Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Sambal Nasi Lemak Paling Sedap Azie Kitchen


Hari minggu sebelum Ramadhan, saya staycation di sebuah hotel di Putrajaya. Sarapan dimasukkan sekali. Jadi saya turun bersarapan. Seperti biasa bila nampak nasi lemak saya akan terus ke kaunter nasi lemak. Ada disediakan lauk ayam rendang dan sambal sotong. Tidak lupa pastinya sambal nasi lemak. 

Bila saya makan sesuap, terus rasa hilang selera. Heran bila tukang masak di hotel tak reti memasak sambal nasi lemak atau sambal sotong.  Chef yang bertugas tak check ke kualiti masakan sebelum dibawa keluar untuk dihidangkan. Sambal sotong ke laut dengan sambal cair tak ada rasa. Begitu juga sambal Nasi lemak gelap dan rasa pahit semacam jer dan tak ada rasa sambal nasi lemak. 

Nasi lemak kan makanan yang cukup sinonim dengan rakyat Malaysia. Wajib lah Chef di hotel pandai memasak standard sambal nasi lemak atau standard sambal sotong. Maksudnya kalau pun tidak terlalu sedap, tapi tidak lah terlalu teruk.  

Yang jual nasi lemak bungkus daun pisang pun sambal nasi lemak cair dan meresap jer dalam nasi. Sepatutnya sambal mestilah pekat sikit jika untuk sambal nasi lemak bungkus. Kena pekat pekat sikit. 

Patut dah masak hari hari, dah tahu sukatan atau kalau tak tahu, sukat dan campak masuk jer. Barulah rasanya sama. Betul tak? Itulah cara restoran yang kalau kita makan semalam dengan hari ini, rasanya sama jer. 


Saya buat sambal nasi lemak hari ni sebab tak puashati bila makan nasi lemak, asyik dapat sambal yang tidak sedap. Jadi saya buatlah sendiri supaya ianya sesuai dengan selera dan tekak kita. 

Sambal yang sedap, tidak boleh tidak rasa manis kena lebih dari rasa masam dan masin. Tapi tidaklah sampai manis macam gula pula. Seimbang rasa tapi manisnya lebih sikit. Haa gitu. 

Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Jangan lupa melihat video penyediaannya di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba...


Sambal Ikan Bilis Lauk Nasi Lemak 
Oleh: Azie Kitchen

Bahan Tumis:
1 biji bawang merah - hiris
1 ulas bawang putih - hiris
½ biji bawang Holland - hiris
1 helai daun pandan

Bahan Kisar:
3 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
½ biji bawang Holland
6 sudu besar/165 gram cili kering kisar
½ inci halia - 6 gram
½ inci belacan - 1 sudu kecil
1 sudu besar ikan bilis

Bahan lain:
1 genggam ikan bilis - 35 gram
1 keping gula melaka - 75 gram
1 sudu besar gula - kena ada rasa manis
2 sudu besar kicap manis
1 keping asam keping
½ sudu besar garam atau secukupnya
Serbuk Perasa - opsyenal
Sedikit air
2 ½ cawan minyak masak

Cara Cara:
Panaskan minyak yang agak banyak untuk memastikan bahan tumisan masak dan garing sempurna. Tumiskan bahan-bahan hiris sehingga keperangan. 


Setelah itu, masukkan bahan kisar. Tumis dengan api perlahan sehingga terbit minyak.


Setelah sambal pecah minyak, masukkan asam keping, ikan bilis dan sedikit air.


Biarkan masak dengan api perlahan dan agak lama untuk memastikan sambal sedap dan masak sempurna.

Akhir sekali masukkan gula, gula Melaka, garam dan serbuk perasa. Masukkan kicap manis dan siap untuk dihidang. Cedukkan keluar minyak yang berlebihan.


Nota:
Gula boleh guna 1-2 sudu besar bergantung juga pada kepedasan cili.

Asam keping, jika telah masam, boleh keluarkan dari kuali.

Rasakan dulu sebelum dimasukkan garam kerana ada ikan bilis yang jenis masin.

Minyak masak kena banyak supaya bahan tumis masak sempurna. Boleh diceduk keluar setelah masak dan diguna untuk menggoreng nasi atau mee hoon.



Catat Ulasan for "Sambal Nasi Lemak Paling Sedap Azie Kitchen"