Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Asam Pedas Ikan Pari Johor



Malam Ahad lepas, kami menghadiri majlis perkahwinan anak jiran kami yang diadakan di Hotel Le Meridien Petaling Jaya. Tetamu VVIP malam itu ialah YBhg Tun Dr Mahathir Mohammad dan Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali. Alhamdulillah dapat melihat kedua mereka dari jarak yang agak dekat. 

Walaupun telah beberapa kali juga bertemu dengan mereka tapi kali ini adalah pertama kali bertemu mereka di usia mereka lewat 90an. Alhamdulillah mereka masih sihat dan kuat walaupun Tun Dr Siti Hasmah perlu dipimpin. Kalau tak silap kerana masalah pengelihatan. 

Alhamdulillah mereka dikurniakan usia yang panjang dan diberikan kesihatan yang baik. Ada ramai yang umur panjang tapi dah tak boleh bergerak ke sana sini. Apa lagi menghadiri majlis yang memerlukan berjalan agak jauh. 

Pada saya mereka adalah role model seorang doktor yang mengamalkan gaya hidup sihat. Dengan gaya hidup sihat, mereka tiada masalah obesiti, tiada masalah perut buncit dsb. Kedua dua mereka masih segak dan sangat kemas penampilan. Di wajah mereka yang putih bersih sentiasa mengukir senyuman. 

Teringat kata kata Tun M, yang antaranya ialah bila makan dan dirasanya sedap, dia akan cepat berhenti makan untuk mengelakkkan makan berlebihan. Kedua, kata Tun M kena banyak bergerak. Dia tak faham dengan orang kita yang bila tua akan disuruh baring dan banyakkan tidur. Ketiga, yang saya ingat ialah agar banyak membaca yang boleh meransang minda dan mengelakkan seseorang dari cepat nyanyuk. Haa setakat ini dahulu, semoga bermanafaat.  


Ada kawan saya yang kawin dengan orang Johor. Katanya orang Johor memang sangat sinonim dengan asam pedas. Pagi pagi dah ada asam pedas dicicah roti canai atau dimakan dengan nasi lemak. Makan tengahari pun ada asam pedas. Makan malam pun ada asam pedas. Pendekata lauk hidangan di meja merah merah semuanya. 

Selain asam pedas Melaka, saya suka juga asam pedas Johor yang lebih simple bahannya. Biasanya mereka guna juga sawi jeruk atau hanya menggunakan daun kesum. Tak ada serai, daun limau purut atau bunga kantan pun. 

Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Jangan lupa video di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba....


Asam Pedas Ikan Pari Johor
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
550 gram ikan pari
4 sudu besar cili kisar
1 sudu kecil garam kasar
Sebesar bola ping pong asam jawa - rendam air panas
1 sudu kecil halba
Daun kesum
10 biji kacang bendi 
Minyak masak

Bahan tumbuk:
1 biji bawang besar - saiz sederhana
5 ulas bawang putih
1 inci halia
2 inci kunyit hidup

Cara cara:
Panaskan minyak dan tumis halba dan bahan tumbuk hingga garing keemasan. Masukkan air dalam lesung. Kacau rata. 


Masukkan cili kisar dan tumis sehingga terbit minyak. Masukkan air beberapa kali sehingga cili benar benar garing. Masukkan garam supaya kuah dah rasa sedap. Nota: boleh guna sawi jeruk jika ada. 

Masukkan ikan. Masukkan air asam jawa dan air secukupnya. 


Akhir sekali masukkan daun kesum dan kacang bendi. Kacau rata dan setelah ikan masak, tutup api.





Catat Ulasan for "Asam Pedas Ikan Pari Johor"