Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Kari Daging Yang Sedap



Assalamualaikum semua. Selamat menyambut Maal Hijrah esok bersamaan dengan 1 Muharram. Pastinya hari yang ditunggu tunggu bila anak anak tidak bekerja dan cucu tidak ke sekolah. Haa sebelum itu, sambil baca blog saya, jangan lupa klik iklan yang keluar tau. Terima kasih. 

Media social sekarang rancak di sana sini dengan kempen kempen pilihanraya negeri (PRN) walaupun PRN kali ini hanya untuk 6 negeri sahaja. Kempen yang sihat memang bagus tetapi kebanyakan kempen mesti ada unsur fitnah dan maki hamun. 

Yang paling tak best bila melihat penyokong masing masing yang meninggalkan komen dengan bahasa yang kesat dan kurang adab. Kalau generasi anak anak membacanya, pasti mereka juga akan mengikutnya satu hari nanti. 

Sebenarnya kita sebagai warga negara kena ambil tahu juga segala perkembangan semasa untuk membantu kita membuat pemilihan kerajaan negeri yang baru di negeri negeri tersebut. 

Insya Allah PRN kali ini pertama kali kami dan anak anak akan mengundi di satu pusat pemilihan yang sama. Tahun ini Aween juga layak mengundi tetapi dia masih di London ketika itu. 

Jom sama sama semak daftar pemilih dan pusat pembuangan undi masing masing. Jangan lupa untuk jalankan tanggungjawab sebagai warganegara dengan keluar membuang undi. OK setakat ini dahulu. 


Kalau saya memasak kari, saya akan memilih daging yang ada lemak lemak sedikit, barulah lebih sedap. Itu sebab lauk kenduri kawin yang dimasak sendiri secara rewang lebih sedap dari masakan katering. 

Ini kerana katering biasanya akan membeli daging yang diperlukan secukupnya. Manakala kalau kenduri di rumah, biasanya akan disembelih seekor lembu. Jadi semua bahagian lembu akan dimasukkan dalam gulai. 

Haa lupa pulak kalau di Kelantan dipanggil gulai daging bukan kari daging. Ianya juga menggunakan rempah khas untuk memasak gulai kawah. Kuahnya pun tidak berminyak macam kari daging di sini. 

Lagi lama dipanaskan lagi sedap dan cantik kejadiannya. Saya siap meratah ratah dan cicah dengan roti. Serious sedap kalau bahagian daging yang ada urat urat dan lemak ni. Hahaha sambil sambil menternak lemak. 

Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Selamat mencuba….


Kari Daging Yang Sedap
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
300 gram daging - lebih sedap guna bahagian ada lemak
2 ½ sudu besar rempah kari daging
1 sudu besar cili kering kisar - opsyenal
Rempah 4 sekawan
1 biji kelapa parut - santan
1 sudu besar kerisik
Pes asam jawa/asam keping
Garam
Gula Melaka

Bahan hiris:
4-5 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1 inci halia

Cara cara:
Panaskan minyak dan tumis bahan hiris dan rempah 4 sekawan sehingga sedikit keperangan, masukkan rempah kari daging. Kacau rata dengan cepat. Masukkan sedikit air.

Kacau lagi sehingga terbit minyak. Masukkan daging dan kacau seketika sehingga air daging kering. 

Masukkan santan cair atau air dan masak sehingga daging empuk. Setelah daging empuk, masukkan santan pekat, garam, gula Melaka, asam jawa secukupnya.

Setelah terbit minyak, bolehlah tutup api. Nota: lagi lama dipanaskan kari akan menjadi lebih sedap dan cantik terbit minyaknya. 


Catat Ulasan for "Kari Daging Yang Sedap"