Gulai Lemak Ikan Merah Stail Kelantan
Saya sebagai individu dan warga negara memang sangat sedih membaca kisah kisah rasuah berbilion ringgit yang melibatkan projek kerajaan seperti projek 1MDB, SRC, kapal LCS, projek terowong yang sedang hangat diperkatakan sekarang ini. Untuk projek terowong juga, bersuka ria dan meriah sekali penerima penerimanya.
Rasuah adalah haram dan berdosa. Kepada pemberi dan penerimanya atau yang bersubahat. Membenarkan atau menyokong perbuatan ini adalah berdosa. Tak perlu nak jaga hati penyokong penyokong parti atau kawan kawan. Dosa tetap dosa.
Apa dia dosa, bukan nampak pun kan. Itu sebab manusia tak takut buat dosa kerana dosa, tak nampak di lihat dan dirasa masa di dunia. Walaupun mungkin ada yang diberi balasan masa di dunia tapi tak ramai.
Lagi menyedihkan bila begitu ramai pemimpin Melayu beragama Islam yang menerima rasuah tanpa ada rasa takut pada Allah. Tanpa ingat bahawa kematian boleh datang menjemput bila bila masa sahaja. Macam mana duit haram yang diterima akan menjadi darah daging anak isteri. Darah daging tau. Duit haram akan menumbuhkan darah dan daging yang kotor. Sangat menakutkan.
Tapi betul lah kata ustaz ustaz, bila dah makan duit haram, hati jadi hitam legam sehingga tak nampak lagi halal haram. Umpama cermin yang dipenuhi titik titik hitam.
Hmm saya sebagai penjawat badan berkanun, perlu bekerja selama lebih dari 30 tahun, untuk mengumpul mungkin RM1.5-2 juta dalam akaun KWSP. Itu pun bukan dapat bersih, dengan duit itulah kena bayar cukai dan zakat terlebih dahulu. Baki baru guna bayar anak anak belajar, duit itulah nak pergi umrah, bercuti dsb.
Bagaimana pemimpin pemimpin yang diberi tanggungjawab dan amanah ini menerima duit rasuah sehingga beratus juta, RM19 juta dsb. Pakai jam dan handbag mahal berharga setengah sehingga 1 juta? Masya Allah, hidayah milik Allah semoga Allah terus memberikan kita taufik dan hidayah supaya dapat mencegah diri dan takut dari makan duit haram.
Setakat ini dahulu, semoga sedikit sebanyak apa yang saya tulis dapat memberikan sedikit muhasabah diri. Jangan taksub dengan pemimpin kerana mereka bukan maksum. Sehingga kita membenar dan menyokong perbuatan yang dilarang Allah.
Hari ini saya nak kongsikan resipi gulai lemak stail Kelantan. Saya makan gulai ikan ini dengan nasi putih dan sambal nasi berlauk Kelantan. Memang sedap dan terasa terlepas keinginan nak makan nasi berlauk Kelantan. Maklum saya pun dah lama tak balik kampung.
Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Jangan lupa video penyediaannya di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba....
Gulai Lemak Ikan Merah Stail Kelantan
Oleh: Azie Kitchen
Bahan bahan
2 keping ikan merah
½ kg santan + 5 gelas air
Asam keping
Garam
Gula
Kacang panjang/timun
Cili hijau solok - lagi sedap
Bahan kisar:
3-4 hiris lengkuas
1 ibu jari kunyit - 2 inci
5-6 biji bawang merah
6 biji cili kering - 1 sudu besar cili kisar
Cara cara:
Tuang bahan kisar dalam kuali dan masak sehingga hampir kering. Masukkan santan pekat dan kacau sehingga mendidih.
Masukkan sedikit air dan kacau rata sehingga mendidih lagi. Masukkan asam keping dan ikan.
Setelah ikan masak, masukkan kacang panjang/timun dan cili hidup.
Akhir sekali masukkan garam dan gula secukup rasa. Boleh tutup api.
Nota:
Kalau nasi berlauk Kelantan, ikan mesti menggunakan ikan yang direbus dengan garam dan asam keping. Tutup api dan ikan dibiarkan semalaman dalam air rebusan sebelum ikan rebus digunakan keesokannya.
Cili kisar sekadar untuk menaikkan warna sahaja. Jika suka pedas, guna banyak cili hidup.
Catat Ulasan for "Gulai Lemak Ikan Merah Stail Kelantan"
Add your comment