Sambal Sotong Kembang Lembut Dan Sedap
Assalamualaikum. Sebelum kita masuk bab catatan blog dan resipi, sudi kiranya anda klik follow blog dan juga klik mana mana iklan yang keluar di blog saya tau. Kerjasama anda diucapkan jutaan terima kasih.
Pejam celik pejam celik, tak lama lagi kita dah nak masuk bulan Ramadhan. Bulan yang menawarkan pahala berganda dan banyak kelebihan. Bulan yang merupakan pesta ibadah yang kita perlu rebut. Pada malam 10 malam terakhir, adanya satu malam yang dipanggil malam Lailatul Qadr yang lebih baik dari 1000 bulan.
Kalau malam itu, kebetulan kita berzikir, seolah kita berzikir selama 82 tahun. Kalau kita melakukan solat taubat seolah kita solat taubat selama 82 tahun. Haa ustaz ustaz selalu buat joke. Kalau malam itu, kita sibuk buat kuih raya, jadinya kita seolah buat kuih raya selama 82 tahun. Hahaha.
Jadinya kalau bulan Ramadhan, saya kurang berlama lama di dapur. Saya masak untuk berbuka pun, hidangan yang simple simple sahaja. Bulan Ramadhan, ada lauk yang dibeli kerana anak anak akan beli lauk yang mereka nak makan di bazar Ramadhan. Begitu juga kuih muih. Beli setakat seketul dua tiga jenis kuih. Kalau kita buat kuih, satu loyang sejenis kuih sahaja. Setakat ini dahulu pesanan buat diri saya sendiri. Semoga bermanafaat.
Lauk sotong kembang adalah antara lauk kegemaran anak anak saya. Terutama jika dimakan dengan nasi lemak. Bila nampak saya memasak lauk sambal sotong kembang, Nelly terus bertanya mama masak nasi lemak tak? Bila saya jawab tak, terus dia cakap, alaaa tak ada nasi lemak. Mereka memang suka sangat dengan sotong kembang. Berbeza dengan saya yang lebih suka sotong kering.
Sotong kembang jika tak dimasak dengan sambal yang sedap, memang rasanya akan tawar macam plastik jer. Jadi bila kita memasak sotong ni, kena bagi sambal tu rasa sedap dan secukup rasanya. Baru lah sotong itu ada rasa.
Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Jangan lupa video penyediaannya di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba…..
Sambal Sotong Kembang
Oleh: Azie Kitchen
Bahan bahan:
2-3 ekor sotong kembang
1 biji bawang besar - hiris
5 sudu besar cili kering kisar
½ keping gula Melaka - 90 gram
I sudu besar gula atau secukupnya
1 asam keping
Sedikit kicap manis
1 sudu besar sos cili - opsyenal
1 sudu besar garam
¾ -1 cawan minyak masak
Bahan Kisar:
8 biji bawang merah - guna 12
7 ulas bawang putih - guna 10 ulas
½ inci halia- tumbuk halus
Cara cara;
Panaskan minyak dan tumis bawang bawang hiris sehingga wangi. Masukkan bahan kisar dan tumis lagi sehingga terbit minyak.
Masukkan cili kering kisar dan tumis sehingga cili garing dan terbit minyak.
Masukkan gula Melaka dan terus masukkan sotong kembang. Kacau rata dan masukkan 1 liter air dan biarkan masak dengan api sederhana sehingga sotong lembut.
Masukkan asam keping dan daun pandan. Masak lagi sehingga air sotong kering dan sambal terbit minyak.
Akhir sekali, masukkan sos cili, gula pasir dan garam. Kacau rata dan sedia untuk ditutup api.
Catat Ulasan for "Sambal Sotong Kembang Lembut Dan Sedap"
Add your comment