Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Ayam Masak Kicap Ala 3 Budak Gemuk



Sebelum kita masuk bab resipi, saya ingin kongsikan Kuliah Zoom Ustaz Md Esa Deraman berkenaan tajuk persiapan untuk akhirat.  Orang beriman yakin dekatnya hari kiamat. Yang membezakan orang beriman dengan orang kafir ialah orang beriman melihat kiamat itu dekat. Hari paling dasyat iaitu hari kemusnahan seluruh alam dan makhluk, untuk dibangkitkan semula.

Surah Makkiah sebanyak 85 surah menekankan bab kiamat. Semua akan binasa. Yang kekal hanya zat Allah. Orang beriman sentiasa dituntut untuk membuat persiapan untuk menghadapi hari kiamat. Hari yang menggerunkan. Nilai umur dunia tak ada apa apa. Sebahagian manusia rasa dunia ini kekal. Nikmat dunia yang memperdaya. 

Dunia adalah hari ini. Manakala esok adalah akhirat. Betapa dekatnya hari akhirat. Setiap diri perlu lihat apa yang dipersiapkan untuk hari esok. 1 hari akhirat sama dengan 50 ribu tahun di dunia. Di akhirat, kita akan berdiri seorang diri tanpa suami/isteri. Akan terpisah dari ibu ayah dan anak anak. Semua sibuk dengam diri sendiri. Semua sibuk pikul dosa masing masing. Tak mampu pikul bebanan dosa orang lain. Tak boleh beri syafaat atau terima syafaat. 

Hari ini orang beriman pada Allah melihat amalan mereka kecil. Orang yang taat dan sujud pada Allah dari lahir hingga mati pun,  di hari kiamat dia melihat semua itu sikit sahaja. Sangat sikit amalannya. Malaikat yang tak permah buat dosa pun, dapati ibadahnya sikit. 

Jadi persiapan mega perlu kita buat. Jangan rasa diri kita baik kerana bekalan kita sangatlah sedikit. Sedang perjalanan jauh. Untuk bekalan dalam kubur pun tak cukup, apalagi untuk akhirat. Analogi bila Allah uji dengan PKP selama 2 tahun habis modal walaupun telah bekerja selama 20 tahun. Dah tak cukup duit. Itu baru PKP dunia. Bagaimana akhirat yang panjang tempohnya. 1 hari sama dengan 50 ribu tahun akhirat.

Kita perlu buat persiapan sebanyak mungkin. Berdoa pada Allah supaya diterima segala amalan kita. Merasa amalan sikit dengan rahmat Allah yang banyak. Dengan kasih sayang Mu, tidaklah aku mengingati dan mentaati mu. Bagaimana aku hendak bersyukur dengan nikmat Mu, sedangkan ilham untuk bersyukur juga Allah yang bagi. Jangan pernah rasa amalan kita cukup dan banyak. Jangan lupa Rahmat Allah yang luas. Kita mahu rahmat Allah. Ya Allah, masukkan aku ke syurga dengan rahmat mu.

Keempat, jangan pernah lupa sebahagian dari kita lebih Allah sayangi. Mereka ialah hamba Allah yang soleh. Jangan bermusuh dengan orang soleh zaman dulu, sekarang atau akan datang. Jangan pernah hina orang soleh.

Kelima, di hari akhirat ada orang yang ada hak besar di akhirat Seperti redha mak ayah. Jangan lupa dapat redha suami. Beri lah hak guru dengan doakan mereka. Berikan hak pada orang yang ada tuntutan besar di akhirat kelak. Bertaqwa lah pada Allah. Menggandakan taqwa adalah tanggungjawab kita. Ini persiapan umum untuk hadapi hari akhirat.

Hari ini kita berada di tempat baru di mana para nabi juga tak angkat muka. Dunia tak ada nilai langsung. Kerana dunia, kamu tak taat pada aku. Dunia telah dilaknat oleh Allah. Melainkan orang yang ingatan dan ketaatan pada Allah, orang alim dan orang belajar. Yang lain semua dilaknat.

Anak anak semua isteri semua berpisah. Kita tak tanggung beban orang lain, semua nak selamat diri sendiri. Semua berhadapan kepanasan ikut dosa masing masing.

Hadis riwayat Muslim Nabi bersabda siapa melepaskan kesusahan orang Islam di dunia, Allah akan lepas kesusahan kita di akhirat kelak. Jadilah orang yang bermanafaat jangan jadi beban pada orang. Jadi orang yang memudahkan. Jangan susahkan. Apa persiapan yang kita nak buat untuk bekalan akhirat?

Beberapa amalan yang kita nak buat di mana Rasulullah menyebut maksudnya ada seorang lelaki risau amalan tak banyak melainkan dia suka bergaul dengan orang ramai dan bagi pinjam. Bila orang susah nak bayar dia akan bagi tempoh, jika susah juga, akan langsaikan hutang. Kalau nampak orang susah nak bayar, halalkan lah. Bagi tempoh dulu, kalau kita halalkan lebih baik. Lebih lebih lagi jika dia memang susah. Bukan yang jenis liat bayar hutang. Mungkin keputusan ini, menjadi asbab Allah selamatkan kita di akhirat.

Rasulullah bersabda siapa mengenyangkan orang lapar, beri pakaian orang telanjang, beri perlindungan pada orang musafir, Allah akan selamatkan kita di hari kiamat. Contoh ada Homestay sesekali bagi free jer. Terutama mereka yang datang dari kampung. 

Hadis lain Rasulullah bersabda, siapa yang menyuap satu suapan pada saudaranya Allah akan memalingkan kita dari hari kiamat. Maknanya bagi orang makan.

7 amalan iaitu pemimpin yang adil sebab Allah tenangkan dia dari huru. hara akhirat. Pemuda yang hidup dalam beribadah pada Allah.  Seorang yang hatinya terikat dengan masjid. Orang yang bertemu dan berpisah kerana Allah. Lelaki yang digoda oleh wanita. Orang yang bersedekah lalu menyembunyikan hatta suami/isteri pun tak tahu dan kita pun tak ingat. Ia akan menyelamat kita dari huru hara akhirat. Seorang yang mengingati Allah bila bersendirian. Menangisi kelalaian, menyesali kerana selama ini tidak bersyukur. Mudahan airmata ini penyebab Allah memberi rahmat dan kasih sayang.

Orang yang hati keras hati berpenyakit akan rasa kekal di dunia. Hari akhirat ialah hari yang tidak memberi manafaat anak dan harta benda melainkan menemui Allah dengan hati yang sejahtera. Hari ini dunia, esok akhirat kerana esok kita mungkin dah mati. Orang beriman sentiasa melihat kiamat pasti berlaku bila bila masa.


Saya menyediakan lauk ini atas cadangan Nana bila saya tanya dalam group WhatsApp family, nak masak lauk apa hari ini. Bila Nana menyebut, ayam masak kicap. Terus saya dapat idea untuk memasak ayam masak kicap ala 3 budak gemuk. Maklumlah masak kicap ini kan ada pelbagai versi, ada kicap berempah, ada kicap pedas dsb. 

Memang sedap lauk ini. Saya tidak suka lauk yang berempah, jadi lauk ini tidak berempah cuma menggubakan kicap manis dan sos tiram sahaja sebagai bahan perasa utama. Kuahnya pun sedap digaul dengan nasi putih panas panas. Haa kalau siapa yang belum pernah cuba lauk ini, apakata cuba sekali. Pasti anda akan menyukainya dan memasaknya berkali kali. 

Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Jangan lupa video di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba.... 



Ayam Masak Kicap Ala 3 Budak Gemuk
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:

½ ekor ayam - lumur garam & serbuk kunyit 

Segenggam daun kari

Kicap manis secukupnya - agak agak kuah warna hitam

4-6 sudu besar sos tiram 

1 batang serai - dititik

Garam - jika perlu

1 sudu kecil gula 

½ sudu kecil pes asam jawa

1 biji bawang besar Holland - hiris

Minyak masak


Bahan kisar:

8 biji cili api hijau 

1 biji bawang besar

4 biji bawang merah

6 ulas bawang putih

1 inci halia


Cara cara:

Panaskan minyak masak dan goreng ayam sekadar masak. Angkat dan ketepikan. 



Menggunakan minyak sama, tumis serai dan bahan kisar sehingga terbit minyak. 


Masukkan daun kari, sos tiram, pes asam jawa dan kicap secukupnya. Jika perlu, masukkan sedikit air. 


Masukkan ayam, garam dan gula secukupnya. Nota: Rasakan dulu sebelum dimasukkan garam kerana sos tiram telah ada rasa masin.



Jika suka, masukkan bawang besar hiris. Kacau rata dan tutup api.






Catat Ulasan for "Ayam Masak Kicap Ala 3 Budak Gemuk"