Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Bingka Ubi Kayu Mudah Dan Sedap - Keeper Recipe

Alhamdulillah masih diberi kekuatan untuk menulis lagi di blog ini dan berkongsi resipi dengan anda semua. Sekarang memang ramai yang berlumba lumba berkongsi resipi. Ini adalah satu perkembangan yang baik. Bagi saya terpulang, kalau ada yang masih nak menggunakan resipi saya, silakan. Tidak seperti dulu di mana orang menyimpan resipi untuk keluarga masing masing.

Bukan sahaja dulu, sekarang pun ada lagi yang tak nak berkongsi resipi, risau kalau orang lain tiru dan buat business. Risau kalau rezeki berkurangan. Mereka tak nampak pahala dari perkongsian resipi itu lagi besar dari rezeki yang diperolehi di dunia ini.  Tapi tak mengapa itu adalah pilihan masing masing.


Pokok ubi kayu yang benihnya saya beli dari shopee sangat besar isinya. Dapat 3 ketul yang besar besar. Tak tahu nak buat apa. Lagi pulak kalau sekadar rebus tak habis dimakan. Bila dah dipotong selebih akan masuk angin.

Jadi saya pun mula memikirkan apa yang nak dibuat. Haa tiba tiba dapat idea untuk menyediakan kuih Bingka Ubi Kayu kegemaran saya. Boleh klik entri bingka ubi kayu saya sebelum ini di SINI. Hanya guna separuh sahaja dan separuh lagi direbus untuk dimakan begitu sahaja. 

Saya memang suka kuih bingka ni. Ala ala orang kampung memang suka makanan kampung kan. Tak malu pun saya mengaku orang kampung kerana akhirnya saya hidup mungkin lebih baik dari orang yang memang asal di bandar. Apa apa pun hidup kita pengakhiran lah yang paling penting. 

Saya memang suka sangat dengan resipi ini kerana bingkanya lembut dan sedap sekali. Mudah jer pun kerana tak perlu nak di tos air ubi kayu dan sebagainya. Lepas parut, terus disukat dan satukan semua bahan. Cukup mudah. 
 
Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Jangan lupa melihat video di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba...


Bingka Ubi Kayu Yang Sedap
Oleh: Azie Kitchen

Bahan-bahan:
4 cawan ubi kayu parut
2 cawan santan pekat - dari 1 biji kelapa
1 cawan gula pasir
½ sudu kecil garam
Sedikit pewarna kuning

Cara cara:
Panaskan oven pada suhu 200 Celcius menggunakan api atas dan bawah tanpa kipas.

Parut ubi kayu dan terus sukat. Masukkan semua bahan lain dan kacau rata sehingga gula hancur.

Tuang adunan ke dalam loyang berukuran 7 X 7 inci dan ratakan permukaannya. Nota: saya guna loyang 8x8 inci.


Masukkan loyang ke dalam ketuhar dan letakkan di rak paling bawah. Bakar selama 1 jam - 1 ½ jam atau hingga bahagian atas bingka keperangan.

Setelah masak, keluarkan dan sejukkan lebih kurang 3-5 jam sebelum dipotong dan dihidang. Sebelum itu lenser dengan sedikit mentega supaya permukaan kuih lebih berkilat. Kuih akan lekang dari loyang apabila ia berada pada suhu bilik.


Nota:
Saya letak baking paper. Jika tidak, tak perlupun lenser mentega pada loyang kerana kuih menggunakan santan, akan mudah lekang sendiri dari loyang. 


Catat Ulasan for "Bingka Ubi Kayu Mudah Dan Sedap - Keeper Recipe"