Rendang Pedas Daging Stail Perak Dan Kurniaan Hadiah Raya
Selamat Hari Raya Aidil Fitri pada Nana, Alain, Adik, Aween, Ammar dan Aliya di London. Insya Allah, Boy akan bertolak ke sana pada hari raya ketiga. Seronok mereka beraya di sana. Saya pun asalnya nak beraya di sana tapi bila memikirkan 10 akhir Ramadhan, saya mahu menumpukan pada ibadah di sini.
Haa cantik tak pinggan kuih dengan cawan jenama LEGLE France, hadiah hari raya kurniaan DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin. Alhamdulillah tiada kata nak menggambarkan kegembiraannya menerima hadiah ini. Yang lebih mengembirakan ialah ingatan Tengku Permaisuri pada saya. Junjung Kasih, Tuanku. Ianya akan menjadi koleksi kesayangan saya.
Saya amat bersyukur kerana Allah kurniakan kegembiraan ini buat saya, insan biasa yang tidak punya apa apa kelebihan pun. Saya kadang terasa malu dengan diri sendiri, apalah kelebihan saya untuk menerima kurniaan besar dan ingatan dari Tengku Permaisuri yang merupakan idola saya dari dulu. OK sekarang kita masuk pula bab resipi dan hidangan untuk hari raya tahun ini.
Kalau raya raya tahun sebelumnya, saya menyediakan rendang pedas ayam versi Bonda Mertua tapi kali ini saya tukar pada rendang pedas daging. Caranya sama sahaja dan bahannya juga sama. Cuma masa memasak untuk rendang daging lebih lama untuk menunggu daging empuk.
Bercakap berkenaan rendang pedas daging yang sinonim dengan negeri Perak, pastinya saya terkenangkan waktu beraya di rumah bonda mertua di kampung. Saat yang paling seronok ialah waktu berbuka puasa. Masa tu rendang masih di kawah, jadi kita boleh pilih bahagian apa yang kita sukai. Kalau saya, pastinya hati hempedal selain bahagian kepak ayam. Kadang kadang ceduk dari kawah terus ke pinggan jer.
Rendang yang dimasak sedikit kering namun masih ada terbit minyak juga. Jadi nampak sangat menyelerakan. Serdak yang banyak itu yang menyedapkan. Lagi lagi kalau dalam serdak tu, ada daging ayam yang hancur ketika dimasak.
Nak serdak banyak, bahan yang digunakan mesti banyak dan semua bahan dihiris nipis nipis. Kecuali lengkuas dan kunyit hidup yang dikisar. Dulu kita tak faham kenapa nak hiris bila semuanya boleh dikisar. Betul tak? Rupanya memang ada perbezaan dari segi rasa.
Uniknya rendang bonda mertua saya ini ialah penggunaan kelapa parut yang digoreng dan ditumbuk kasar. Tiada penggunaan kerisik seperti rendang lain. Itu yang menjadikan rendang ini tidak berkuah seperti rendang lain.
Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Jangan lupa subscribe Azie Kitchen Youtube Channel untuk melihat video penyediaannya di SINI. Selamat mencuba......
Rendang Pedas Daging Stail Perak
Oleh: Azie Kitchen
Bahan-Bahan:
1 kg daging keting
1 kg santan segar - 800 ml santan segar pekat + 200 ml air
20-30 tangkai cili kering - guna 6-7 sudu besar
½ biji kelapa parut - 1 cawan kelapa goreng 8 sudu besar
2 keping asam keping
1 keping gula melaka - 90 gram
1 sudu besar garam
Bahan hiris nipis:
20 biji bawang merah - 500 gram
8 batang serai
4 inci halia - 50 gram
4 helai daun kunyit - hiris halus
Bahan kisar:
3 inci lengkuas - 20 gram
2 inci kunyit hidup - 1 ½ sudu besar
Cara cara:
Bersihkan dan potong daging kepada ketulan bersaiz lebih kurang 1 inci.
Masukkan kesemua bahan kecuali gula melaka, garam dan daun kunyit ke dalam kuali. Masak atas api sederhana sehingga daging empuk dan hampir kering.
Setelah daging empuk, masukkan gula melaka dan garam. Kacau sesekali supaya rendang tidak hangit.
Akhir sekali, tabur dengan hirisan daun kunyit dan teruskan renih sehingga rendang kering yang disukai. Siap untuk dihidangkan.
Catat Ulasan for "Rendang Pedas Daging Stail Perak Dan Kurniaan Hadiah Raya "
Add your comment