Sambal Tumis Sotong Kering Yang Paling Padu
Kadang kadang saya kecewa bila resipi dikongsikan di blog atau di youtube bila dicuba tak menjadi. Bila saya tulis macam ni ada lah minah yang meroyan mengatakan saya menyalahkan resipi dan merasakan apa yang saya share sahaja sebagai yang terbaik.
Saya sendiri kadang mengakui resipi tidak salah tapi saya yang buat silap. Siapa yang follow saya, pasti akan terjumpa pengakuan saya di atas. Saya jarang menyalahkan resipi tapi kalau tips yang terang terangan seperti ini, memang lah bukan salah saya.
Tapi saya frust bila saya mencari petua atau tips untuk melembutkan sotong kering. Terjumpa dalam blog dan youtube, tips untuk menyediakan sotong kering yang lembut. Haa begitu lebih kurang tajuknya. Jadi saya pun bukalah. Antara yang ditulis ialah sotong kering direbus dalam pressure cooker secara HP selama 25 minit dan sotong tidak perlu direndam. Haaa jelas sekali arahan yang ditulis.
Oleh kerana saya rasa nak mencuba cara yang lebih short cut, saya pun cubalah. Berkali kali baca supaya saya faham. Haa tu dia, menggeleding liat sotong kering saya. Jadi kalau saya buat jadi liat, saya percaya orang yang berkongsi tips tu juga kalau buat serupa dengan apa yang dikongsi, hasilnya pasti liat juga. Itu yang saya maksudkan.
Sekarang ni ramai yang nak popular lebih, jadi semua di sharekan. Saya tak kata saya baik, tapi saya berkongsi resipi bukan kerana "content" tapi kerana cintakan resipi dan kerana mahu orang lain yang mencubanya menjadi seperti yang saya kongsikan.
Apa yang saya tulis ini, datang dari hati. Itu sebab saya takut dan malu bila ramai memuji apa yang saya kongsi. Saya tak mahu sia siakan apa yang saya tahu. Itu lah niat saya sejak saya membuat blog ni berbelas tahun dahulu. Bukan content, bukan populariti, bukan follower.
Saya memang dari dulu, kalau memasak sambal tumis sotong kering, akan merendam sotong dalam air abu. Tapi gara gara nak cepat, itu yang terikut tips menggunakan pressure cooker yang tak menjadi.
Untuk sotong kering hari ini, saya merendam dalam air abu dengan sukatan nisbah 1:5 air, selama 33 jam. Lepas tu basuh bersih bersih, sotong menjadi kembang dan lembut. Tak perlu rebus rebus dah.
Bila sambal dah masak dan terbit minyak, masukkan sotong. Biarkan merenih sehingga sambal sedikit pekat dan naik minyak, boleh tutup api. Sotong dah lembut, tak perlu nak masak lama lama pun. Oleh kerana anak anak suka, saya memasak 3 kali termasuk yang kali pertama sotong liat dalam masa 2 hari berturut turut.
Jom layan resipi dan cara penyediaanya di bawah ini. Jangan lupa video di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba....
Sambal Tumis Sotong Kering
Oleh: Azie Kitchen
Bahan A:
250 gram sotong kering
1 gelas air abu
5 gelas air
Bahan B:
1 biji 80 gram bawang besar - hiris
½ sudu kecil pes asam jawa
55 gram gula Melaka atau secukup rasa
½ - ¾ sudu besar garam atau secukup rasa
1 cawan minyak masak
Air secukupnya - air blender bahan kisar
Bahan C: Kisar
2 biji bawang besar merah - 250 gram
5-6 ulas bawang putih
4 sudu besar cili kering kisar - ikut pedas disukai
Cara cara:
Rendam kesemua bahan A selama 48 jam atau sehingga kembang dan lembut. Bilas bersih bersih untuk hilangkan bau air abu dan tos. Ketepikan. Nota: saya rendam selama 33 jam, sotong dah lembut dan sedia untuk dimasak.
Panaskan minyak dan tumis bawang besar hiris sehingga wangi. Masukkan bahan kisar dan tumis sehingga naik bau dan terbit minyak sedikit.
Masukkan cili kisar dan tumis sehingga cili masak dan terbit minyak.
Masukkan air blender dan biarkan sehingga terbit minyak lagi sekali bagi pastikan bahan tumis benar benar masak. Masukkan pes asam jawa. Kacau rata.
Masukkan sotong kering. Kacau rata sehingga kuahnya sedikit pekat dan terbit minyak, masukkan gula melaka dan garam.
Renih sehingga sambal terbit minyak dengan cantik. Boleh tutup api.
Sedia dihidangkan dengan nasi lemak, nasi putih atau dengan lontong.
Nota:
Saya rendam sotong dengan air abu selama 33 jam dengan menggunakan air abu dan air nisbah 1:5. Sotong dah cukup kembang dan lembut.
Assalam, Pn Azie. Oh, jadi liat ya bila guna PS. Setakat ni sy cuma guna air abu jer. Kalau nak masak tengahari, pagi sy rendam. Tapi, bagi sy, kadang tengok pada jenis sotong jugak, sebab pernah guna cara yang sama, sotongnya tak lembut2. Agaknya, sotong tu tak fresh sebelum dikeringkan, tu yang jadi liat macam getah walau dah rendam dgn air abu.
BalasPadamya guna PC, jadi liat dan kecut. Hari tu sebab nak cepat, jadi ingat guna PC sebab sikit dapat guna utk masak.Biasanya mmg guna air abu.
PadamSaya pernah cuba guna pressure cooker, Sotong saya jd lembut, saya x pernah Google, cuma saya fikir klu daging liat pun bole lembut, Mgkin puan kena lama kan lagi waktunya ikut pada size sotong. Cuma saya notis Sotong tu akan kurang rasa manis sotong klu guna pressure cooker
BalasPadamSotong jadi kecut dan liat. Tak kembang macam rendam dg air abu.
Padam