Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Mengiringi DYMM Sultan Selangor di Majlis Resepsi Perkahwinan Di Hotel Majestik



Saya gembira bercampur risau bila mendapat tahu kami ditugas untuk mengiringi DYMM Sultan Selangor dan Tengku Permaisuri Selangor di majlis perkahwinan anak besan kami iaitu, Hafiz dan Natasya di Hotel Majestik.

Gembira kerana diberikan kepercayaan dan berpeluang untuk mendekati Baginda Tuanku. Risau kerana ketika itu saya tidak berapa sihat selepas mengalami sleeping disorder selama berbulan. Tidur yang terlalu lama selama berbulan menjadikan kaki saya lemah dan menggigil untuk berdiri. 

Saya juga tak ada baju yang sesuai untuk dipakai. Jadi saya menghantar kain lace yang telah saya beli beberapa tahun dulu di Jakel untuk dijahit. Saya pun tak sempat untuk mencuba baju tersebut sehingga lagi beberapa hari majlis baru dapat mencuba untuk dipadankan dengan tudung. 

Kami mengambil 3 bilik di hotel untuk membolehkan kami anak beranak menginap di sana serta menghadiri sessi rehersal yang diadakan di sebelah tengahari. Cucunda saya Medina juga terlibat sebagai flower girl di majlis tersebut.


Selepas selesai bersolek, saya terus solat Maghrib dan turun di lobi di mana kawan kawan yang lain telah sedia menunggu. Mata saya melilau melihat kalau ada sofa untuk saya duduk sementara menunggu ketibaan Baginda Tuanku berdua. Tapi sayang tak ada sofa yang berdekatan dengan pintu masuk di lobi.


Sebaik ketibaan, kami terus mengiringi baginda berdua ke bilik VIP. Selepas baginda berdua bergambar bersama pengantin dan keluarga kedua belah pihak, baginda diiringi masuk ke dalam dewan untuk acara merenjis kedua mempelai. 



Selesai acara merenjis, baginda diiringi ke meja pengantin untuk santapan. Kami kemudian beredar ke meja yang dikhaskan untuk rakan rakan alumni Kolej Ketiga Universiti Malaya.



Semasa majlis, Hafiz telah menyanyikan lagu yang ditujukan khas buat isteri tercinta. Ternyata persembahan istimewa ini menarik perhatian baginda dan juga DYTM Raja Muda, Tengku Amir Shah yang menyebutnya semasa dalam perjalanan berangkat meninggalkan majlis.  


Selesai majlis, baginda berdua dan Raja Muda Selangor diiringi untuk bersalaman dengan kedua pengantin sebelum berangkat pulang. Kenangan terindah ini pastinya sesuatu yang tidak saya lupakan selamanya. Keramahan baginda berdua membuatkan kami merasa tidak kekok. 

Malahan Tengku Permaisuri Selangor sempat bercerita berkenaan dengan hadiah hari raya dari Baginda yang menggunakan produk yang dihasilkan dari setiap daerah di negeri Selangor. 

Menjunjung Kasih Tuanku dan tidak lupa terima kasih kepada besan kami, Dato Setia Salehuddin Saidin, Ahli Dewan Diraja Selangor dan Datin Setia Nursinah Adzmi atas kepercayaan yang diberikan. 


Catat Ulasan for "Mengiringi DYMM Sultan Selangor di Majlis Resepsi Perkahwinan Di Hotel Majestik "