Cara Menyediakan Cili Kisar Yang Tahan Lama
Masuk cili kering tadi ke dalam periuk Noxxa dan set fungsi HP 4. Kalau tiada Noxxa, guna periuk biasa dan rebus cili kering sehingga lembut.
Bila dah lembut, potong cili kering menggunakan gunting. Jika suka, boleh gunting cili ketika sedang direbus di atas dapur supaya biji cili terpisah dengan cili ketika air mendidih. Sangat mudah menggunakan gunting kerana cili sudah lembut dan ringan.
Basuh cili kering dalam besen berisi air dan dikacau dengan menggunakan sudip. Kemudian tapis dalam penapis berlubang besar supaya biji cili dapat jatuh dan keluar. Goyangkan dengan cepat dan pusing pusingkan tapis sambil buka air paip.
Setelah selesai, toskan seketika. Masukkan ke dalam pengisar dan kisar seperti biasa. Masukkan lebih air pun ok sebab hendak pastikan cili masak.
Tuang cili kisar ke dalam kuali dan hidupkan api. Tak perlu kacau selagi air masih ada. Ianya adalah untuk mengelakkan cili meletup letup sehingga mengotorkan dinding dapur kita.
Setelah air kering dan bup bup di permukaan, perlahankan api ke paling kecil sehingga ianya kering. Ketika ini, boleh dikacau sekali sekala supaya tidak melekat di kuali. Setelah kering, sejukkan.
Simpan ke dalam beberapa bekas dan masuk dalam peti ais. Boleh simpan separuh dalam freezer.
Nota:
Supaya cili tidak pedas, boleh letak sekeping asam keping masa merebus cili. Atau dicampur cili jenis kerinting dan cili jenis berkilat yang tidak pedas.
Untuk menghancurkan biji cili ketika dikisar boleh tambahkan sedikit minyak masak. Kalau guna blender, heavy duty tak perlu.
Jika cili tidak dimasak seperti saya, boleh kisar sekali bawang putih dan guna minyak supaya cili kisar tahan lama dan tidak mudah berkulat.
Nota:
Boleh juga menggunakan periuk tekanan Noxxa dengan kaedah STIR FRY dan tutup dengan penutup jaring besi supaya tak merecik. Biarkan sehingga ianya kering. Atau masak dulu dengan fungsi MEAT selama 30 minit dan kemudian keringkan dengan fungsi STIR FRY.
Ada orang akan menumis dengan minyak tapi saya lebih suka masak begini sahaja jadi boleh digunakan untuk lauk pauk yang tidak menggunakan minyak seperti masak gulai dsb.
Catat Ulasan for "Cara Menyediakan Cili Kisar Yang Tahan Lama"
Add your comment