Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

JJCM dan Majlis Perkahwinan Di Sg Petani



Kami ke Sg Petani untuk memenuhi undangan majlis perkahwinan anak Dato Hashim Hamzah dan Datin Fauziah Samsudin, sahabat baik kami. Mereka suami isteri adalah sahabat baik saya dan Hubby sejak di universiti lagi. 

Semua majlis perkahwinan anak kami, mereka akan hadir. Jadi semestinya kami juga akan menghadiri majlis perkahwinan anak mereka walaupun  baru sahaja balik dari menghadiri majlis perkahwinan anak Datuk Khairi di Johor Bahru.

Kami pergi sehari lebih awal dengan hajat nak jalan jalan cari makan. Jadi kami bertolak pagi hari Jumaat dan singgah makan durian di RnR Bukit Gantang. Hahaha sedap sangat. Makan 3 biji durian dengan harga RM80. Tapi berbaloi kerana semuanya sedap isinya dengan pelbagai rasanya.


Kami kemudian bertolak ke Sg Petani. Sebelum itu, singgah di Titi Semeling untuk mencari buah nipah. Tapi sayang kedai tutup. Dalam perjalanan keluar dari sana, ternampak Ladang Nipah Hanipah, seronok sangat sebab ada ladang nipah. Seumur hidup tak pernah tengok bunga pokok nipah. Dapat tengok dan siap pegang pegang lagi. 


Kami kemudian ke Tg Dawai untuk mencari gerai ikan bakar yang pernah kami singgah dulu. Boleh klik di SINI. Masih belum berniaga, lalu kami ke depan sedikit dan nampak gerai Rumpun Mambu yang ramai tulis makanannya sebagai sedap.

Saya mengajak Hubby singgah. Konon untuk makan ringan ringan sahaja. Kami order udang dan sotong celup tepung. Walaupun nampak seperti digoreng panas panas tapi bila dihantar ke meja dah sejuk dan ianya tidak sesedap sotong celup tepung yang biasa saya makan.



Hubby order sup tulang dan saya order sup gear box dengan mee kuning. Terkejut bila sampai ke meja. Besar sangat gear box nya. Langsung makan mee jer sebab memang masih kekenyangan. Udang minta dibungkuskan.



Harga tak lah mahal. Untuk kedua dua sup tu dan air minum hanya RM55. Bawa balik tulang dengan kuah untuk makan di hotel. Tapi sebenarnya langsung tak makan. Tak lalu nak makan bila perut masih penuh. Hubby jer makan meratah daging.

Kami kemudian singgah di kedai yang menjual produk makanan laut. Saya beli ikan bilis mata biru, isi ikan talang, isi ikan kurau, sotong kering dan asam jawa tanpa biji. Boleh dibayar dengan secara pindahan ke akaun.

Kami meneruskan perjalanan ke Sg Petani. Nampak sepanjang jalan orang menjual durian tapi perut masih kekenyangan. Memang tak termakan pun. 

Sampai di hotel, Dato Hashim menelefon mengajak kami turun minum petang. Kami hanya bersembang sembang di lobi hotel sahaja sebab masih kekenyangan.

Sebelah malam selepas maghrib, kami turun lagi selepas melihat persiapan dewan dan pelamin, kami turun minum di coffee house bersama Dato Hashim dan keluarga.


Hari kedua di Sg Petani, saya mengajak Hubby bersarapan nasi lemak. Kami ke restoran Nasi Lemak Cinta Sayang tapi tutup. Jadi kami ke Port Nasi Lemak di Taman Sejati Indah. 

Lauk nya adalah samada sotong goreng celup telung, sotong sambal atau ayam goreng. Restoran ala ala budak budak muda berniaga. Bukan gerai menjual nasi lemak yang pelbagai lauk pauk yang boleh dilihat dalam bekas hidangan sebelum dipilih.


Kami kemudian sekali lagi ke Titi Semeling untuk mencari buah nipah. Gerai masih ditutup. Saya ambil nombor tuan gerai. Kami kenudian mencari durian kampung di Kampung Singkiaq Darat. 

Sedap sedap duriannya. Hanya RM10 sekilo. Saya beli juga asam keping yang dijual di situ di samping buah rambutan anak sekolah dengan harga RM7 se kilo.


Dari situ kami terus balik ke hotel untuk bersiap menghadiri majlis perkahwinan di Dewan Perdana hotel yang kami menginap iaitu The Jerai Hotel. Kami turun awal ketika tetamu belum ramai, jadi bolehlah bergambar dengan tuan rumah yang belum lagi sibuk dengan kedatangan tetamu sementara kami menunggu kawan kawan dari KL tiba di hotel.



Selepas selesai majlis, kawan kawan dari KL terus balik. Kami naik ke bilik dan selepas solat terus check out. Kami kemudian ke Titi Semeling untuk mengambil buah nipah yang dipesan. Hampir 1 jam juga menunggu anak beliau sampai di gerai kerana jalan yang terlalu sesak dengan kereta.


Dari situ, kami bertolak dalam pukul 4.30 dengan kenderaan yang sangat banyak di highway. Kami berhenti di RnR Bukit Gantang dalam keadaan hujan untuk makan durian lagi. Pun sangat sedap duriannya. Kami hanya makan 2 biji yang bersaiz kecil sahaja.

Kami kemudian bertolak balik ke KL dengan lebuhraya yang sesak sepanjang jalan. Tempat rehat juga sesak. Kami tiba di rumah dalam pukul 10.45 malam.


Catat Ulasan for "JJCM dan Majlis Perkahwinan Di Sg Petani"