Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Begedil Ayam Mudah Dan Sedap



Saya dari mula membuat blog ini berazam untuk menyelitkan sedikit perkongsian ilmu dari bacaan saya dsb. Jadi kalau sudi, sama samalah kita baca untuk manafaat dunia dan akhirat. Kali ini masih lagi dari petikan video Ustaz Mat Esa Deraman, Tokku Pasir Gudang.

Keadaan orang beriman ketika hadapi sakaratul maut, ketika nyawa berada di halkum. Atau mungkin beberapa hari atau bulan sebelum mati. Ada berita menarik bagi orang beriman bila hampir dengan kematian. Mereka suka nak mati dan bercita cita nak mati. Tidak akan benci kematian melainkan orang yang ragu dengan janji Allah. 

Shaikh Abdul Qadir menyebut ianya umpama pergantian malam dan siang yang diterima oleh semua orang. Tiada yang bangkang kenapa adanya malam. Mereka melaluinya sebagai satu proses peredaran masa di dunia. Bagi orang beriman semua qada dan qadar adalah baik untuk nya. Semua dicatat pahala. Cuma pada nafsu sahaja suka atau tak suka. Analogi makanan yang kita makan akan memberi rasa kenyang walaupun kita suka atau tak suka makanan tersebut. Secara nafsu kalau makanan yang kita makan suatu yang kita suka, kita akan rasa seronok. Bila lapar dan kita makan, akan beri rasa kenyang. Haa begitu lah umpamanya.

Setiap orang mukmin ketika sakaratul maut akan disingkap pemandangan. Hari yang kita melihat sesuatu yang tidak dilihat dengan mata biasa. Diberi panca indera sebenar. Ketika itu, akan melihat malaikat, syaitan, tempat di syurga dan neraka. Bila hampir kematian hadir malaikat datang berbicara dengan nya. Dia akan bercakap pada alam dia. Dia melihat apa yang berada di hadapannya.

Dalam hadis Nabi riwayat Ibnu Abbas tidak ada satu nyawa yang berpisah dari dunia sehingga dia melihat tempat duduk nya di syurga atau neraka. Akan lihat segala yang tidak dapat dilihat dengan matanya. Jadi bila kita mendengar orang sakit, kita digalakkan untuk menziarah. Ajar dia dengan ucapan Laa ilahaillallaah. Beri berita gembira tentang syurga. Berita tentang pengampunan Allah. Tentang redha Allah.

Waktu hendak mati, mereka akan panik dan bingung. Pasti akan panik. Sakaratul maut lebih dasyat dari 1000 pukulan pedang. Manusia akan lihat malaikat dan syaitan. Orang beriman dekat nak mati, datang malaikat pencatat. Dia akan tengok malaikat buat kali pertama. 

Kalau dia orang baik malaikat akan cakap semoga Allah akan berikan kamu kebaikan pahala yang banyak. Kami menyaksi kebaikan yang kamu buat. Kamu berada dalam majlis kebaikan dan amalan baik yang kamu hadir. Malaikat pencatat akan ucap tahniah pada dia. 

Kemudian akan turun malaikat rahmat. Akan ditunjukkan tempatnya di syurga. Disingkap dan nampak segala nikmat dan haruman syurga dan segala nikmat syurga sehingga ia tak ingin hidup kembali tapi ingin meneruskan perjalanannya. Bersama malaikat Rahmat, ada kain kafan dari syurga dan haruman dari syurga. Dia kemudian akan duduk di satu tempat.

Ketika itu datang malaikatul maut duduk di sisi kepala pesakit. Kepala adalah laluan terakhir roh dari kaki betis lutut hingga ke perut, dada mula berombak, pernafasan makin sempit dan akhirnya roh keluar ikut mulut. Melihat malaiktul maut memang dasyat tapi diamankan oleh malaikat rahmat yang ramai dan berbondong bondong. Malaikat rahmat akan mengamankan ketakutam pada malaikatul maut. Macam anak kecil takut untuk bersunat, bila ibubapa masuk sekali dan pegang tangan dia untuk tenangkan dia. Sambil tak sedar dah siap.

Kalau dia orang baik, malaikatul maut akan kata keluarlah kamu untuk dapat keampunan dan redha Allah. Kalau pun sakit masa sakaratul maut, bagi orang beriman sakit untuk suci dari dosa dan untuk angkat darjat. Bagi sakit orang beriman, Allah akan ringankan. Masih boleh bernafas cuma ada gangguan bila bernafas. 

Malaikat rahmat ambil dan tukar kain kafan syurga. Sebelum manusia bergerak dari satu pintu langit ke satu pintu langit. Semua dipuji sampai langit ketujuh dan bertemu dengan Allah. Simpan catatannya di syurga. Pulangkan dia ke bumi kerana Aku jadikan dia dari tanah dan akan dibangkitkan semula.

Datang malaikat mungkar dan nakir dan akan didudukkan oleh kedua malaikat. Ditanya soalan kubur dan dijawab dengan lidah yang fasih. Bentangkan permaidani syurga, di wangikan kuburnya. Dibukakan pintu syurga. Dah nampak nikmat syurga. Ini detik paling gembira bagi mereka. 


Begedil adalah salah satu dari makanan kegemaran kami terutama Nana dan Juita. Kami boleh makan meratah ratah begitu sahaja. Kalau hari hari ada begedil pun OK. Tak pernah rasa jemu. 

Walaupun membuat begedil tidak susah tapi saya selalunya malas kerana banyak steps dan bahan yang perlu disediakan. Kalau semua bahan dah ada, mudah jer. Tinggal satukan semua bahan dan gaul  jer. 

Hari ini saya buat begedil ayam sambil nak mengajar bibik saya. Dia tak pernah makan begedil. Dia di kampung hanya makan nasi dan sayuran sahaja. Tiada ikan, ayam atau daging seperti kita. Telur pun sekali sekala sahaja diambil dari ayam yang dibela. Jadinya saya masih memasak seorang diri. Dia hanya bantu kupas bawang sahaja. 

Bila dia dah pandai, lebih senang lah. Dia boleh sediakan bahan bahan dan saya cuma tinggal menggaul bahan bahan sahaja. Banyak juga kena ajar dia kerana dia tak biasa makan banyak makanan apalagi memasaknya. Dia pun belum kenal bahan bahan masakan di sini. 

Jom layan resipi dan cara penyediaannnya di bawah ini. Jangan lupa video penyediaannya di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba....


Begedil Ayam Mudah Dan Sedap

Bahan A:
3 biji ubi kentang
3 sudu besar isi ayam 
2 tangkai/1 sudu besar  daun sup - hiris nipis
3 sudu besar bawang goreng 
¼ sudu kecil serbuk lada sulah 
¼ sudu kecil garam atau secukup rasa 
Secubit gula - untuk hilang rasa kelat kentang

Bahan B:
1 biji telur 
Secubit garam

Cara cara:
Kupas kentang, potong bulat leper dan dikukus hingga lembut. Nota: boleh juga direbus. Kemudian tumbuk atau lenyek halus. 

Sangai atau goreng isi ayam (masuk secubit garam) yang dicincang tanpa minyak sehingga masak. Jika cincang tak halus, boleh tumbuk selepas disangai. 


Satukan semua bahan kecuali telur. Gaul rata. Sesuaikan rasa. Tambahkan garam dan gula, jika perlu.


Basuh dan lap tangan dan ambil sedikit adunan dan dikepal kepal bulat kemudian ditekan leper. Buat sehingga habis. 


Panaskan minyak yang penuh dan sementara itu, celup begedil ke dalam telur yang dipukul dengan sedikit garam. 


Terus goreng dalam minyak yang panas sehingga kekuningan. Tak perlu lama sebab semua bahan dah dimasak. Angkat dan tos. Sedia untuk dihidangkan. 


Nota:
Jangan guna ayam kisar mentah kerana begedil boleh pecah semasa digoreng sebab basah atau lembik. 

Juga ayam yang mentah tidak sempat masak sempurna kerana begedil cuma digoreng sekejap sahaja. 

Kentang boleh juga dihiris nipis dan digoreng sehingga kekuningan dan ditumbuk ketika masih panas.

Kalau ada lebihan, boleh masukkan dalam bekas bertutup dan simpan dalam freezer. 


Catat Ulasan for "Begedil Ayam Mudah Dan Sedap"