Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Sotong Masak Kicap Pedas



Setelah hampir 2 minggu kembali ke tanahair, baru hari ini, saya berasa sedikit sihat. Sebaik tiba di sini saya seperti jet lag tapi luar biasa kerana saya sangat keletihan sehinggakan untuk mengangkat tangan pun rasa tak larat. Selepas diberitahu ramai, baru saya perasan yang saya mungkin mengalami simpton post covid. 

Namun begitu, setiap hari saya gagahkan diri juga untuk memasak lauk pauk untuk hidangan berbuka puasa. Ros pembantu rumah kami akan sediakan bahan bahan dan saya tinggal memasaknya sahaja.

Memasak sotong sebenarnya sangat cepat kerana sotong tidak boleh dimasak lama lama. Yang penting bahan bahan yang digunakan mesti dimasak sempurna. Contoh kalau menyediakan sambal tumis sotong, sambalnya perlu dimasak lama dan betul betul masak. Selepas dimasukkan sotong, kacau balik sekejap sahaja, dah boleh diangkat. Kalau terlebih masak, sotong akan menjadi liat dan keras.

Jadi walaupun dalam keadaan tidak sihat, saya masih boleh menyediakan lauk sotong masak kicap pedas. Sebabnya resipi ini sangat ringkas bahan bahannya dan cepat disediakan. 


Kalau anda ingin menyediakan lauk pauk dengan cepat, saya syorkan anda mencuba resipi ini. Kalau sotong nya menpunyai telur, lagilah sedap. Sotong pun kelihatan cantik dan gemuk gemuk dengan telurnya yang tersembul keluar.

Saya juga ada menyediakan video penyediaannya di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Jangan lupa subscribe tau... Jangan lupa mencubanya kerana lauk ini sangat sedap dan digemari keluarga saya.

Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Selamat mencuba... 



Sotong Masak Kicap Pedas 
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
500 gram sotong
1 inci kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
1 tangkai cili hijau
1 tangkai cili merah
1 biji bawang besar
2 sudu cili kisar
2 sudu besar kicap lemak manis atau secukupnya
1 sudu kecil Knorr Pasti Sedap
1/4 cawan minyak masak

Bahan Tumbuk:
5 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1 inci halia

Cara cara:
Panaskan sotong di dalam kuali. Masak sehingga air sotong keluar. Angkat dan toskan. Ianya bertujuan supaya masakan kita tidak berkuah dengan air sotong.

Panaskan minyak dan tumis kayu manis, bunga lawang dan bahan tumbuk sehingga wangi. Masukkan cili kisar dan kacau rata sehingga cili benar benar masak.

Masukkan sotong dan kacau rata. Masukkan pula kicap diikuti dengan cili hidup dan bawang besar.

Masukkan Knorr Pasti Sedap. Nota: Jika suka berkuah, masukkan air secukupnya.Kacau rata dan boleh tutup api.

Nota:
Sotong tidak boleh dimasak lama kerana ia akan menjadi liat.


1 ulasan for "Sotong Masak Kicap Pedas "

  1. Sedapnya, terima kasih puan kerana berkongsi resepi. semoga segera bertenaga seperti selalu!

    BalasPadam