Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Ikan Jenahak Masak Kicap Mudah dan Sedap



Sebelum kita masuk bab resipi Ikan Jenahak Masak Kicap hari ini, jom kita kisah kisahkan bab bab solat yang mudah dibuat tetapi tidak ramai yang buat kerana mungkin mereka tidak ada ilmu. Itu yang ustaz selalu berpesan, kita kena ada ilmu dalam beramal supaya ianya memberikan kita pahala. 

Yang pertama ialah selepas memberi salam solat Maghrib dan Subuh, jangan ubah kedudukan kaki tahiyat akhir sehingga kita selesai membaca "lailaha illallah wahdahu la syarikalah, lahul mulku lahulhamdu yuhyi wayumit, wahuwa ala kulli syain qadir" sebanyak 10 kali. Maka tercatat untuknya 10 kebaikan dan terhapus darinya 10 dosa serta diangkat untuknya 10 darjat. Masya Allah amalan mudah tetapi sangat besar ganjarannya. 

Kedua, setiap kali selepas solat fardhu, jangan lupa untuk membaca ayat Kursi, kerana tidak ada perkara yang menghalangnya untuk masuk ke syurga melainkan kematian. Maknanya dia tak masuk syurga kerana belum mati lagi. 

Ketiga, bila kita solat berjemaah, kita solat mengikuti imam, bukan solat bersama imam. Bila imam habis membaca takbir Allahu Akbar untuk perpindahan rukun solat, baru kita mengikut. Ada yang saya tengok, imam baru nak rukuk, dia pun sekali rukuk. Hahaha saya bukan ustazah sekadar share yang mudah mudah jer sekadar peringatan. OK sekarang kita masuk pula bab resipi dan masakan hari ini.


Di rumah ini kalau masak lemak atau gulai ikan, kurang laku. Kalau lauk ikan, ikannya mesti digoreng terlebih dahulu sebelum dimasak kicap, sambal pedas, masak cuka dsb. 

Ada baki 2 keping dari ikan jenahak yang dibeli dari kawan yang memancing hari tu. Itu yang saya memang simpan kononnya nak masak berlado. Tapi bila dilihat paru telah dimasak sambal berlado, jadi saya sediakan masak kicap.

Saya memang kena ada lauk ikan juga kerana lauk paru, Nana tak makan. Dia tak makan apa apa bahan dan organ dalaman. Banyak versi masak kicap tapi versi ini rasanya yang bahan bahan terpaling simple dan rasanya pun sedap dan terpaling "humble".  

Jom layan resipi dan penyediaannya di bawah ini. Jangan lupa video penyediaannya di Azie Kitchen Youtube Channel di SINISelamat mencuba...


Masak Kicap Ikan Jenahak 
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
2 potong ikan jenahak
5 sudu besar kicap manis
½ sudu kecil serbuk kunyit
Garam secukupnya

Bahan hiris:
5 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
1 batang cili merah
1 inci halia

Cara cara:
Lumur ikan dengan serbuk kunyit dan garam. Panaskan minyak dalam kuali dan goreng ikan sehingga masak dan berwarna keperangan. Keluarkan ikan dan ketepikan.

Dalam kuali lain, panaskan sedikit minyak dan tumis bahan-bahan hiris sehingga garing dan berbau wangi.

Masukkan kicap dan sedikit air. Masukkan garam secukup rasa. Kacau rata sehingga mendidih.

Akhir sekali, masukkan ikan dan kacau rata. Tutup api.


Nota:
Atau boleh juga tuang kuah ke dalam pinggan yang berisi ikan tadi, jika suka ikan yang rangup. 


Catat Ulasan for "Ikan Jenahak Masak Kicap Mudah dan Sedap"