Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Nasi Goreng Nenas


Telah hampir 2 minggu kami sekeluarga balik dari United Kingdom kerana menghadiri majlis graduasi anakanda kami, Juita di University of Manchester sambil bercuti. 

Masih terkenang kenang kegembiraan semasa menyaksikan Juita di majlis graduasi, masih terbayang kegembiraan anak anak bercuti. Ya lah setelah lebih 2 tahun tidak dapat bercuti ke luar negara di sebabkan pandemik Covid 19 yang melanda seluruh dunia, pastinya percutian ini adalah sesuatu yang dinantikan. 

Saya belum berkesempatan untuk update blog bagi catatan percutian kami. Hari ini saya sempat untuk post video majlis graduasi Juita di Instagram dan Youtube di SINI sebagai kenangan. Kami bersyukur kerana semua urusan telah dipermudahkan. Ok sekarang kita masuk pula bab masakan. 

Di bulan Ramadhan boleh dikatakan setiap malam juga, kami menyediakan nasi goreng waktu bersahur.  Nasi goreng dimakan dengan lauk ringkas seperti ayam goreng atau telur goreng dadar. 

Saya hanya pelbagaikan bahan dan cara memasak nasi goreng untuk memberikan kelainan supaya tidak jemu. 

Hari ini saya ingin kongsikan resipi nasi goreng nenas yang sedap dengan rasa nenasnya yang masam masam manis. Kalau dihidangkan dalam buah nenas macam yang saya buat hari ini, dah lah nampak macam ala ala di hotel dan restoran mewah pulak. 

Haa bila dah terhidang cantik seperti ini, pasti membangkitkan selera kan. Jangan lupa mencuba dan hidangkan seperti ini bagi memberi surprise pada orang yang tersayang. 


Saya juga ada menyediakan video penyediaannya di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Jangan lupa subscribe tau... 

Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Selamat mencuba... 


Nasi Goreng Nenas
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
150 gram nasi putih sejuk
1 biji nenas - guna 15 gram isi nenas
20 gram isi ayam
30 gram kacang gajus
15 gram kismis
1 biji telur
50 gram udang - buang kulit kecuali ekor
15 gram mentega
10 gram bawang putih - 2 ulas

Bahan B:
1 sudu kecil gula
1 sudu besar sos tiram 
1 sudu kecil kicap
1 sudu kecil Knorr Pasti Sedap

Cara-cara:
Belah 2 nenas dan keluarkan isi nenas. Potong dadu dan ketepikan.

Panaskan mentega dan setelah cair, masukkan bawang putih. Tumis sehingga sedikit keperangan.

Masukkan ayam dan udang. Kacau rata sehingga ayam agak masak. Masukkan telur dan kacau sehingga masak.

Masukkan nenas dan bahan B. Masukkan nasi dan kacau rata.

Masukkan kismis, gajus dan kacau rata. Tutup api. Pindahkan nasi ke dalam nenas yang disediakan tadi. Sedia untuk dihidangkan.


Saiz hidangan : 1
Tempoh penyediaan : 20 min
Tempoh masakan : 20 min
Tahap kesukaran : Mudah


Catat Ulasan for "Nasi Goreng Nenas "