Gulai Kawah Daging Mumban Nyor
Sejak bersara, saya jarang mengalami demam dan selsema yang teruk kecuali Covid 19 dulu. Mungkin juga kerana saya berehat yang secukupnya setiap kali badan rasa tak sihat, jadi ianya tidak berpanjangan.
Namun kali ini selsema dan batuk saya agak teruk dan berpanjangan. Telah lebih dari seminggu. Saya baru memulakan antibiotik setelah melihat adanya tanda infection.
Bila dah tak sihat, selera maka saya hilang dan langsung tak lalu untuk menjamah makanan. Semua rasa tak sedap. Lagi lagi kalau makanan yang dibeli. Hari tu, anak beli nasi lemak di pasar malam hari Jumaat di Putra Jaya. Maaflah tak terasa langsung macam nasi lemak, sambalnya pulak sikit tidak sepadan dengan jumlah nasi yang dibungkus.
Zaman sekarang memang susah nak cari makanan yang dijual yang sedap kerana mereka memasak untuk jualan bukan seperti untuk dimakan sendiri. Jadi kualitinya lain. Itu pendapat saya lah. Itu sebab dulu dulu, saya suka pergi ke ceruk ceruk kampung seperti di Kundang untuk mencari gerai menjual nasi lemak atau lontong di tepi tepi jalan. Ianya sangat sedap kerana yang menjualnya adalah orang yang sama dengan orang yang memasak.
Di kampung saya, memang sangat terkenal gulai kawah daging atau kambing dengan mumban nyor untuk majlis kenduri. Terutama majlis rumah adik beradik sayalah. Kakak saya memang tak akan buat katering, semua akan dimasak secara bergotong royong.
Daging pulak daging yang disembelih sendiri, jadi semua bahagian lembu atau kambing boleh digunakan dalam gulai ini. Nak sedap kena campur daging dengan bahagian berlemak dengan bahagian lain juga. Tak boleh guna daging semata apalagi guna daging batang pinang sahaja. Memang tak sedap sangat.
Mumban nyor ni sebenarnya ialah tempurung dan sabut kelapa yang muda. Dulu saya pun tak faham. Bila dah pandai kait buah kelapa sendiri, baru tahu. Cari buah kelapa yang kecil dan masih muda.
Serious sedap dan gandingan serasi antara daging dengan mumban nyor. Sedap sangat dimakan dengan dicicah roti juga. Saya bangun pagi, masuk ke dapur untuk sarapan roti cicah gulai daging dengan mumban nyor. Haa dalam selera tak ada tu, saya boleh makan pulak lauk ini.
Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Selamat mencuba...
Gulai Kawah Mumban Nyor
Oleh: Azie Kitchen
Bahan bahan:
250-300 gram daging - ada lemak sedikit
3-4 sudu besar rempah gulai kawah - yang telah dimatikan
3 biji bawang merah - hiris
1 biji kelapa parut
1 biji kelapa muda - mumban nyor
Garam
Gula
Cara cara:
Satukan daging dan rempah gulai kawah dan kacau rata sehingganya berpalut. Masukkan mumban nyor. Masak sehingga air daging keluar dan kering.
Masukkan air secukupnya untuk empukkan daging. Masak sehingga daging empuk dan rempah terbit minyak.
Masukkan santan dan masak sehingga mendidih. Masukkan bawang merah hiris. Perasakan dengan garam dan gula secukupnya. Bolehlah diangkat dan dihidangkan.
Nota:
Rempah gulai kawah ditumis sehingga benar benar masak dan terbit minyak bersama bawang merah, bawang putih, halia.
Catat Ulasan for "Gulai Kawah Daging Mumban Nyor"
Add your comment