Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Ayam Goreng Kunyit Yang Mudah Dan Sedap



Alhamdulillah saya gembira sangat bila anak saya Nana membuat keputusan untuk menghantar Aliya Hajar ke rumah kami setiap hari. Walaupun ada pembantu rumah yang menjaga Aliya, saya gembira untuk sama sama menjaga Aliya. 

Setiap kali tiba waktu menyusu, saya akan memberikan Aliya susu. Aliya masih minum susu badan yang stocknya di simpan di dalam peti rumah kami. 

Sejak itu, saya lebih selesa berada di rumah. Bila menpunyai urusan yang memerlukan saya keluar rumah, cepat cepat jer nak balik. Rasa sedih bila tinggal dia lama. 

Semasa anak anak masih kecil, saya sangat sibuk dengan urusan kerja sehingga tidak banyak masa untuk bermain dengan anak anak semasa mereka masih kecil. Semua diuruskan oleh pembantu rumah saya. 

Agaknya inilah peluang kedua yang diberikan untuk saya menikmati kebahagiaan dapat menjaga anak kecil. Kini saya menpunyai 2 pasang cucu. Selain Ammar dan Medina, saya menpunyai Aliya dan Haider. Aliya dan Haider juga adik beradik susuan.

Saya tidak membezakan cucu cucu saya. Saya melihat sendiri ada nenek yang memberi layanan lebih pada cucu dari anak perempuan berbanding cucu dari anak lelaki. 

Pada saya, saya sayang semuanya sama. Kita sebagai mertua juga begitu, jangan membezakan menantu perempuan dan menantu lelaki. Jangan jadi seperti mertua zaman zaman dulu yang suka mengongkong menantu terutama menantu perempuan untuk ikut telunjuk mereka. 

Jangan berprasangka dengan menantu. Lebih lebih lagi menantu perempuan yang bergaji tinggi dan berkerjaya. Sekali kita melakukannya, akan hilang rasa kepercayaan menantu pada mertua dan mungkin akan diingati sampai bila bila. 


Untuk resipi ini, anda boleh guna bahagian ayam apa sahaja yang disukai. Ramai yang menggunakan bahagian isi ayam. 

Selain ayam, boleh juga digunakan sotong dan udang. Makan pula dengan nasi putih, telur mata, sambal dan sedikit kicap. Aduhaai sedap tak terkata. 

Saya hari ini menggunakan bontot ayam. Hahaha. Kalau tak suka, jangan lah komen macam macam. Selera dan kesukaan orang berbeza kan antara satu sama lain. 

Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Jangan lupa video penyediaannya di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba....


Ayam Goreng Kunyit

Bahan A:
Ayam - terpulang bahagian mana yang disukai 
1 sudu besar serbuk kunyit
1 sudu besar serbuk pasti sedap
Tepung beras - opsyenal

Bahan B:
Bawang besar kuning
Karot
Jagung muda
Bunga kubis
Kacang panjang
Cili merah
1 sudu besar serbuk kunyit
1 sudu besar serbuk pasti sedap

Cara cara:
Satukan bahan A dan perap seketika, tabur tepung beras dan goreng dalam minyak yang betul betul panas. Nota: Masukkan ayam satu per satu supaya tidak melekat dan garing elok.  

Sementara itu, di dalam kuali lain, panaskann minyak dan tumis bawang besar hiris dan setelah layu, masukkan karot, jagung, bunga kubis mengikut yang jenis keras sehingga yang mudah lembut. Akhir sekali, masukkan kacang panjang dan cili merah. Nota: boleh guna apa sayur yang disukai.

Setelah sayur separuh lembut, masukkan serbuk kunyit dan serbuk pasti sedap. Kacau rata. Masukkan sedikit air supaya kesemua bahan menjadi sebati. 

Masukkan ayam yang telah digoreng garing ke dalam kuali sayuran dan kacau rata. Bolehlah diangkat dan dihidangkan. 


Catat Ulasan for "Ayam Goreng Kunyit Yang Mudah Dan Sedap"