Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Sandwich Sardin Paling Mudah dan Sedap



Kita akan meninggalkan bulan Syawal dalam masa beberapa hari lagi. Hari Sabtu ini adalah hari terakhir bulan Syawal. Bagi yang belum berpuasa sunat 6 hari bulan Syawal, maka telah terlambat untuk mencukupkannya. Alangkah rugi kerana mensia siakan tawaran pahala yang dijanjikan untuk mereka yang berpuasa selama 6 hari dalam bulan Syawal. 

Sebenarnya banyak amalan mudah untuk kita amalkan. Untuk beramal ni perlukan mujahadah, perlu melawan perasan malas dan letih. Terbaca dalam satu posting adalah beberapa amalan yang patut kita amalkan sepanjang kita masih bernyawa.

Antaranya membaca surah Al Mulk sebelum tidur. Surah ini akan menjadi peguambela dan menemani kita di dalam kubur kelak yang akan berhujah dengan malaikat Mungkar dan Nakir. Kedua membaca ayat Kursi selepas setiap kali solat fardhu kerana yang akan menghalang kita dari masuk syurga ialah kematian. Maknanya kita belum mati lagi. Ketiga ialah membaca surah al Ikhlas sebanyak 10 kali sehari untuk kita mendapat istana di akhirat kelak.

Banyak lah lagi amalan mudah yang patut kita amalkan seperti membaca zikir "Laa ilaa haillallaahu wahdahuulaa syariikalah, lahul mulku walahuu hamdu yuhyi wayumittu wahualaa kulli syai in qadiir" sebanyak 10 kali setiap kali selepas Subuh dan Maghrib dengan kedudukan kaki kekal seperti dalam tahiyyat akhir. 

Ganjarannya ialah kita akan mendapat 10 kebaikan, akan dihapuskan 10 kejahatan dan diangkat 10 darjat. Semua ini kita akan nampak setelah kita di akhirat, tak dapat buat semua, jangan tinggal semua. Kena bermujahadah melawan perasaan malas kerana lama lama akan menjadi satu kebiasaan. 


Tiba tiba teringatkan sandwich sardin yang saya makan semasa sarapan pagi bersama Nana dan Juita di kopitiam. Sandwich tu simple jer dan menggunakan roti yang dibakar terlebih dahulu. Tapi saya ini memang penggemar sardin, jadi sandwich sardin memang tak boleh tolak walaupun dah order mee hoon Singapore. 

Oleh kerana semua bahan diperlukan ada di dapur, saya terus membuat bahan sardin. Sebenarnya ada macam macam cara untuk menyediakan sandwich ni. Kita boleh sapu roti dengan mayonis atau dengan mentega. Kalau biasanya saya guna mentega, atau guna planta lagi sedap dengan rasa lemak masin.

Roti juga boleh dibakar sekejap sahaja untuk menjadikan roti lebih cantik dan mudah dipotong. Roti tak akan jadi kemek kesan jari kita ketika memotong sandwich. Sandwich yang saya makan di kopitiam tu memang dibakar seperti biasa, sedikit keperangan macam roti yang dimakan dengan kaya dan mentega. 

Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Jangan lupa untuk melihat video di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba….


Sandwich Sardin
Oleh: Azie Kitchen

Bahan inti:
1 tin sardin - 230 gram
Sedikit garam
½ biji bawang besar - dihiris
1 biji cili merah - dihiris
1-2 biji buah limau kasturi

Sandwich;
8 keping roti
1-2 sudu besar mayonis
Salad
1 biji timun 
1 biji buah tomato

Cara cara:
Masak sardin dengan sedikit kuah sos sehingga hampir kering. Masukkan sedikit garam. 


Angkat dan tuang dalam bekas. Hancurkan dengan garfu.

Masukkan bawang dan cili hiris. Kacau rata. Perahkan air asam limau secukupnya. 

Masukkan mayonis. Kacau rata. Sedia untuk digunakan.




Cara menghidangkan.
Sapu mayonis pada roti. Letakkan inti sardin dan ratakan. Letak pula sayuran di atasnya. Sayuran mesti dilap kering. Kalau sandwich untuk jualan lain sedikit susunannya supaya kemas. Untuk makan sendiri, kita nak kan inti sardin yang banyak. 


Tutup dengan sekeping lagi roti yang disapu mayonis. Potong serong 2 atau 4, jika suka dengan menggunakan pisau roti yang bergerigi. Jika mahu dipotong 4, kena lapik roti sebanyak 3 keping. Sedia untuk dinikmati. 

Nota: untuk potongan cantik dan kemas, boleh bakar roti sekejap sahaja sebelum disapu mentega lembut suhu bilik, diratakan bahan sardin, sayuran dan dipotong seperti menggergaji. Jangan bakar lama kerana roti akan jadi liat.



Catat Ulasan for "Sandwich Sardin Paling Mudah dan Sedap"