Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Rendang Tok Untuk Anak Anak Beraya Di London



Selain rendang ayam dan rendang daging, pastinya yang dicari cari di meja hidangan ialah rendang tok. Tapi sebelum kita masuk bab resipi, jom kita kongsikan tentang Ramadhan. Sahabat baik saya pernah mengajar saya, Zie untuk malam malam akhir Ramadhan, kita kena ada strategi dalam beribadah. 

Contoh jangan hanya mengaji Al Quran pada malam itu tapi baca surah surah yang digalakkan untuk kita membacanya seperti surah Yassin, Al Fatihah, 3 Qul, Al Zalzalah, Al Mulk.  

Ini adalah kerana sebagai contoh, kita digalakkan untuk membaca surah Al Mulk setiap malam sebelum tidur kerana surah ini akan bertindak sebagai peguambela kita di dalam kubur. Jadi dengan membaca surah Al Mulk pada malam yang kalau bersamaan dengan malam Lailatul Qadr ianya seolah kita membaca surah ini selama 83 tahun.  

Haa begitulah lebih kurangnya. Ketika itu, belum ada IG, Tiktok ni semua. Tapi sejak dah ada media social, ramai juga ustaz ustaz mengajarkan seperti itu. Sejak itu, saya mengubah cara sedikit dengan mengutamakan surah yang kita digalakkan membacanya sepanjang hidup. Mengaji surah lain dibuat waktu siang hari Ramadhan. 

Hari ini saya memasak rendang Tok dalam periuk non stick Vantage saiz 36 cm. Dah bertahun saya menggunakan periuk ini untuk memasak juadah raya atau memasak apa apa dalam kuantiti yang banyak.  Saya suka kuali dan periuk Vantage kerana ianya ringan. 

Sejak mengalami masalah carpal tunnel, saya jadi phobia untuk mengangkat barang yang berat terutama periuk dan kuali dari dapur. Pergelangan tangan ini penting untuk kita bekerja di dapur. Jadi kena berhati hati dan mengelakkan terjadi nya di masa hadapan. 


Saya menyediakan lauk rendang tok ini untuk bekalkan pada Nana yang sedang berpuasa dan beraya di London bersama keluarga, juga Aween. Mereka tiba malam tadi dengan penerbangan Qatar dan Aween hari ini akan bertolak dari Wales ke London untuk sama sama menjaga Ammar dan Aliya. 

Saya retort lauk pauk untuk dibawa ke sana. Nana ke sana untuk menduduki ujian klinikal, jadi dia tidak ada masa untuk memasak juadah berbuka dan juadah raya. Semoga Nana dapat fokus kepada ujian yang akan dijalani dan lulus dengan cemerlang. Aamiin. Sama sama doakan ya. 

Saya belajar resipi dari arwah Bonda Mertua. Tapi dulu dulu semua main ingat ingat di kepala sahaja terutama sukatan bahan yang disangai. Saya pun ada ajar Sri Handayani, pembantu rumah kami ketika itu. Tapi bila dah lama tak buat, saya jadi lupa sukatannya. Tapi saya masih ingat semua bahan yang digunakan. 

Kalau Bonda mertua memasak rendang, bahan semua dihiris halus. Masa tu tak faham kenapalah nak kena hiris, kan senang kalau semua dikisar sahaja. Hahaha maklumlah bahan yang dihiris bukan sedikit tapi untuk memasak 4-5 ekor ayam. Rendang pedas Perak memang menggunakan bahan yang banyak dan bila kering, banyak serdaknya.

Jom layan resipi dan penyediaannya di bawah ini. Jangan lupa video penyediaannya di Azie Kitchen Youtube Channel di SINISelamat mencuba....


Rendang Tok Bonda Mertua

Oleh: Azie Kitchen


Bahan bahan:

2 kg daging - potong kiub besar

8 sudu besar cili kering kisar - ikut pedas disukai 

2 keping gula melaka  

2 inci lengkuas - kisar

Bunga lawang, kayu manis, buah pelaga

1 sudu kecil belacan 

1-2 sudu besar garam

2 sudu besar gula


Bahan disangai (goreng tanpa minyak):

2 sudu besar jintan manis

1 sudu besar jintan putih

2 sudu besar biji ketumbar


Bahan B:

1 kg santan

4 sudu besar kerisik

2 helai daun kunyit - carik kasar

1-2 keping asam keping


Bahan hiris halus:

30 biji bawang merah

10 ulas bawang putih

2 inci  halia 

7 batang serai 


Cara cara:

Masuk semua bahan kecuali daun kunyit, asam keping, kerisik dan santan ke dalam periuk. Perap dengan daging selama dua hingga empat jam. 


Masak dan didihkan perlahan-lahan hingga air kering. Baru dimasukkan santan. Masak dalam periuk tekanan selama 30 minit. Sebab nak keringkan lagi. Keringkan dalam kuali. 



Reneh selama 3 jam. Masukkan kerisik, asam keping, gula dan garam. Kacau dengan kerap sehingga daging menjadi empuk, berwarna agak hitam dan kering. Kena selalu dikacau supaya tidak hangit. 


Akhir sekali masukkan daun kunyit. Kacau lagi hingga rata. Sesuaikan rasa dan bolehlah diangkat.



Nota:

Jika daging belum empuk, tambah santan. Jangan tambah air. 


Resipi Bonda mertua, lengkuas dikisar dan ditapis, ambil hampasnya sahaja. Tapi saya masukkan sekali dengan air.  Serai dihiris nipis tapi saya kisar sahaja kerana serai saya jenis yang besar besar. 







Catat Ulasan for "Rendang Tok Untuk Anak Anak Beraya Di London "