Lontong Nur Qaseh Azie Kitchen's Signature Recipe
Alhamdulillah hari ini telah berada pada 11 Syawal. Macam mana semua? Ada yang dah beraya puasa 6 hari bulan Syawal ke? Kalau hari minggu atau hari cuti, susah sikit nak puasa kerana anak anak ada di rumah. Kalau tak makan makan di rumah, kami akan keluar makan di luar.
Jadi saya akan berpuasa pada hari bekerja bila anak anak keluar bekerja, senang tak perlu nak masak masak tengahari. Petang terus masak untuk berbuka dan makan malam.
OK setakat ini dahulu, hari ini saya nak kongsikan resepi lontong Nur Qaseh yang menjadi kesukaan saya. Sesuai nak masak ni kerana kita akan masih dalam mood beraya. Masih di bulan Syawal. Betul tak?
Saya belajar resipi ini dengan bekas rakan sekerja yang berasal dari Johor. Beliau minat dan pandai memasak terutama masakan Johor. Sejak lebih 30 tahun lepas, saya setia dengan resipi ini.
Pernah cuba resipi lain juga tapi saya masih setia dengan resipi ini. Saya memang suka suatu yang simple tapi sedap. Haa gitu. Resipi saya belajar dulu, lontong ini dimakan dengan sambal kacang. Saya sertakan resipinya di bawah.
Tapi kali ini saya hidangkan dengan sambal ikan bilis di SINI. Boleh juga dihidangkan dengan apa apa jer yang disukai seperti paru berlado yang dihiris nipis atau rendang dsb. Kita yang buat dia kan.
Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Hari ini saya cuma masak separuh dari resipi di bawah kerana kami makan 3 orang sahaja. Selamat mencuba….
Lontong Nur Qaseh
Oleh: Azie Kitchen
Bahan bahan:
¼ biji kubis - potong halus
¼ biji sengkuang - potong panjang - opsyenal
1 batang karot - potong panjang
6 batang kacang panjang
2 biji terung panjang
2 keping sayur fucuk - potong dan rendam
1 biji kentang - potong 8 - opsyenal
2 batang serai - ketuk
1 cawan udang hidup
2 santan kotak kecil
Garam secukup rasa
Serbuk kunyit - untuk warna cantik
Air secukupnya
Bahan B:
1 ikat soo hoon - rendam
1 keping tempe - potong nipis dan goreng
2 keping tauhu - potong 8 dan goreng
2 batang cili merah - hiris
Bahan kisar:
8 biji bawang merah
1-2 inci kunyit hidup
2 sudu besar udang kering - rendam dan tos
Cara cara:
Masak bahan kisar dan serai bersama air atas api perlahan sehingga mendidih. Tambah air dan masak lagi. Renih lama lama bagi memastikan bahan kisar benar benar masak.
Tambahkan air secukupnya ke dalam kuali dan biarkan sehingga ianya mendidih lagi.
Masukkan semua bahan dan sayur yang jenis keras sehingga sayur yang lembut.
Masukkan santan kotak. Setelah mendidih, masukkan udang serta sedikit serbuk kunyit bagi mencantikkan warna kuah.
Akhir sekali masukkan cili merah, suhun, tauhu dan tempe yang digoreng. Masukkan garam dan sesuaikan rasa dan kepekatan. Terus dikacau kuahnya selepas beberapa minit api ditutup. Nota: kuah akan jadi pekat setelah sejuk, jadi kena agak kecairan kuahnya.
Hidangkan dengan nasi impit, telur rebus dan sambal kacang di SINI atau sambal ikan bilis.
Sambal Kacang
Segenggam kacang tanah
2 sudu besar cili - ikut suka pedas
Gula
Garam
Kacang tanah dibuang kulit dan digoreng tanpa minyak dan tumbuk. Panaskan minyak dan goreng cili sehingga betul betul garing. Masukkan gula dan garam.
Masukkan kacang tumbuk dan sedikit air. Sesuaikan rasa.
Petua supaya lontong tahan lama dan tidak mudah basi
1. Masak Waktu Pagi
Menurut chef, jangan sesekali masak kuah lodeh di malam hari sebaliknya masaklah ketika waktu subuh atau waktu pagi raya. Cara menyediakan mudah sahaja dan tidak memerlukan masa yang lama. Apa yang anda perlu lakukan adalah memotong kesemua sayuran di waktu malam hari. Ini membantu lebih cepat proses memasak pada keesokkan harinya.
2. Didih Sayur Sahaja
Bagi memastikan kuah lodeh mampu bertahan lama, apa yang anda boleh lakukan adalah hanya mendidihkan air dengan bahan kisaran seperti bawang, kunyit hidup, udang kering dan bahan-bahan lain sahaja tanpa santan. Buat stok ini, didih dan perasakan secukupnya.
3. Biarkan Reneh Lama
Ketika mendidihkan kuahnya, biarkan ia direneh sedikit lama sebelum dimasukkan kesemua sayuran lain. Ini bagi memastikan bahan kisaran dimasak dengan tepat. Kemudian barulah dimasukkan kesemua bahan-bahan lain seperti tempe, kacang panjang, kentang, lobak merah, tauhu, terung, tauhu kering, kobis dan sebagainya mengikut citarasa anda.
4. Asingkan Santan
Sebaik tetamu datang, didihkan semula bahan stok kisar bersama sedikit santan yang sudah diasingkan dalam periuk berasingan. Masak semula kesemua bahan ini mengikut jumlah tetamu yang datang. Perasakan secukupnya dan bolehlah dihidangkan. Cara ini bukan sahaja tidak cepat basi tetapi lebih segar rasanya untuk dihidangkan kepada tetamu.
5. Sambal & Kuah Kacang
Sambal dan kuah kacang bolehlah dimasak pada malam raya kerana ia tidak menggunakan santan dan tidak cepat basi. Namun bolehlah menumis sambal lebih lama supaya cili lebih enak dan tahan lama. Pastikan sambal dan kuah kacang cukup lengkap rasanya.
Catat Ulasan for "Lontong Nur Qaseh Azie Kitchen's Signature Recipe"
Add your comment