Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Kuih Koleh Kacang Hijau Pasti Sedap

 

Assalamualaikum semua. Semoga hari ini lebih dari hari semalam buat kita semua. Alhamdulillah hari ini masih diberi peluang untuk membuat satu entri kuih muih tradisional. Jangan lupa menyokong blog saya dengan memberikan satu klik pada iklan di blog dan follow blog Azie Kitchen.

Kuih tradisional ini iaitu kuih koleh kacang hijau adalah antara kuih kegemaran saya. Saya suka mengunyah ngunyah bahagian tahi minyak yang sedap sangat. Saya tiba tiba jer rasa nak makan kuih koleh kacang bila ternampak ianya dikongsikan di Instagram. Tapi saya tak guna resipi di video yang saya tengok tapi guna resipi lain. Video itu hanya sekadar memberi idea untuk saya apa yang nak dimasak.

Secara jujur, walaupun banyak video cantik yang viral di Instagram dan tik tok tapi saya tidak berminat mencuba resipi yang dikongsi. Saya hanya menggunakan resipi yang saya kenal dan percaya blogger atau Instagrammer tersebut. 

Itu sebab saya akan baca blog dan jika ada cerita di sebalik resipi, baru saya berani mencuba. Contoh, resipi mak penulis sendiri, resipi orang yang diguna untuk berniaga dsb. Ramai yang kongsi video cantik dengan resipi tapi bila kita cuba, tak berapa menjadi atau tidak sesedap mana. Jadi saya memang agak memilih. 


Menyediakan kuih ini sangat mudah sekarang ini kerana kita boleh menggunakan tepung kacang hijau yang siap disangai lagi. Tidaklah seperti zaman dulu dulu.  

Berbalik pada kuih ini, saya membawa separuh dari nya ke majlis perjumpaan sahabat percutian di London di rumah besan kami di Shah Alam. Alhamdulillah kerana ramai kawan kawan memberi feedback memuji keenakannya. Pada saya sendiri, saya suka kuih koleh kacang hijau menggunakan resipi ini kerana ianya secukup rasa sahaja kemanisannya, lemaknya. 

Jom layan resipi yang sangat sedap ini dan cara penyediaannya di bawah ini. Jangan lupa video di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba....



Kuih Koleh Kacang Hijau 
Oleh: Azie Kitchen 

Bahan A -Tahi Minyak
2 cawan santan pekat segar
Sedikit garam
1 helai daun pandan

Cara cara:
Satukan semua bahan dalam kuali dan kacau hingga menjadi tahi minyak yang berwarna keperangan. Angkat dan tapiskan tahi minyak dari minyak kelapa.



Bahan B - Air Gula Merah
1 ½ cawan gula merah
2 sudu besar gula pasir
1 cawan air
1 helai daun pandan
Sedikit garam

Cara cara:
Satukan semua bahan dan masak sekadar gula larut. Nota: Tak perlu mendidih. Tapis dan ketepikan.


Bahan C - Kuih Koleh Kacang
1 ½ cawan tepung kacang hijau 
2 cawan santan pekat segar
2 cawan air
Air gula merah - dari bahan B di atas
2 sudu besar minyak kelapa di atas
1 helai daun pandan

Cara cara:
Satukan semua bahan kecuali daun pandan dan minyak kelapa. Kacau rata dan tapis ke dalam kuali. Masukkan daun pandan. Kacau rata atas api perlahan sehingga likat.

Masukkan minyak kelapa dan kacau rata sehingga terbit gelembung bulp bulp meletup letup. 

Tutup api dan tuang dalam loyang 8"x8" yang dilapik dengan plastik. Ratakan. Tabur tahi minyak  ketika kuih masih panas.



Nota:
Saya mengguna 2 biji kelapa parut untuk menghasilkan 4 cawan santan segar pekat. 


Catat Ulasan for "Kuih Koleh Kacang Hijau Pasti Sedap"