Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Rendang Hijau Ayam



Alhamdulillah esok kita akan menyambut Hari Raya Aidil Fitri pda hari sabtu 22 April 2023. Dalam masa sama hati merasa sangat sedih kerana Ramadhan akan berlalu. Saya sangat sukakan Ramadhan atas banyak sebab selain ganjaran pahala dan kelebihan yang Alah tawarkan. 

Ramadhan telah merapatkan hubungan kekeluargaan kami bila berbuka puasa dan bersahur bersama sama. Kalau hari biasa, suami dan anak anak bekerja dan ada yang balik lambat. Jadi waktu makan malam memang tak sama. 

Tahun ini semua anak anak kecuali Juita beraya di London. Boy akan ke sana pada hari raya ketiga. Jadi raya tahun ini, hanya kami bertiga sahaja. Saya mengajak mereka untuk balik ke Kelantan kerana dah lama tidak menziarahi pusara kedua orang tua. 

Tapi rezeki menyebelahi bila raya diisyiharkan pada hari Sabtu. Ini bermakna pagi raya pertama, saya telah berada di Kelantan. Yeaay gembiranya hari kerana telah sekian lama saya tidak berada di sana pagi raya pertama. 

Biasanya hidangan raya hanya ada di hari raya pertama seperti nasi dagang. Kalau hari kedua, dah tinggal ketupat palas yang dah dipanaskan. Kalau bernasib baik, ada yang memasak nasi dagang hari kedua. Kalau nasi dagang rumah kakak saya memang banyak lauk pauknya seperti gulai ikan tongkol, kerutuk itik serati dan gulai ayam. Yang bestnya sebab ada sambal kelapa dalam nasi dagang Kelantan. 

Tahun ini juga saya berpeluang makan gulai kambing dengan cicah roti bata di majlis kesyukuran rumah abang dan kakak. Haa dah tak sabar sungguh. Maklum lah saya dah lama mengalami masalah tiada selera makan. Jadi bila balik ke sana, baru lah rasa macam macam nak makan. Semua rasa berselera.


Haa ini adalah rendang hijau yang saya masak untuk hidangan raya tahun ini. Tapi nampak gayanya tak sempat beraya di sini. Jadi saya simpan dalam peti beku untuk dimakan selepas balik nanti. Juga disimpan untuk anak anak makan selepas mereka balik dari London. 

Untuk hidangan raya mereka hari ini, saya telah sediakan lemang, rendang ayam dan rendang tok. Mereka cuma perlu merebus nasi impit. Hari ini Nana menpunyai exam. Doakan agar Nana dipermudahkan segala urusan dan lulus dengan cemerlang. Aamiin.  

Mungkin sebab dah biasa tengok rendang berwarna kemerahan, jadi setiap kali tengok rendang hijau memang rasa sangat menyelerakan. Tak kiralah rendang hijau ayam atau daging. 

Saya suka rendang hijau kerana memasaknya tidak selama memasak rendang menggunakan cili kering. Jadi sekejap jer dah siap. Tak perlu berlama lama di dapur. Yang penting, rasanya sedap gitu. 

Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Jangan lupa subscribe Azie Kitchen Youtube Channel untuk melihat video penyediaannya di SINI. Selamat mencuba......



Rendang Hijau Ayam
Oleh: Azie Kitchen

Bahan-bahan:
1 ekor ayam - 1 ½ kg ayam
½ kg santan
4 helai daun kunyit - dihiris kasar
3 - 4 helai daun limau purut - disiat
2 keping asam keping
2 batang serai - ketuk
3 sudu besar kerisik
2 sudu besar gula perang
¾ sudu besar garam 
½ cawan minyak masak

Bahan kisar halus:
15 biji cili padi hijau
5 batang cili hijau
3 biji bawang besar - 175 gram
5 ulas bawang putih
2 inci halia - 20 gram
1 inci lengkuas - 10 gram
2 inci kunyit hidup - 1 ½ sudu besar kunyit
3 batang serai – dihiris
3 biji buah keras

Cara cara:
Panaskan minyak dan tumis bahan kisar atas api sederhana sehingga wangi dan terbit minyak. 

Masukkan ayam dan kacau sehingga ayam kecut.


Kemudian masukkan daun limau purut, serai dan asam keping. Kacau rata dan biarkan ia mendidih.

Masukkan santan. Setelah santan terbit minyak, masukkan kerisik, gula dan garam. Renih atas api yang kecil hingga rendang kering dan terbit minyak.

Akhir sekali masukkan daun kunyit dan beberapa biji cili padi.


Masak sehingga rendang kering yang disukai. Tutup api. Bolehlah dihidangkan.


Nota:
Jika kuatir ayam hancur, boleh keluarkan ayam setelah separuh masak dan bila hampir kering, masukkan semula ayam. 

Catat Ulasan for "Rendang Hijau Ayam"