Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Paru Sambal Cili Kering



Insya Allah malam ini malam ke 23 Ramadhan, malam Jumaat yang terakhir Ramadhan jika Hari Raya jatuh pada hari Jumaat. Kita mulakan langkah sebaik selepas azan Maghrib, jika Lailatul Qadr pada malam ini. Dari kuliah Ustazah Dr Fatma El Zahraa tadi dinasihatkan supaya kita cuba bertenang, elakkan perasaan tak puas hati, marah atau mengkritik orang lain. Kalau boleh sebelum azan, kita dah mula mohon ampun dan perbanyakkan istighfar. Janji dengan Allah untuk tidak mengulangi dosa lama, bertaubat dan menyesal dengan dosa lalu. Mohon kemaafan pada semua orang. 

Selepas terawih, tidur dan bangun dalam sekitar pukul 4 pagi. Perbanyakkan berzikir Allahumma innaka affuwwun tuhibbul Afwa fa'fuanna, rabbana dzhalamna anfusana wa il lam tagfir lana wa tar-amna lanakụnanna minal-khasirin dan zikir zikir taubat yang lain juga. 

Malaikat turun ke bumi. Bawa turun qadar dan qadr kita dari Luh Mahfuz letak di Baitul Izzah dari Lailautul Qadr tahun ini hingga Lailatul Qadr tahun depan.  Semua bertulis. Jika takdir bagus, kita syukur, jika tak baik kena redha.  Rukun iman ialah percaya pada qada dan qadr. 

Namun qadr yang tak baik boleh ditukar jadi baik. Caranya ialah dengan bertaubat dan berdoa supaya ianya jadi baik. Ganti takdir yang tak baik dengan yang baik, ya Allah. Tolak yang buruk. Selamatkan lah kami, suami serta anak dan cucu kami Ya Allah. Biar mereka menjadi orang yang taat pada Mu. 

Perbanyakkan beristighfar, berselawat sebelum dan selepas berdoa. Siang hari boleh baca Al Quran tapi malam hari disyorkan banyak zikir, doa dan solat. Orang perempuan lagi afhdal solat di rumah di bilik tidurnya. Tetap akan dapat pahala sama macam orang bersolat jemaah di masjid. Kadang kadang bila di masjid, banyak terdedah pada perkara lain seperti mengata telekung orang, mengumpat dsb. Baik dok di rumah, tak jumpa orang. 

Ada soalan berkenaan meninggalkan solat bertahun tahun apakah perlu diganti. Majoriti ulamak berpendapat, bila taubat, tak perlu ganti solat dulu. Macam mana nak ganti solat 10 tahun tinggal. Sebaliknya banyakkan bertaubat dan melakukan solat sunat Nawafil sebanyak 12 rakaat setiap hari secara istiqamah. Solat sunat sebelum Zohor 2 rakaat, selepas Zohor 4 rakaat, selepas Maghrib 2 rakaat, selepas Isyak 2 rakaat dan sebelum Subuh 2 rakaat. 

Baca doa Allahumma Innaka 'Afuwwun Tuhibbul 'Afwa Fa'fu 'Annaa. Dosa akan terus dipadam dari buku catatan amal dan tak akan disoal. Annaa jika doa kita juga untuk semua suami anak anak. Sama sama kita amalkan. Semoga bermanafaat. 



Saya satu masa dulu setiap minggu kemaruk sangat dengan nasi lemak lauk sambal paru dan makan lontong pun dengan lauk paru. Sampai jer terus ke tempat lauk paru dulu. Ambil cepat cepat sebab kalau lambat, memang habis. 

Tapi sayang mereka dah tak berniaga kerana penat katanya. Dari itu, saya call beberapa kali untuk mendapatkan resipi dan cara cara penyediaannya. 

Oleh kerana suka dengan sambal paru mereka, saya menyalin resipi untuk rujukan akan datang. Mereka tak bagi lah sukatan, tapi saya sendiri yang mengagak dan mencuba sendiri. 

Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Selamat mencuba....


Paru Sambal Cili Kering

Oleh: Azie Kitchen


Bahan rebus:

700 gram paru 

2 hiris halia

1 batang serai - ketuk

Sedikit garam


Bahan kisar:

9-10 tangkai cili merah - guna 3 sudu besar cili kering kisar

6 ulas bawang putih

10 biji bawang merah

1 inci halia


Bahan lain:

1 batang serai - ketuk

½ -2 sudu besar gula atau secukupnya - bergantung pd kepedasan cili 

½ sudu kecil garam atau secukupnya

1 keping asam keping


Cara cara:

Paru direbus bersama halia, serai dan garam sehingga empuk (nota: saya guna periuk tekanan selama 35 minit). Rebus sehari sebelum dimasak. Masak sampai paru empuk.  Cucuk dengan lidi atau cake tester untuk dicucuk tengok kalau dah tak liat. Tos kan airnya. Bila sejuk, baru dipotong nipis nipis. Paru dilumur sedikit garam jika suka dan biarkan seketika.


Panaskan minyak dengan api yang kuat dan goreng paru (pastikan tenggelam dalam minyak yang banyak). Sentiasa dibalik balikkan supaya garingnya rata. Bila sudah garing, angkat dan ketepikan. 



Panaskan sedikit minyak dan tumis bahan kisar bersama dengan serai, sehingga naik bau dan terbit minyak. Masukkan cili kisar dan tumis sehingga cili benar benar masak dan terbit minyak. 


Masukkan gula, garam dan asam keping. Mesti ada rasa manis manis sikit, baru sedap.



Akhir sekali, masukkan paru yang telah digoreng dan gaul sebati. Angkat dan sedia untuk dinikmati. 



Nota:

Rahsia mendapat gorengan rangup adalah menggunakan api besar.


Catat Ulasan for "Paru Sambal Cili Kering"