Nasi Minyak Sedap
Masih teringat dengan isu perkahwinan Syamsul Yusoff dan Ira Kazar dan ketabahan Puteri Sarah yang sekarang ini menjadi trending di mana mana media social. Saya memang sedih melihat kes suami yang tidak setia, mencari wanita lain yang lebih muda setelah hidup senang dan berjaya. Ramai kes sebegini yang berlaku di sekeliling kita. Lelaki yang dah berumur pun, masih buat begini jika poket rasa dah penuh.
Perkahwinan adalah satu perjudian juga sebenarnya. Kalau kita bernasib baik, kita akan mendapat pasangan yang setia dan sanggup bersusah senang bersama sama. Manusia mudah berubah jadi kalau pasangan boleh menerima kita walaupun kita tidak lagi slim, tidak lagi cantik seperti masa baru berkahwin, adalah satu kebahagiaan buat seorang isteri.
Kadang kadang isteri terpaksa bekerja untuk membantu kewangan suami. Terpaksa mengorbankan keinginan untuk berhias dan merawat wajah di spa dsb kerana kekangan kewangan. Jadi pastinya jika tidak dijaga, wajah akan kelihatan selekeh berbanding dengan wanita muda di luar sana.
Doakan agar kita semua diberikan kebahagiaan dan ketenangan dalam hidup ini. Yang pastinya kebahagiaan bermula dari rumahtangga yang aman harmoni.
Kalau entri semalam, saya kongsikan resipi ayam masak merah di SINI, kali ini saya ingin kongsikan pula gandingan serasi bersamanya iaitu nasi minyak.
Masa kecik dulu, suka sangat kalau dapat makan nasi minyak kerana arwah Bonda saya tidak pernah memasak nasi minyak. Selain tidak pandai, juga mungkin kerana tidak mampu untuk membeli bahan bahan untuk masak nasi minyak.
Jadi setahun sekali kami akan makan nasi minyak yang disediakan oleh arwah Bonda saudara di rumahnya untuk hidangan hari raya. Mereka dulu tinggal di kuarters di beberapa negeri. Jadi pastinya bergaul dengan isteri dari negeri lain. Kalau orang kampung saya ketika itu, memang tak ada yang pandai memasak nasi minyak. Masa kenduri pun, hanya dihidangkan nasi putih sahaja.
Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Jangan lupa video penyediaannya di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba....
Nasi Minyak Sedap
Oleh: Azie Kitchen
Bahan bahan:
3 cawan beras basmathi
3 cawan air
1 cawan susu cair
½ cawan kismis
2 helai daun pandan - siat dan simpul
1 batang serai - titik
2 sudu besar minyak sapi
1 sudu besar minyak jagung
½ sudu kecil garam
1 sudu kecil serbuk secukup rasa
Pewarna kuning telur
Bahan Hiris:
1 inci halia - hiris kasar
4 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
Rempah tumis
2 batang kulit kayu manis
3 kuntum bunga lawang
5 kuntum cengkih
3 biji pelaga
Cara cara:
Rendam beras dalam 20-30 minit. Tos dan ketepikan.
Tekan fungsi Stir Fry dan masukkan minyak sapi dan minyak. Masukkan serai, rempah 4 sekawan dan bawang serta halia hiris. Tumis sehingga bawang keperangan.
Tutup fungsi Stir Fry. Masukkan susu, air, garam, serbuk perasa dan daun pandan. Masukkan beras.
Tekan fungsi RICE 8 minit dan masak sehingga cukup masa. Bila nasi dah masak, Lepaskan wap, masukkan kismis dan titiskan pewarna. Dan tutup semula periuk. Biarkan sehingga 8-10 minit lagi sebelum nasi digembur perlahan lahan.
Angkat dan kacau dengan perlahan lahan. Sedia untuk dihidangkan.
Nota:
Jika masak 5 cawan beras, saya guna 5 cawan air dan 1 cawan susu, 3 sudu besar minyak sapi dan 1 sudu kecil garam.
Guna beras Basmathi steam, nasi minyak menjadi lebih lembut.
Catat Ulasan for "Nasi Minyak Sedap"
Add your comment