Sambal Berlado Ikan Merah
Sejak 2 minggu lepas saya mencari pakej umrah. Perasaan rindu dah membuak buak untuk ke tanah suci. Tapi pencarian pakej yang sesuai tidak semudah itu walaupun pakej yang saya cari adalah pakej biasa sahaja.
Saya mencari pakej yang lama di Mekah. Kebanyakan travel agent sekarang membuat pakej 5 malam di Mekah dan 5 malam di Madinah atau 6 malam di Mekah dan 4 malam di Madinah. Sedang saya mencari pakej yang lama di Mekah. Seperti 3 malam di Madinah sahaja.
Ibadah ada di Mekah. Madinah hanyalah ziarah. Jadi kita perlu mencari keutamaan dengan melakukan ibadah yang memberikan pahala yang banyak. Di Mekah satu solat menyamai 100 ribu ganda pahala berbanding di Madinah 1000 kali ganda.
Memang lah pahala semua urusan Allah tapi kita kena berusaha memberi prioriti kepada yang memberikan ganjaran pahala yang banyak dalam ibadah.
Sebagai contoh membuat amal ibadah di bulan Ramadhan yang menjanjikan pahala berganda. Apakah setelah tahu pahala berganda di bulan Ramadhan, kita boleh pejam mata dan buat tak tahu sahaja.
Begitu juga dengan pahala untuk malam Lailatul qadr yang lebih baik dari 1000 bulan. Apakah kita mahu membiarkan begitu sahaja kerana mungkin dah banyak amal ibadah yang telah dilakukan. Begitulah anologinya.
Sama juga dalam perniagaan, jika kita tahu ramai customer datang waktu makan tengahari, apakah seorang peniaga yang bijak nak buka restoran pukul 3 petang?
Saya juga mencari pakej yang kecil. Travel agent yang tak popular dan tak besar pun tak apa. Asalkan genuine. Saya juga mencari hotel yang dekat dengan kedua dua masjid bagi membolehkan saya berjalan tidak jauh. Itu sahaja.
Saya mencari juga pakej yang boleh upgrade seat ke business class. Saya percaya pada rezeki, jika ada rezeki untuk saya ke tanah suci pasti akan ada jodoh dengan mana mana travel agent. OK setakat ini dahulu, sekarang kita masuk pula bab resipi.
Sedap sangat ikan merah berlado saya hari ini. Pertama mungkin kerana ikan merah yang digunakan sangat segar dan terasa kemanisan isinya. Saya beli ½ ekor di Village Grocer dengan harga RM65.
Keduanya, saya memang suka lauk pauk yang menggunakan bahan bahan yang simple macam ni jer. tak suka yang berempah rempah bagai.
Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Jangan lupa video penyediaannya di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba....
Sambal Berlado Ikan Merah
Oleh: Azie Kitchen
Bahan bahan:
3 keping ikan merah - lumur garam dan serbuk kunyit
½ sudu besar garam
1 sudu besar gula
Bahan kisar kasar:
4 tangkai cili merah
5 tangkai cili padi
5 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1 biji buah tomato - guna 2 keping asam keping
Cara cara:
Panaskan minyak dan goreng ikan sehingga masak. Angkat dan ketepikan.
Panaskan minyak dan tumis bahan kisar sehingga masak dan naik bau.
Masukkan garam dan gula secukupnya.
Masukkan ikan yang telah digoreng ke dalam kuali dan kacau sebati dengan sambal. Sesuaikan rasa dan bolehlah ditutup api.
Catat Ulasan for "Sambal Berlado Ikan Merah"
Add your comment