Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Nasi Ayam Yang Sangat Sedap



Alhamdulillah setiap perkara baik yang kita lakukan semuanya dengan izin Allah bukan kerana kita seorang yang baik atau beriman dsb. Contoh jika kita pergi ke masjid untuk bersolat terawih kerana Allah yang mengizinkan ianya berlaku. 

Begitu juga jika kita berpeluang untuk mengerjakan ibadah umrah dan berpuasa bulan Ramadhan di tanah suci, juga adalah satu rahmat dan kasih sayang dari Allah. Maka kita harus bersyukur jika kita diberi peluang untuk melakukan sesuatu amalan dan kebaikan. 

Bila kita menghampiri 10 malam terakhir Ramadhan, pastinya saya sangat merindui umrah dan bersolat terawih di dalam Masjidil Haram. Rindu sangat sangat. Hanya Allah yang Mengetahui kerinduan di hati. 

Mudah mudahan saya diberikan keizinan untuk dapat mengerjakan ibadah di tanah suci lagi. Terutama di bulan Ramadhan. Aameen. Sekarang kita masuk pula bab masakan hari ini iaitu nasi ayam. 

Saya menyediakan nasi ayam untuk berbuka puasa. Sekadar mengubah selera sebab hari hari makan nasi putih berlauk pun, boleh rasa jemu juga. 

Anak anak saya memang penggemar nasi ayam dari dulu. Bila tak tahu apa nak makan, nasi ayamlah penyelesaiannya. Saya suka nasi ayam di Chicken Rice Shop kerana lengkap hidangannya. 

Kali ini saya menggunakan 2 kaedah penyediaan ayam. Pertama cara di mana ayam disiram dan digoreng. Yang kedua pula ayam direbus dan digoreng secara touch and Go sahaja.


Walaupun nampak macam hangus tapi sebenarnya ayam ini cukup masaknya dengan kulit rangup dan isinya yang masih juicy lembut. 

Nasi ayam saya hari ini sangat sedap. Selain ayamnya sedap, sup sedap, sambal cili dan kicap sedap. Hahaha semua sedap lah. Jadi anda semua patut mencubanya tau. Juga jangan lupa untuk klik follow blog dan klik iklan yang keluar di blog untuk saya terus bermotivasi menulis di blog. 

Jom layan resipi yang saya tulis di bawah ini serta cara penyediaannya. Selamat mencuba...


Nasi Ayam Azie Kitchen Sedap
Oleh: Azie Kitchen

Ayam 1:

Bahan bahan:
2 ekor ayam - saiz sederhana
2 sudu besar sos lea n perrin
2 sudu besar kicap cair
2 sudu besar sos perasa maggi
2 sudu besar cuka
1 sudu besar garam
1 sudu besar meltose
1 sudu besar serbuk pati ayam atau kiub pati ayam
2 cawan air

Masak air sehingga mendidih. Masukkan semua bahan di atas dan kacau rata. Masak sehingga mendidih. 

Siram ayam rata rata sehingga warna  kulit ayam berubah tegang dan kekuningan. 

Lumurkan rempah 5 spices dalam perut ayam serata rata. Terus gantung  ayam dan tos sehingga kering.


Sedia untuk digoreng dalam minyak yang panas dan banyak. Setelah minyak kelihatan berasap, perlahankan api. 

Masukkan ayam (dengan cangkuk besi) dan goreng selama 20 minit. Sentiasa dibalik balikkan supaya masak sekata.


Kemudian, besarkan api dan goreng lagi selama 10 minit. Angkat dan ketuk ayam untuk mengeluarkan air. Potong ikut yang disukai. Sedia untuk dihidangkan.

Ayam 2;

Bahan bahan:
Kicap cap kipas udang
Sos tiram

Masukkan ayam ke dalam kuah sup mendidih di bawah. Biarkan ayam ¾ masak. 


Keluarkan ayam dan setelah sejuk, lumur dengan kicap dan sos tiram secukupnya. Biarkan seketika sebelum digoreng.


Angkat dan ketuk ayam untuk mengeluarkan air. Potong ikut yang disukai. Sedia untuk dihidangkan.



Sup

Bahan bahan:
7 biji bawang merah - kisar
6 ulas bawang putih - kisar
3 inci halia - kisar
1 sup bunjut
3 ketul kiub ayam
¾ sudu besar garam
¼ cawan minyak masak
10 cawan air

Panaskan minyak dan tumis bahan kisar sehingga wangi. Masukkan sup bunjut dan tumis lagi.

Masukkan air, kiub pati ayam dan garam. Sesuaikan rasa.

Setelah mendidih, masukkan ayam. Masak sehingga ¾ masak. Keluarkan ayam. Rujuk kaedah Ayam 2 untuk proses seterusnya.



Sambal Cili

Bahan bahan:
7 tangkai cili merah - 120 gram
5 ulas bawang putih - 30 gram
2 inci halia - 10 gram
½ cawan air masak
3 sudu besar cuka
2 sudu besar gula
1 sudu besar garam

Kisar semua bahan di atas sehingga halus. Sedia untuk dihidangkan.


Kicap

Bahan bahan:
2 ulas bawang putih - cincang
1 sudu besar sos tiram
2 sudu besar kicap cair
1 sudu besar sos perasa maggi
½ sudu besar sos lea n perrin
½ sudu besar kicap pekat
1 sudu besar gula
1 cawan air
2 sudu besar minyak

Panaskan minyak dan tumis bawang putih sehingga keperangan. Masukkan semua bahan lain dan masak sehingga mendidih. Angkat dan sedia untuk dihidangkan.


Nasi Ayam

Bahan bahan:
4 cawan beras - basuh, rendam & tos
6 - 6 ½ cawan air atau secukupnya - rujuk nota
2 biji bawang besar - hiris
3 ulas bawang putih - hiris
2 inci halia - hiris
2 batang serai - ketuk
2 helai daun pandan
1 sudu besar majerin
2 sudu kecil serbuk pati ayam
1 sudu kecil garam
¼ cawan minyak

Panaskan minyak dan tumis bawang besar sehingga layu keperangan, baru masukkan bawang putih dan halia. Tumis lagi.

Masukkan serai dan daun pandan. Tuang ke dalam periuk beras.


Masukkan air secukupnya. Masukkan majerin, serbuk pati ayam, garam dan gula.

Masak nasi dalam periuk elektrik seperti biasa. Nota: Jika guna air rebusan ayam, masukkan majerin setelah air kering dan kacau rata.


Nota;
Jika hendak mengguna air rebusan ayam, tak perlu masukkan serbuk pati ayam dan garam kerana bahan ini telah dimasukkan dalam sup rebusan ayam.


Catat Ulasan for "Nasi Ayam Yang Sangat Sedap "