Teresek Kacang Panjang Kelantan
Saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Adha kepada semua follower saya. Jangan lupa selagi hayat dikandung badan, menyimpan duit sedikit sedikit supaya kita dapat mengerjakan ibadah ini.
Bila kita dah mati, tidak lagi ianya boleh dikerjakan oleh orang lain bagi pihak kita. Tidak seperti haji dan umrah yang boleh dikerjakan oleh orang lain untuk orang yang telah meninggal dunia. Jadi sementara kita masih hidup, lakukan lah sendiri.
Seingat saya sekurangnya 10 tahun atau mungkin lebih sebelum pemergian arwah Bonda saya, arwah setiap tahun akan mengerjakan ibadah korban. Insya Allah kami adik beradik juga setiap tahun atau selang setahun akan mengerjakan ibadah korban ini.
Saya juga kini mendidik anak anak saya untuk turut sama melakukan ibadah Korban. Alhamdulillah setakat ini, Juita setiap tahun akan ikut membuat ibadah korban sendiri untuk satu ekor kambing. Mudah mudahan Juita diberikan rezeki dan istiqomah untuk melakukan ibadah ini seumur hidup. Dan diajar pula untuk anak anak beliau kelak.
OK sekarang kita masuk bab resipi. Boleh klik video di SINI. Teresek ada dua jenis satu satu yang menggunakan kacang panjang dan satu yang menggunakan jantung pisang.
Saya baca komen di facebook mengatakan resipi Kelantan saya tidak authentic berbanding seorang blogger yang tidak berasal dari Kelantan.
Hmm tak mengapa kerana itu pandangan beliau. Saya pula, memang berasal dari Kelantan dan dibesarkan di kampung di Kelantan. Pastinya resipi masakan Kelantan yang rasa dari kecil, itulah tekak saya dapat membezakan masakan Kelantan asli yang dimasak oleh orang Kelantan atau bukan orang Kelantan.
Malahan orang Kelantan yang berada di tempat lain juga tidak semua pandai memasak masakan Kelantan. Termasuk saya sendiri. Itu sebab saya juga belajar resipi turun termurun terutamanya untuk lauk pauk Kelantan dan kuih muih Kelantan. Kerana saya juga tidak sempurna dan tidak pandai dalam semua.
Tapi saya tetap mahu abadikan masakan Kelantan supaya tetap kekal selamanya. Maklum sekarang tidak ramai yang tahu masakan Kelantan. Anak anak saya pun tidak semua suka masakan Kelantan kerana mereka lahir dan dibesarkan di Kuala Lumpur.
Alhamdulillah sedap teresek saya hari ini. Kalau makan di majlis kenduri di Kelantan, inilah lauk yang saya cari. Nak lagi sedap, perbanyakkan leher, hati dan hempedal di dalamnya. Orang kata, keropeh ayam. Itu lagi sedap berbanding dengan isi ayam.
Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Selamat mencuba...
Teresek Ayam Dengan Kacang Panjang
Oleh: Azie Kitchen
Bahan bahan:
½ ekor ayam - potong kecil 800 gram
20 batang kacang panjang
3 sudu besar rempah kari - 30 gram
¼ kg santan segar
2 sudu besar cili kering kisar - 40 gram
1-2 keping asam keping
2 sudu besar kerisik - 30 gram
1 sudu besar Knor Pasti Sedap
1 kiub pati ayam Knorr
Garam
2 sudu besar gula - 30 gram
4 biji lada hijau
½ cawan minyak masak
Bahan kisar:
8 biji bawang merah - 150 gram
2 ulas kecil bawang putih
½ inci kunyit hidup - 10 gram
½ inci lengkuas - 15 gram
½ inci halia - 8 gram
2 sudu besar biji ketumbar - sangai dan tumbuk - 10 gram
Panaskan minyak dan tumis bahan kisar dan cili kering kisar sehingga naik bau. Masukkan rempah kari dan kacau rata. Masukkan sedikit air dan tumis sehingga terbit minyak.
Masukkan ayam. Kacau rata. Masukkan sedikit air untuk ayam masak.
Masukkan santan dan kacau sehingga mendidih. Masukkan asam keping, kiub pati ayam dan gula.
Setelah terbit minyak, masukkan kerisik dan serbuk Knorr Pasti Sedap.
Akhir sekali masukkan kacang panjang dan cili hiris. Sesuaikan rasa dan kepekatan.
Catat Ulasan for "Teresek Kacang Panjang Kelantan"
Add your comment