Kuih Keria Tradisional Kegemaran Saya
Saya percaya ramai orang yang kecewa seperti mana saya juga rasa kecewa dengan perkembangan politik yang berlaku di dalam negara sekarang ini. Banyak yang pelik, yang ada kes mahkamah dilantik ke dalam kabinet, yang kalah juga dilantik. Hanya mereka yang melantik sahaja yang tahu rasional nya walaupun kita boleh meneka kenapa ianya berlaku begitu.
Cuma kita kena percaya pada takdir Allah. Sesuatu itu berlaku hanya dengan izin Allah sahaja. Segala galanya baik atau buruk. Namun jika ianya sesuatu yang tidak baik, kita akan menerima balasan setimpal tidak di dunia, akan dibalas di akhirat.
Kalau penyokong taksub, apa sahaja yang dikemukakan hatta di mahkamah tetap dianggap fitnah. Tapi terlupa dalam masa yang sama kita menafikan dengan anggapan fitnah dan perbuatan jahat orang lain, terlupa yang kita juga telah menfitnah orang lain sebagai berbuat jahat dan fitnah.
Pendirian saya mudah sahaja, kembali pada Allah. Setiap yang berlaku, kebaikan atau ujian adalah baik untuk orang mukmin. Jika menepati apa dikehendaki, ucapkan syukur, jika tidak haruslah bersabar. Kita tidak boleh menjadi manusia yang tertipu kerana dunia penuh dengan tipu daya. Kita jangan memikirkan sesuatu sebagai nikmat kerana mungkin ianya adalah satu musibah. Begitu juga sebaliknya.
Jadi jangan berpolitik berlebihan sehingga menjadi dosa dan penyesalan di akhirat. Ini adalah pesanan untuk saya juga. Ada yang memaki hamun jika ada kenyataan yang tidak sependapat dengan mereka. Kenapa perlu buat begitu, bukankah ianya satu dosa. Kebanyakan yang maki hamun bukan dapat apa apa pun di dunia ini. Bukan dapat kenaikan gaji atau projek pun kan.OK setakat ini dahulu.
Kalau beberapa hari lepas, saya share entri berkenaan dengan kuih che mek molek di SINI, hari ini kita buat kuih keria pula. Kuih keria tradisional. Caranya sama sahaja dengan menyediakan adunan kuih che mek molek, bezanya air gula diguna untuk sira kuih keria yang telah digoreng.
Tapi kuih che mek molek, gula dimasukkan ke dalam kuih. Digoreng dengan api perlahan untuk bagi gula hancur. Jadi bila kita gigit, air gula akan meleleh gitu.
Seperti juga kuih kuih lain, kuih tradisional ini telah dipermodenkan dengan disira dengan gula Melaka seperti yang sangat terkenal di Melaka. Juga dimasukkan sedikit tepung beras untuk kulitnya lebih rangup dan isinya masih lembut.
Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Selamat mencuba...
Kuih Keria
Oleh: Azie Kitchen
Bahan bahan:
275 gram ubi keledek lenyek
½ cawan tepung gandum + 1-2 sudu besar
Bahan sira:
½ cawan gula pasir
½ cawan air
1 sudu besar tepung gandum
Cara cara:
Rebus ubi keledek sehingga empuk. Angkat dan ketika masih panas, ditumbuk sehingga halus. Biarkan sejuk.
Masukkan tepung gandum sedikit demi sedikit secukupnya. Ambil sedikit adunan dan bentukkan adunan menjadi bebola dan dileperkan sedikit. Kemudian buatkan lubang di tengah tengah dengan menggunakan jari. Nota: Jika melekat di tangan, boleh lap tangan dengan sedikit minyak.
Panaskan minyak dan goreng atas api sederhana sehingga masak. Angkat dan sejukkan.
Masukkan gula dan air ke dalam kuali dan masak sehingga mendidih dan berbuih.
Masukkan keria yang telah digoreng dan kacau sebati. Masukkan 1 sudu besar tepung gandum. Kacau sehingga nampak tepung gandum larut. Tutup api dan terus kacau.
Nota:
Jika suka kuih keria yang rangup di luar dan lembut di dalam, boleh masukkan sedikit tepung beras.
Catat Ulasan for "Kuih Keria Tradisional Kegemaran Saya"
Add your comment