Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Ayam Goreng Halia



Setiap manusia yang hidup di dunia, tidak akan lepas dari diuji. Saya juga begitu. Tapi setiap kali kita dapat mengatasinya, kita tidak akan terasa sangat akan bebannya. Masih ingat lagi ketika, ada cubaan untuk menjatuhkan saya semasa masih bekerja dulu. Pelbagai cara dilakukan termasuklah memberikan saya bonus ZERO.

Ketika itu saya sangat sedih dan merasa sangat terhina kerana ianya seolah telah dirancang dan dipakati. Malahan ketika saya sedang mengerjakan umrah juga, saya dapat tahu mereka mengata mengeji saya. Tapi Alhamdulillah, saya dapat mengatasinya dan hidup dengan tiada apa pun kekurangan.

Sepanjang dalam kesedihan, saya membaca berulang ulang kali buku La Tahzan Jangan Bersedih. Buku itu seperti memberikan saya nafas baru dari kesakitan yang berlaku. Saya membaca dan menandakan baris baris ayat yang memberi kelegaan pada hati. Saya mengulanginya setiap hari. 

Jadi bila kita bersedih, carilah penawarnya dengan mengingati Allah, mengikuti apa yang Allah ajar supaya hati menjadi tenang. Lagi pula Allah tidak akan menguji hambaNya di luar kemampuan seseorang. Bersama kesusahan, adanya kesenangan. Yakinilah segalanya janji janji Allah dan redha. 

Tidak salah untuk rasa sedih kerana kita manusia, pastinya punya hati dan perasaan bila melihat orang lain menerima bonus berpuluh puluh ribu sedangkan kita mendapat zero. Seorang perempuan ini pula menyuruh saya melihat cermin supaya nampak diri sendiri. Dia lupa, yang dia juga sepatutnya berbuat perkara yang sama. Jadi boss tapi perlu disuap segalanya. OK lah sekarang kita tinggalkan bab ujian dan masuk pula bab resipi.


Anak anak saya kalau makan di restoran masakan Thai, pasti akan order ayam goreng halia juga. Biasanya halia akan dihiris nipis dan lebar sekeping keping. Supaya halianya terasa dan juga tak perlu digigit bagi yang tak suka halia.

Ada pelbagai cara orang menyediakan ayam goreng halia ni. Kalau Thai style dengan Chinese style berbeza. Chinese style, isi ayam berwarna putih kerana tidak digoreng dengan garam dan serbuk kunyit. 

Jom layan resepi di bawah ini dan juga jangan lupa video penyediaannya di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba...


Ayam Goreng Halia
Oleh: Azie Kitchen

Bahan-Bahan:
500 gram ayam - potong kecil
4 ulas bawang putih - hiris nipis
2 inci halia - dihiris halus memanjang
1 sudu besar kicap cair
2-3 sudu besar sos tira
1 biji bawang besar - hiris
1 biji cili merah - hiris 
1 tangkai daun sup - hiris panjang
1 ½ sudu kecil tepung jagung - bancuh dengan sedikit air
Sedikit serbuk lada sulah 
Garam - jika perlu
Gula secukupnya

Cara-cara:
Lumur ayam bersama garam dan serbuk kunyit. Goreng separuh masak. Angkat dan ketepikan.

Ambil ½ cawan dari baki gorengan ayam tadi dan tumis bawang putih dan halia sehingga naik bau.

Masukkan ayam goreng dan kacau rata.

Masukkan sos tiram, kicap cair dan serbuk lada putih. Kacau rata sehingga ayam masak sepenuhnya.

Masukkan air bancuhan tepung jagung dan kacau sehingga kuah sedikit pekat. Tambah air jika suka berkuah.

Masukkan cili merah dan bawang besar dan kacau rata. Sesuaikan rasa. Tabur dengan daun sup.



Catat Ulasan for "Ayam Goreng Halia"