Bakwan Sedap Rangup Di Luar Lembut Di dalam
Hari ini telah seminggu kita berada dalam bulan Syawal. Selamat berpuasa Syawal kepada yang sedang berpuasa. Saya masih belum berselera makan. Rasa jemu dan muak bila melihat lemang dan rendang masih ada lagi. Tekak rasa nak makan makanan yang biasa biasa. Hmm tengah terfikir apa nak makan, bila tiba tiba teringat nak masak bakwan untuk berbuka puasa nanti.
Saya belajar resipi bakwan ni dari pembantu kami, Ros yang telah menyediakan bakwan yang sedap sangat. Rangup di luar dan lembut di dalam. Bila dikunyah, memang rasa krup krap krup krap rangupnya.
Bila saya rasa sedap, saya minta untuk dibuat sekali lagi. Kali ini saya sukat bahan bahan yang digunakan bagi memudahkan mereka yang ingin mencuba menyukat bahan dengan hampir tepat.
Makan dicicah pula dengan sos pencicah keropok. Memang sangat sedap. Kalau tak ada, boleh juga cicah dengan sos cili. Serious sedap sangat bakwan ni, lebih lebih lagi makan musim raya ni. Yang kita dah jemu makan lemang dan rendang sahaja kan.
Saya juga ada sediakan video penyediaannya di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI.
Jom layan resipi dan cara penyediaannya yang saya gunakan hari ini serta cara penyediaannya. Selamat memcuba….
Bakwan Sedap dan Rangup
Oleh: Azie Kitchen
Bahan bahan:
250 gram tepung gandum
Udang secukupnya
4 ulas bawang putih - tumbuk halus
1 sudu besar majerin
320 ml air - lebih kurang
100 gram kubis - hiris halus
100 gram karot - hiris panjang
50 gram kacang panjang - hiris halus
1 sudu kecil serbuk lada putih
1 sudu kecil serbuk kunyit
1 sudu kecil serbuk pati ayam
1/2 sudu besar garam
Cara cara:
Satukan semua bahan dan sedia untuk digoreng.
Panaskan minyak dan tuang satu senduk adunan dan dileperkan sedikit. Goreng sehingga garing keperangan. Angkat dan tos.
Hidang dengan sos pencicah atau sos cili.
Catat Ulasan for "Bakwan Sedap Rangup Di Luar Lembut Di dalam"
Add your comment