Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Nasi Ayam Azie Kitchen



Saya ingin kongsikan petikan dari Kuliah Zoom Ustaz Che Amran tajuk jadilah hamba akhirat. Dunia bukan tempat tinggal tapi hanya tempat untuk meninggal. Akhirat itu lah tempat yang kekal. Nabi bersabda, kata hidup lah sebagai seorang musafir yang ambil apa yang perlu sahaja kerana tahu ianya sementara sahaja. Kalau dalam musafir, kita tak bawa tilam, peti ais, mesin basuh dsb bersama kita. 

Ketika pagi jangan berangan untuk sampai waktu petang. Siapa ada waktu petang jangan sangka kita akan hidup sehingga pagi esok. Dunia tempat gali sebanyak mungkin khazanah yang Allah bagi padanya. Apa matlamatnya hidup ni. Khazanah ibadah pahala dan hantar ke akhirat sementara masih hidup. Jangan tunggu mati baru nak buat. Sebelum meninggal buat persediaan untuk hantar segala amalan ke akhirat. 

Nabi bersabda siapa yang tujuan hidup semata mata dunia, maka Allah akan cerai beraikan seluruh urusannya. Allah jadikan kefakiran di kedua matanya. Maksudnya tak pernah puas hati dan rasa cukup dengan apa yang ada. Tak pernah bersyukur. Dia tak dapat dunia melainkan apa yang dia kehendaki. Dunia menjauhkan dia dari mengingati Allah. 

Siapa yang mencari akhirat dalam hidupnya. Maka Allah akan kumpulkan urusan hidupnya dekat dengan Allah. Pahala berpanjangan. Allah akan jadikan hatinya kaya dengan segala apa yang ada. Maka Allah akan datangkan dunia padanya dalam keadaan hina. Dunia hanya tempat dia menzahir kebaikan di hari akhirat nanti. Hadis dari iman Ahmad. 

Jangan fikir pasal dunia sahaja sehingga tidur pun mimpi pasal dunia. Bila jadikan matlamat dalam hidup hanya dunia, tak ada bekalan untuk akhirat. Orang cerdik dalam bab harta ialah bila dapat harta lalu diguna dengan penuh kemanafaatan. Nafkah pada isteri tabung masjid, sedekah jariah. Bila mati harta tak boleh bawa lagi. 

Nabi anjurkan kita berdoa pada setiap kali sujud dan sebelum bagi salam. Doa tersebut (Maksudnya): 'Ya Allah, aku memohon perlindunganMu dari azab jahanam, dari azab kubur, dari ujian dan fitnah mereka yang hidup dan mati serta perlindungan dari fitnah ujian dajal - (Hadith Riwayat Bukhari & Muslim). Nabi berdoa minta akhirat. Manusia minta harta, pangkat dalam doa. Sanggup puasa untuk anak jika lulus dalam peperiksaan. 

Kalau akhirat, hidupnya barakah. Allah jadikan hatinya tersangat kaya. Kaya dengan perasaan. Rasa nak bantu orang susah. Rasa nak buat kebaikan dan bersilaturrahim. Dunia tidak menjadi matlamat tapi hidupnya tenang, mencukupi dan tidak menjadi tamak haloba. Ambil dunia kerana kepentingam akhirat. Guna harta yang ada untuk sedekah. Guna anak untuk dijadikan anak soleh. Guna mak dan ayah untuk berbakti pada mereka supaya kita dapat syurga. 

Apa dunia ni? Yang menyebabkan kita hilang matlamat akhirat. Cari duit sampai tak bayar zakat, cari duit sampai hilang waktu solat. Cari duit sampai timbul rasuah. Dunia adalah permainan sesuatu yang melalaikan dan sekadar perhiasan antara kamu berbangga bangga dengan banyaknya harta dan dinar. 

Allah bagi peringatan di akhirat itu azab yang sangat keras. Kasih sayang Allah diberitahu juga adanya keampunan Allah. Nabi istighfar sebanyak 70 kali setiap hari. Kita pun kena minta ampun dan istighfar ketika hidup. Ya Allah ampuni kedua ibubapa ku ya Allah. Maksudnya: “Ya Allah! ampunilah dosaku dan dosa kedua orang tuaku dan kasihilah mereka sebagaimana mereka mengasihiku sejak kecil.” Di dunia kita kena cari keampunan Allah supaya beroleh redha Allah.

Dunia adalah kesenangan menipu. Umur 60 tahun, baru nak besarkan rumah sedangkan anak dah kawin dan keluar dair rumah. Akhirnya rumah besar, hanya tinggal berdua suami isteri jer. Ada orang menyesal ketika mati. Ya Allah alangkah baik kalau nyawa ku dipanjangkan sedikit untuk bersedekah. Kembalikan lah aku untuk bersedekah. 

Matlamat perjuangan kita adalah akhirat tapi guna modal dunia yang dipinjam Allah pada kita. Dalam ayat Allah menegaskan dunia kalau tak guna untuk dekat pada akhirat. Agungnya akhirat jika kita tak buat kita akan kerugian besar. 

Dunia adalah hiburan. Seronoknya. Tapi akhirnya ialah sesalan. Seronok hidup muda. Seronok menangguh amalan. Dunia adalah satu perhiasan sahaja. Isteri cantik lama lama akan jadi tua. Kita sendiri juga akan jadi tua. Orang perempuan pakai make up sampai dia tak kenal diri dia sendiri. Bersederhana sahaja lah. 

Dunia adalah tempat saling bersaing sehingga lahir dengki mendengki dan irihati. Sebagai hamba yang penuh dengan kelemahan maka apa perlu buat. Minta bantuan dari Allah. Nabi ajar pada Muaz aku sayang pada kamu Muaz sebanyak 3 kali. "Ya Allah, bantulah aku dalam berzikir kepada-Mu (mengingati-Mu), mensyukuri nikmat-Mu, dan melakukan ibadah yang baik kepada-Mu." (Hadis Riwayat Ahmad)

Doa yang biasa tapi nilaian biasa dalam surah Al Baqarah 201. “Rabbana atina fiddunya hasanah wa fil akhirati hasanah wa qina ‘adzabannar.” Artinya: “Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia serta di akhirat dan selamatkanlah kami dari siksa api neraka.” Doa yang Nabi paling banyak baca. Satu lagi ialah doa “Ya ALLAH, Tuhan yang membolak-balikkan hati-hati, tetapkanlah hatiku pada agama MU” Setakat ini dahulu, semoga bermanafaat.


Saya menyediakan nasi ayam seperti biasa, cuma bezanya kali bahan perapan pada ayam dan juga sos cili yang digabungkan sekali dengan sos kicap. Hanya satu sos sahaja. 

Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Jangan lupa video di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba....


Nasi Ayam Azie Kitchen
Oleh: Azie Kitchen

Sup Nasi Ayam

Bahan bahan:
7 biji bawang merah - kisar
6 ulas bawang putih - kisar
3 inci halia - kisar
1 sup bunjut
1 batang serai - ketuk
3 ketul kiub ayam
½ senduk minyak masak
Garam secukup rasa

Panaskan minyak dan tumis bahan kisar dan sup bunjut sehingga naik bau.

Masukkan air secukupnya (termasuk untuk masak nasi), serai dan kiub ayam. Masukkan ayam, kulit dan keropeh ayam. Ayam jangan masak sangat. Nota: ayam boleh juga dikukus.

Masukkan garam secukup rasa supaya sup sedap dan secukup rasa. Masa dihidangkan, tabur daun sup.


Nasi Ayam

Bahan bahan:
4 pot beras basmathi
8 pot air sup
2 helai daun pandan
Sedikit serbuk kunyit
3-4 sudu besar mentega/majerin

Bahan tumbuk:
4 biji bawang merah
4 ulas bawang putih
2 inci halia
 
Panaskan mentega dan tumis bahan tumbuk sehingga wangi. Masukkan air rebusan ayam secukupnya.

Setelah mendidih masukkan daun pandan, serbuk kunyit.


Masukkan beras yang telah dibasuh dan tos ke dalam periuk dan masak seperti biasa.




Ayam Goreng 

Bahan lain:

4-5 ketul bahagian atas paha ayam

1 sudu kecil serbuk ketumbar

1 sudu kecil jintan manis

1 sudu kecil jintan putih

½ sudu kecil serbuk kunyit kunyit

½ sudu kecil serbuk pati ayam 

1 sudu kecil gula 

1 sudu kecil garam

1-2 sudu besar kicap pekat 


Bahan tumbuk:

6 ulas bawang putih

4 inci halia


Ayam dikukus hingga masak. Angkat dan kelar. Lumur rata dengan bahan di atas dan perap.





Goreng sekejap jer kerana ayam pun telah masak supaya ayam kekal juicy. Ketuk ayam dan sedia untuk dihidangkan.




Sos Nasi Ayam

Bahan kisar:

5 biji cili merah

5 cili padi merah

7 ulas bawang putih

3 inci halia


Bahan lain:

2 sudu besar sos cili 

2 sudu besar sos tiram 

1 sudu besar kicap pekat 

6 sudu besar madu 

1 sudu kecil garam 

1 sudu kecil serbuk pati ayam 

4 sudu besar cuka 

1 sudu besar gula - jika perlu


Masak semua bahan sehingga sos mendidih dan berkilat. 



Cara Hidangan

Hidang dengan salad, buah tomato, timun. Ayam diketuk dan dipotong. Serta sos.


Tabur daun sup dalam sup.



Catat Ulasan for "Nasi Ayam Azie Kitchen"