Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Sambal Hijau Bilis Dengan Terung Pipit



Alhamdulillah hari ini saya telah menggenapkan puasa 6 hari dalam bulan Syawal. Esok dah boleh beraya yeaay. Insya Allah saya akan meneruskan rutin berpuasa sunat Isnin dan Khamis. Semoga saya terus istiqomah. 

Sebenarnya hidup di dunia memang melekakan. Lebih lebih lagi kalau kita kaya dan dikelilingi kemewahan sehingga kan baju untuk masuk dapur pun berharga lebih dari RM1000 sepasang. Masya Allah kayanya puak puak ni. 

Ya lah rezeki kita semua di dunia ini tak sama. Yang penting, kita sentiasa redha dengan segala apa yang ditakdirkan pada kita. Diberi nikmat, kita syukur, diberi ujian, kita sabar. Insya Allah hidup akan tenang. 

Mengingati kematian akan mematikan nikmat dan kelazatan dunia. Kebelakangan ini banyak dengar berita kematian. Salah seorang ialah sahabat dari universiti lagi yang sama dalam group WhatsApp. Dengar berita dah tenat. 2 hari kemudian, telah meninggal dunia. Cepatnya. Hidup dan mati umpama kelipan mata sahaja. Bila mendengar berita kematian, menjadikan kita insaf dan rasa betapa kecilnya dunia ini. OK sekarang kita masuk pula bab resipi. 


Saya suka makan terung pipit, rasanya unik dengan sedikit kelat kelat. Ada sepokok pohon terung pipit tumbuh tepi dapur kami. Rezeki kerana ianya tumbuh sendiri dan berbuah agak banyak. 

Saya kenal dengan terung pipit ini ketika seorang rakan sepejabat , Puan Nur Aizam memberitahu sedap sambal ikan bilis dengan terung pipit. Masa tu lah baru saya kenal terung pipit. Ketika itu, saya sempat lagi mencari nya di pasar tani. 

Kalau ada yang belum pernah merasa terung pipit, boleh cuba cari di pasar tani dan masak lauk sambal hijau ikan bilis dengan terung pipit ini. Pasti makan nasi menambah nambah. 

Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Juga video penyediaannya ada di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba.....


Sambal Hijau Bilis Dengan Terung Pipit
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
2 genggam ikan bilis
Segenggam terung pipit
Garam
1 sudu besar gula
Asam keping
Minyak

Bahan tumbuk:
4 biji cili. hijau
4 biji cili padi hijau
4 biji bawang merah
4 ulas bawang putih

Cara cara:
Panaskan minyak dan goreng bahan tumbuk sekadar layu. Angkat dan tumbuk kasar kasar. Ketepikan.


Menggunakan minyak yang sama, goreng ikan bilis sehingga garing. Angkat dan ketepikan. Goreng pula terung pipit. Angkat dan ketepikan.


Masukkan bahan tumbuk dan tumis seketika. Masukkan asam keping, garam dan gula secukupnya. 

Akhir sekali, masukkan ikan bilis goreng dan terung pipit goreng. Kacau rata dan sedia untuk dihidangkan.





Catat Ulasan for "Sambal Hijau Bilis Dengan Terung Pipit"