Sambal Ikan Bilis Tempoyak
Saya kini sedang membaca buku buku dan mendengar kuliah berkenaan dengan sirah Nabi Muhammad SAW. Untuk menambahkan kecintaan kita pada baginda Nabi, kita kena baca dan tahu sirah diri dan perjuangan Rasulullah.
Antara yang kita sebagai umat Nabi Muhammad SAW mesti tahu ialah mukjizat Nabi Muhammad yang sangat banyak. Dikatakan ada 1000 mukjizat. Kalau pun tidak semua, kita kena tahu mukjizat besar yang dianugerahkan kepada baginda.
Antaranya ialah Al Quran yang diturunkan pada 17 Ramadhan secara berperingkat peringkat yang kita boleh pegang dan baca sehingga kini. Kedua, ialah peristiwa Israk Mikraj di mana Nabi diperjalankan dari Mekah ke Baitul Maqdis dengan menaiki Buraq secara jasad dan roh dan kemudian diangkat sehingga ke langit ketujuh Sidratul Muntaha. Semuanya berlaku dalam satu malam. Ketika itu lah Nabi diwahyukan kefardhuan solat kepada umat baginda sebanyak 5 kali sehari.
Yang lain lain mukjizat seperti membelah bulan, ranting bertukar menjadi pedang Ukasyah ketika Perang Badar, mengeluarkan air dari jari jemari baginda, merawat mata sahabat yang terkeluar ketika perang, bercakap dengan tumbuhan seperti memujuk batang pokok kurma, bercakap dengan bahagian paha kambing yang dipanggang dan dimasukkan racun oleh wanita Yahudi serta banyak lagi.
Tapi yang paling hebat juga ialah bila baginda melihat ke depan, baginda juga nampak apa yang ada di belakang, baginda tiada bayang, tidak pernah menguap, makanan yang sedikit cukup untuk dimakan ramai orang dan banyak sangat sehingga tak tersebut di sini.
Masya Allah semoga kita semua diberikan ruang dan keinginan untuk membaca dan mengenali sirah Nabi Muhammad SAW dan mukjizat sebagai tanda cintanya kita pada baginda. Betapa hebatnya perjuangan Nabi untuk menyampaikan agama Islam kepada kita hari ini.
Kita mengharapkan syafaat baginda di Padang Mahsyar kelak, kita mahu minum air telaga baginda Al Kautsar. Apa yang kita boleh lakukan sekarang ialah dengan mengikuti segala ajaran Al Quran yang diperturunkan kepada baginda dan sunnah Nabi. Juga perbanyakkan membaca selawat pada Nabi setiap hari. Insya Allah.
Saya sebenarnya tak mengenal tempoyak semasa kecil di kampung kerana durian adalah satu buah yang mahal. Kami pulak tidak ada pokok durian di tanah kebun kami. Jadi bila sekali sekala membeli durian, kami akan makan durian dengan pulut santan. Arwah ibubapa akan mengambil beberapa ulas dan dimasukkan ke dalam budu. Digaul rata dengan budu, picit cili padi dan diperah asam limau nipis.
Bukan tempoyak tapi isi durian yang manis manis lagi tu. Saya pun akan makan isi durian tu walaupun tak suka budu. Saya pernah membawa tempoyak yang dibuat sendiri dari Perak ke rumah Bonda saya. Ternyata mereka tak pandai makan tempoyak. Akhirnya kerana tak mahu membazir, saya bawa balik ke KL.
Setelah berkahwin baru tahu berkenaan tempoyak kerana banyak buah durian yang gugur dan dijadikan tempoyak untuk disimpan supaya tahan lama. Sekarang baru hargai rupanya tempoyak ini mahal juga harganya. Harga sebekas kecil pun dah RM15.
Serious sedap sangat sambal tempoyak saya hari ini. Saya makan dengan nasi begitu sahaja. Tapi kalau ada ulam ulam seperti pucuk jeneris atau kacang botor, pasti lagi sedap. Cuma berapa banyak isi petai dan ikan bilis nak dimasukkan tu, terpulang lah. Yang pasti lagi banyak lagi lah sedap.
Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Juga jangan lupa video penyediaannya di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba…..
Sambal Ikan Bilis Tempoyak
Oleh: Azie Kitchen
Bahan bahan:
40-50 gram ikan bilis - goreng garing
½ biji bawang besar Holland - hiris
4 sudu besar tempoyak
50 gram isi petai
½ sudu kecil garam
2 sudu besar gula
Minyak masak
Bahan kisar:
10 biji cili padi hijau dan merah
2 sudu besar ikan bilis
1 inci kunyit hidup
Cara cara:
Panaskan minyak dan goreng ikan bilis hingga garing. Angkat dan ketepikan.
Menggunakan minyak sama, tumis bahan kisar sehingga sedikit garing. Masukkan bawang Holland hiris. Kacau lagi sehingga bawang layu.
Masukkan tempoyak dan kacau rata. Masukkan air dan masak sehingga air kering.
Setelah terbit minyak, masukkan isi petai. Kacau lagi.
Masukkan garam dan gula secukupnya.
Akhir sekali masukkan ikan bilis goreng. Kacau rata dan sedia untuk dinikmati.
Catat Ulasan for "Sambal Ikan Bilis Tempoyak"
Add your comment