Alhamdulillah pejam ceik pejam celik, dah 6 hari kita telah berada di dalam bulan Ramadhan. Hari ini hari Jumaat, jangan lupa membaca surah Al Kahfi.
Saya masih lagi mengalami jet lag. Jet lag yang sangat luar biasa kerana saya bukan sahaja tidur dan bangun waktu London tapi badan saya keletihan yang teramat. Terasa seperti berdenyut menghitik seluruh badan.
Ramai yang menulis pada saya mengatakan kemungkinan kesan dari jangkitan Covid yang saya alami sebelum ini. Hari ini walaupun saya masih bangun waktu sana tapi rasa letih dan berkurangan.
Saya memang peminat Soto Madura. Saya pertama kali makan soto madura semasa menghadiri majlis perkahwinan di Marriot Hotel, sebuah hotel terkemuka di Cyber Jaya sebagai hidangan pembuka selera. Ianya terasa sangat sedap. Tapi nama pun hidangan pembuka selera, saiznya sangat lah sedikit.
Sejak itu, saya mula mencari resipi dan cuba membuat eksperimen sendiri. Setelah beberapa kali membuat percubaan, maka hari ini saya kongsikan resipinya di blog ini untuk rujukan masa depan dan juga buat anda semua.
Kalau soto biasa, dihidangkan dengan begedil tapi soto madura dihidangkan dengan kentang yang digoreng. Tapi boleh jer jika nak guna begedil pun.
Sebenarnya menyediakan soto madura ini sangat mudah dan menyediakannya pun sangat cepat. Jangan lupa untuk melihat video penyediaannya di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI.
Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Selamat mencuba....
Soto Ayam Madura
Oleh: Azie Kitchen
Bahan untuk sup :
200 - 400 gm isi ayam (tanpa kulit)
1 liter air
2 inci halia - ketuk
2 inci lengkuas - ketuk
2 batang serai - ketuk
2 helai daun limau purut
2 helai daun salam
½ sudu kecil serbuk lada sulah
1 kiub PATI AYAM KNORR
4 sudu besar minyak masak
Bahan kisar:
4 biji bawang merah
4 ulas bawang putih
2 inci kunyit hidup
4 biji buah keras
Bahan B:
Isi ayam - carik
100 gm taugeh - siram air panas
100 gm suhun - celur dan tos
1 biji ubi kentang - potong nipis dan goreng
2 biji telur rebus
2 pokok daun bawang/daun sup - hiris
5 biji cili padi merah- hiris
2 biji limau nipis
2 paket nasi impit
Cara cara:
Panaskan minyak dan tumis bahan kisar hingga naik bau. Masukkan halia, lengkuas, serai, daun salam dan daun limau purut. Kacau rata.
Masukkan air dan masak sehingga mendidih. Masukkan ayam. Tutup periuk dan reneh atas api perlahan selama 30 minit. Perasakan dengan lada sulah dan Kiub Pati Ayam Knorr. Tutup api.
Keluarkan isi ayam, goreng sekejap dan carik carik.
Rendam ubi kentang yang dihiris dalam air dan goreng sehingga keemasan dan rangup.
Masa menghidang, letakkan nasi impit, suhun dan tauge ke dalam mangkuk. Tuangkan sup soto. Kemudian letakkan kentang goreng, telur rebus, daun sup, limau nipis dan cili padi.
Catat Ulasan for "Soto Ayam Madura"
Add your comment