Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Masak Lemak Ikan Talang Masin Dengan Nanas



Semasa ke Sg Petani untuk menghadiri majlis resepsi perkahwinan anak sahabat kami di The Jerai Hotel, kami singgah di Tg Dawai untuk mencari kedai yang menjual pelbagai produk makanan laut yang terdapat di sepanjang jalan berhampiran pantai Tg Dawai.

Dah lama tak ke sini, memang tersesat juga. Pantainya pun dah banyak berubah. Banyak gerai gerai kecil naik di sebelah restoran makanan laut yang saya pernah makan dulu. 


Sebelum itu, kami singgah makan di Restoran Rumpun Mambu. Hajat hati hanya nak makan ringan ringan sahaja. Tapi nampak menarik pula hidangan yang dihantar ke meja meja sebelah kami.

Masya Allah terkejut melihat besar sungguh sup gear box yang dihantar pada kami. Rasanya boleh dimakan untuk 3 orang. Sebab tak tahu portion besar, Hubby order juga sup tulang biasa. Jadi kalau ke sana, kena check dulu. Harga pada saya, tidak lah mahal. RM55 untuk kedua duanya.

Masa di kedai produk makanan laut ni, saya beli ikan kering talang, isi ikan kurau masin, ikan bilis, sotong kering dan asam jawa tanpa biji. Kebetulan stok ikan bilis di rumah pun dah hampir kehabisan, jadi banyak juga saya beli ikan bilis.

Haa alang alang dah ada ikan talang dan ada juga stock nanas yang beli semasa dalam perjalanan balik dari Johor Bahru, apa lagi yang nak dimasak kalau bukan masak lemak ikan talang dengan nanas.

Selain masak lemak biasa, boleh juga masak lemak cili api stail nogori. Mereka hanya guna cili padi dan kunyit hidup sahaja. Tak ada digunakan bawang. 

Kalau kita tulis masak lemak cili api, dan kita guna bawang, pasti ada yang komen masak lemak cili api tak guna bawang. Sedangkan masak lemak cili api juga ada di negeri lain. Masak lemak yang menggunakan cili api, bukan cili kering.

Tapi saya kalau memasak, saya memang pelbagaikan masakan saya. Tak ada lah satu cara sahaja. Ianya bergantung kepada gerak hati saya sahaja. Kalau tangan capai bawang, maka jadi lah masak lemak yang ada bawang.

Jom layan resipi yang saya gunakan hari ini serta cara penyediaannnya. Jangan lupa video penyediaannya di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba...


Masak Lemak Ikan Talang Masin Dengan Nenas
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
2 keping ikan talang masin - 150 gram
½ biji nanas
500 ml santan - campurkan 250 ml air & 250 ml santan pekat segar
1 batang serai - dititik
½ sudu kecil serbuk kunyit
½ sudu kecil garam
¼ sudu kecil gula

Bahan kisar:
10 biji cili padi
1 biji bawang besar

Cara cara:
Masukkan santan cair, serai, serbuk kunyit dan bahan kisar ke dalam periuk. Masak sehingga hampir mendidih.

Masukkan ikan masin dan nanas. Masak sehingga mendidih dan nanas sedikit lembut.

Masukkan santan pekat, garam dan gula. Masak atas api perlahan sehingga mendidih sambil dikacau supaya tidak pecah santan.

1 ulasan for "Masak Lemak Ikan Talang Masin Dengan Nanas"