Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Umrah 16 Januari 2023 Ziarah Wada dan Haramain Train Madinah Ke Mekah


Sekarang tiba lah perjalanan ke Mekah pula setelah beberapa hari di Madinah. Boleh klik entri sebelum ini di SINI. Sebelum membuat keputusan untuk naik train atau naik bas bersama group jemaah, saya memang membaca banyak pendapat dan komen akan kelebihan masing masing. 

Bukan berkenaan dengan kos tambahan yang perlu dibayar tapi kerana saya memikirkan mahu bersama group. Tapi selepas memikirkan saya perlukan rehat dan perjalanan yang selesa, saya akhirnya membuat keputusan menaiki train. 

Pagi selepas subuh hari terakhir di Madinah, kami menbuat ziarah wada. Ziarah wada adalah sunat sahaja. Kita boleh melakukannya di mana mana sahaja samada berhadapan dengan kubah hijau tempat di mana Makam Rasulullah terletak atau di mana mana sahaja dalam masjid Nabawi. 

Kebiasaannya saya hanya melakukannya di dalam masjid sahaja. Saya biasanya melakukan umrah dalam bulan Ramadhan, jadi tidak larat untuk berjalan jauh ke belakang masjid. 


Balik ke bilik dan mengemas barang yang akan dibawa dalam bag yang akan kami bawa menaiki train terutama barang barang yang diperlukan untuk mengerjakan umrah. Kami diingatkan bahawa bag pakaian yang dibawa dalam bas mungkin mengambil masa untuk dihantar ke lobi hotel. Lagi pula train tidak membenarkan bag yang besar dibawa masuk. Saya hanya berkongsi satu bag sahaja dengan Juita bagi memuatkan barang asas yang perlu digunakan ketika mengerjakan umrah. 

Selepas sarapan, kami mandi sunat ihram dan meletak bag di luar bilik pukul 11.00 pagi. Hati ketika itu, sangat bercampur baur gembira dan sedih. Gembira kerana dah tak sabar ingin menjejakkan kaki ke Masjidil Haram yang dirindui dan sedih untuk meninggalkan Masjid Nabawi yang ada di dalamnya jasad insan yang paling mulia di muka bumi ini.



Pukul 11.45 pagi, kami berjalan ke Masjid Nabawi untuk solat Zohor yang dijamak dengan Asar. Solat Zohor mengikut imam diikuti dengan solat Asar 2 rakaat. Pesan ustaz, selepas solat jamak, tiada lagi solat sunat lain. 


Terus balik hotel dan singgah makan tengahari di restoran tingkat M. Naik ke bilik untuk mengambil wudu dan turun di lobi. Kami kemudian naik coach bersama dengan 12 orang jemaah yang lain. Secara jujur, saya telah membuat bacaan dan study macam mana cara untuk ke Haramain train station ini secara sendiri dengan uber atau teksi jika ianya tidak diuruskan oleh pihak agen. Memang sebelum ke mana mana pun, saya memang akan membaca dan study terlebih dahulu akan keadaan di satu satu tempat. 


Perjalanan dari hotel ke Haramain high speed train station ni sekejap jer, 15 minit dah sampai. Kami tiba di sana pukul  2.15 petang. Haa tak sempat pun nak melihat lihat view bumi Madinah sepanjang perjalanan. Saya memang kalau ke mana mana, akan melihat pemandangan sepanjang perjalanan. 


Sebaik masuk ke stesyen, kita akan melihat banyak tempat duduk yang disediakan untuk penumpang duduk sementara menunggu panggilan masuk dipaparkan di screen besar. 



Sebaik check in, kami masuk ke business class lounge yang terletak di tingkat atas. Ada disediakan makanan dan minuman ringan. Yang penting ada bilik air yang selesa kerana bilik air di ruang menunggu, kecil dan terlalu ramai yang beratur. Yang saya ingat ialah kuih popia mushroom yang sedap. Terasa lah sedap berbanding dengan kuih lain yang ala ala kuih Arab.


Selepas makan, kami terus turun escalator ke platform 3 dan mencari coach kami iaitu coach 3 yang kena berjalan agak jauh ke depan. Train ini sangat panjang, jadi pastikan kita menpunyai masa yang cukup supaya tidak perlu berjalan laju sehingga tercungap cungap terutama kalau menaiki coach business class. 


Sebaik naik train, kami terus niat umrah seperti yang disarankan oleh ustaz. Bukan apa, takut kami terlena dsb maklumlah bila dah keletihan, duduk jer dalam train, mahu kita terlena. Train bergerak tepat pukul 3.30 petang. Train membuat pengumuman miqat kepada yang belum berniat umrah pada pukul 3.40 petang.



Train ini berhenti di stesyen Jeddah selama 10 minit. Train tiba di Jeddah pukul 5.05 petang dan bergerak semula pukul 5.15 petang. Train tiba di stesyen Haramain Mekah pada pukul 5.45 petang. Hanya 30 minit dari Jeddah ke Mekah. 

Itu yang follower saya cadangkan masa jumpa di stesyen Haramain Madinah, katanya lebih baik naik train dari teksi kalau nak bergerak dari Jeddah ke Mekah atau sebaliknya bagi mengelakkan kesesakan jalanraya yang mengambil masa hampir 1-2 jam. Ya lah nantikan tertinggal train pula kerana train akan bergerak tepat pada masanya. 


Sebaik tiba di stesyen keretapi Mekah, kami menumpang teksi Dr Asari dan isteri, Hajjah Ungku Abrizah, jemaah dari group kami. Alhamdulillah rezeki, kerana beliau tidak mahu mengambil tambang dari kami. Kos teksi ialah rial 50. Teksi memang banyak menunggu, tak ada masalah pun. Cuma saya takut sebab kami berdua perempuan dan naik teksi pula dah malam. 

Tiba di Hotel Makkah Tower ketika solat Maghrib di Masjidil Haram hampir nak selesai. Jalan ditutup dan teksi tidak dibenarkan masuk, jadi kami kena berjalan kaki dari tempat teksi berhenti berhadapan dengan Hilton Suite Hotel ke Makkah Tower. 

Kami menunggu di hadapan butik jam Rolex sehingga muttawif datang mengambil kami untuk di bawa ke lobi bagi urusan pengambilan kunci bilik dan penerangan ringkas tentang tempat makan, lift dsb. Saya akan sambung entri untuk umrah pertama kami dalam entri akan datang. Update: Boleh klik di SINI.


Catat Ulasan for "Umrah 16 Januari 2023 Ziarah Wada dan Haramain Train Madinah Ke Mekah"