Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Ikan Cencaru Sumbat Sambal Dengan Air Fryer



Semalam saya ke KLIA menyambut abang, kakak ipar dan anak saudara yang baru balik dari mengerjakan umrah. Masya Allah seronoknya melihat mereka yang balik, mereka yang nak berangkat ke Mekah yang ada di airport bersama keluarga masing masing. 

Rindu sangat dengan tanah suci Mekah dan Madinah. Teringat kata seorang ustaz, kalau paling tak larat pun, berusaha untuk solat 5 waktu berjemaah di Masjidil Haram. Ganjaran untuk ini sahaja dah 500,000 pahala sehari. 

Sedang di Malaysia, kita hanya dapat 135 pahala sehari iaitu  27x5. Maknanya 10 tahun solat berjemaah di sini menyamai pahala solat 1 hari di Mekah. Masya Allah. Perbanyakkan doa agar kita diberi rezeki menjadi tetamu Allah. Orang kaya berduit belum tentu dapat ke sana jika tidak dijemput. 

Dalam perjalanan balik saya membayangkan pahala jika kita bersolat di Masjidil Haram di malam Lailatul Qadr. Masya Allah. Lailatul Qadr adalah anugerah Allah untuk umat Nabi Muhammad SAW. Kita pasti bertemu dengan Lailatul Qadr jika setiap malam kita solat Isyak dan Subuh secara berjemaah dan solat terawih. Ini minimum. 

Pastinya lebih jika setiap malam kita melakukan solat Tahajjud, sebelum atau selepas Sahur. Jom jangan lepaskan peluang ini kerana kita tidak tahu kalau ini adalah Ramadhan terakhir kita. Setakat ini dahulu pesanan buat saya dan anda semua. Semoga bermanafaat. 


Rumah kami memang ramai penggemar ikan cencaru sumbat. Ikan cencaru sumbat pun ada beberapa versi. Satu yang macam sambal belacan tapi dimasukkan bawang merah, satu yang macam sambal tumis yang ditumis seketika dan satu lagi yang sumbat kelapa. 

Yang sumbat kelapa ni, saya jarang buat kerana kalau menggunakan udang kering dan sambal kelapa tak dimasak, boleh menyebabkan gatal dan bengkak seluruh badan. 

Untuk hari ini saya menyediakan sambal sumbat yang digoreng terlebih dahulu. Kebelakangan ini, saya kurang rajin nak menggoreng atas dapur, jadi saya goreng menggunakan air fryer sahaja. 

Cepat dan dapur pun bersih, jimat minyak juga. Yang penting, sama sedap walaupun saya sebenarnya suka isi ikan yang digoreng. Hahaha

Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Selamat mencuba…


Ikan Cencaru Sumbat Sambal Dengan Air Fryer
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
2 ekor ikan cencaru - belah belakang
4 sudu besar cili kisar
Sedikit belacan bakar - jika suka
Beberapa tangkai daun kesum - atau daun kunyit
1 keping asam keping
1 sudu besar gula 
½ sudu kecil garam

Bahan tumbuk:
1 biji bawang besar
3-4 ulas bawang putih
2 batang serai - potong-potong
1 inci halia

Cara cara:
Tumbuk serai, halia, bawang putih dan bawang besar dan tumiskan sehingga wangi dan masukkan cili kisar. Tumis sehingga cili betul betul masak. Bila dah terbit minyak masukkan gula dan garam secukup rasa.

Masukkan daun kesum dan asam keping atau air asam jawa. Masak sehingga kering dan garing.


Bila sambal dah masak, sumbatkan dalam ikan dan bakar dalam air fryer. Lumur sambal di bahagian badan ikan juga. Nota: kalau tiada lebihan sambal untuk lumur pada badan ikan, renjiskan dengan sedikit minyak supaya ikan tidak kering.  

Kalau nak sedap lagi bungkus ikan dengan daun pisang/daun kunyit.



Nota:
Ikut kesesuaian banyak mana sambal yang hendak dibuat, kalau mahu banyak sambal gandakan bahan bahan.

Boleh juga diletakkan sedikit santan jika suka.

Selain disumbat, boleh juga separuh dari sambal dilumur pada ikan dan setelah dibakar, tuang separuh lagi sambal ke atas ikan dan dihidangkan.


Catat Ulasan for "Ikan Cencaru Sumbat Sambal Dengan Air Fryer"