Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Sambal Sotong Kembang



Saya terbaca satu posting di dalam twitter yang menghentam blog yang posting yang menulis panjang lebar sebelum dikongsikan resipi. Ada insan yang telah tag saya untuk tweet tersebut. Mereka mahu hanya bahan dan cara penyediaan tanpa apa apa coretan. 

Dah lah bahasa yang digunakan kurang beradab dan mungkin kurang ajar. Mereka rasa mereka siapa untuk menentukan bagaimana orang lain harus melakukan sesuatu. 

Memang dasar nak sesuatu free dengan cara paling malas. Malas membaca. Kalau pun tak nak baca, ada jari jemari dianugerahi Illahi untuk scroll resipi di bahagian bawah sesuatu entri. Kalau jari pun malas nak guna, cari sahaja resipi di tempat lain. 


Blog adalah umpama diari hidup saya. Saya boleh jer privatekan untuk rujukan anak cucu saya sahaja. Tapi saya berpandangan jauh kerana kita tidak selamanya hidup. Selagi hidup kita boleh melakukan sesuatu yang bermanafaat untuk hari selepas kita tiada lagi di dunia ini. 

Tapi orang macam ni memang kedekut untuk keluar duit bagi beli buku resipi pun. Kalau tidak, beli jer buku resipi yang hanya ada gambar, bahan bahan dan cara penyediaan. Bukannya mahal, satu resipi mungkin hanya berharga seringgit lebih sahaja. 

Maaflah kalau saya teremosi kerana manusia sekarang memang tidak takut dosa, bila menulis komen di media sosial seolah tiada hari esok, seolah mereka akan hidup selamanya, seolah tiada hari hisab. Bahasa maki hamun yang digunakan seolah orang lain adalah patung yang tiada perasaan. 

Jom jika ada yang nak mencuba memasak cara saya, bolehlah tengok resipi di bawah. Jika sudi, boleh klik follow blog untuk subscribe. Selamat mencuba....


Sambal Sotong Kembang 
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
2 ekor sotong kembang - 500 gram
1 biji bawang besar - hiris
7 ulas bawang putih - hiris
5 sudu besar cili kering kisar
½ keping gula Melaka - 90 gram
I sudu besar gula atau secukupnya
Sedikit kicap manis
1 sudu besar sos cili - opsyenal
1 sudu besar garam
¾ cawan minyak masak

Bahan Kisar:
8 biji bawang merah - hiris
½ inci halia- tumbuk halus

Cara cara;
Panaskan minyak dan tumis bawang bawang hiris sehingga wangi. Masukkan bahan kisar dan tumis lagi sehingga terbit minyak.

Masukkan cili kering kisar dan tumis sehingga cili garing dan terbit minyak.

Masukkan gula Melaka dan terus masukkan sotong kembang. Kacau rata dan masukkan 1 liter air dan biarkan masak dengan api sederhana sehingga sotong lembut.


Masukkan asam keping dan daun pandan. Masak lagi sehingga air sotong kering dan sambal terbit minyak.

Akhir sekali, masukkan sos cili, gula pasir dan garam. Kacau rata dan sedia untuk ditutup api.


Nota;
Boleh juga rebus sotong selama 2 minit. Angkat dan tos air.

Boleh letak segenggam kacang tanah tumbuk dan segenggam ikan bilis sebab sotong ini tawar.

Kuantiti sambal sesuai untuk 3 ekor sotong kembang.

½ cawan kacang tanah - goreng & tumbuk kasar. Selain sedap dimakan bersama nasi, ia juga enak kalau anda gandingkan bersama lontong, nasi impit atau ketupat.



Catat Ulasan for "Sambal Sotong Kembang"