Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Laksa Johor Mudah dan Sedap Dengan Periuk Noxxa



Teringat masa bekerja dulu, setiap kali jamuan hari raya di tempat saya bekerja pasti ada laksa Johor. Maklum boss kami ketika itu Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, Gabenor berasal dari Johor. Tapi itulah, masa tu tak ada lah saya hargai sangat keenakannya. 

Cuma bila dah bersara, barulah rindukan keenakan laksa Johor yang sedap seperti yang biasa makan di majlis jamuan raya. Saya yang bukan orang Johor pun makan menambah nambah kerana kesedapannya. 

Sekarang baru tahu, rupanya susah nak mendapatkan laksa johor yang sedap. Pernah saya teringin nak makan, jadi saya order dari seorang peniaga yang berasal dari Johor. Itu pun atas syor seorang kawan yang juga berasal dari Johor. Harganya memang lah mahal tapi rasanya sedikit lari. Memang tak sama dengan yang biasa dimakan bertahun tahun. 

Order juga dari seorang Chef terkemuka yang dijual dalam bentuk pes segera. Pun rasanya tak sama dengan yang dihidangkan masa jamuan raya. Laksa Johor yang dihidangkan mesti menepati citarasa Gabenor kami. Itu sebab sangat sedap.



Resipi hari ini saya belajar dari seorang blogger yang dulu berniaga laksa Johor dan jualannya mendapat pujian ramai pembelinya. Saya mengikut cara cara penyediaan serta tips yang diberikan. 

Alhamdulillah ramai yang telah mencuba resipi ini dan memberi maklumbalas yang ianya sangat sedap dan mendapat pujian suami dan keluarga. Kata orang Johor, laksa Johor tidak menggunakan kacang panjang sebagai ulaman, tapi sebab saya suka kacang panjang, saya masukkanlah. Kita boleh guna apa apa yang sesuai dengan selera kita. 

Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Jangan lupa melihat video penyediaannya di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI.  Selamat mencuba...



Laksa Johor 
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
½ paket spaghetti - 250 gram
½ kg ikan sardin/selayang/kembung
3 sudu besar rempah kari ikan Babas - 35 gram
2 sudu besar cili kering kisar
1 cawan santan pekat
4 cawan air - 1 liter
½ cawan minyak masak
½ sudu besar kerisik - guna 1 sudu besar
½ sudu besar garam
1 kiub ikan bilis

Bahan kisar:
3 batang serai
1 inci halia
1 inci lengkuas
2 ½ biji bawang besar
3 sudu besar udang kering - 35 gram

Ulam ulam:
Timun - hiris bulat
Taugeh
Daun kesum/daun selasih - hiris
Kacang panjang - potong halus
Limau kasturi - belah 2
Lobak asin - cincang

Cara cara:
Ikan dibersihkan dan direbus. Kisar ikan yg telah dibuang tulang dengan air rebusan ikan tadi. Ketepikan. Kisar pula tulang dengan air rebusan dan tapis. Nota: jika menggunakan periuk Noxxa, rebus ikan (buang kepala dan ekor) selama 35-40 minit. Kisar sekali dengan tulang dan sedia untuk digunakan.

Panaskan minyak dan tumis bahan kisar sehingga naik bau. Masukkan rempah kari ikan dan goreng pantas selama satu minit. Masukkan sedikit air dan tumis lagi kira-kira 5 minit.

Kemudian masukkan cili kisar dan tumis lagi sampai terbit minyak. Setelah terbit minyak, masukkan ikan yang telah dikisar dengan 700 ml air. Kacau rata.

Masukkan santan. Setelah mendidih, masukkan kerisik, garam dan kiub ikan bilis. Jika kuah terlebih pekat, boleh tambah air.


Nota:
Kuah laksa Johor agak pekat. Jadi kenalah agak agak jumlah air dengan kepekatan yang disukai. Tambah lagi 300 ml air rebusan.


Spaghetti:
Masak air dalam periuk. Bubuh garam dalam air rebusan tu. Bila telah mendidih, masukkan spaghetti dan rebus sehingga rasa dah kenyal, tapis dan siram air sejuk sehingga hilang panasnya atau cuci bawah air paip. Tos air nya dan tuang sedikit minyak supaya tak melekat.

Ulam ulam:
Ulam Laksa Johor ialah timun, taugeh, bawang besar diracik bulat bulat halus, daun selasih atau daun kesum, limau kasturi dan lobak asin. Kalau suka selasih, boleh masukkan juga. Nota: Versi Johor tak ada kacang panjang, saya letak sebab saya suka.


Sambal Belacan:
Cili kering - rebus
Belacan bakar

Tumbuk cili bersama belacan bakar sehingga lumat.


Cara menghidang
Masukkan spaghetti dalam mangkuk, taburkan ulam-ulam dan curahkan kuah. perah limau kasturi dan makan dengan sambal belacan.



Rebus Spaghetti Menggunakan Periuk Noxxa

Tuang air sehingga paras 2/5 dalam innerpot. Masukkan ½ sudu besar garam dan 2 sudu besar minyak supaya spagheti tak melekat. Masukkan spaghetti.


Tekan fungsi RICE, set 9 minit. Selepas 9 minit, OFF kan suis, keluarkan tekanan sampai habis.

Buka penutup dan toskan spaghetti. Bilas dengan air sejuk supaya spaghetti kenyal cantik dan tak lekat.



Catat Ulasan for "Laksa Johor Mudah dan Sedap Dengan Periuk Noxxa "