garam, asam keping dan gula secukupnya. Masak sehingga terbit minyak.
Akhir sekali, masukkan ikan bilis yang dibasuh dan direndam dengan air panas seketika.
Masukkan isi petai dan kacau rata. Jika suka petai yang masih rangup, masak sekejap sahaja. Nota: Jika terlalu pekat, boleh tambahkan sedikit air ke dalam sambal dan masak sehingga pekat dan terbit minyak. Tutup api.
Catat Ulasan for "Sambal Ikan Bilis Dengan Petai PRN 2023"
Add your comment